
Alhamdulillah, kami dah kahwin. Anda bila lagi?:))
Seorang mahasiswa menyapa saya di Facebook. “Puan, saya mahukan nasihat puan. Adik saya dah nak kahwin, tapi saya sendiri keluarga tak izinkan, saya sedih,” katanya yang ketika itu menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda. Saya lalu tersenyum sendirian, sebelum menjawab keluhannya. “Tak apa, habiskan pelajaran dulu. Sebagai mahasiswa, tak mudah galas tanggungjawab yang banyak ketika belajar. Adalah hikmahnya tu. Redho Allah terletak pada redho ibubapa. Ikut cakap mereka!”
Saya teringat peristiwa beberapa minggu lalu. Saya mengikut ibu ke majlis kenduri arwah seorang jiran di Kedah. Ketika duduk menghidang untuk tetamu, saya menyapa seorang keluarga jauh yang dipanggil Long. “Apa khabar Long? Siapa tinggal dengan Long sekarang di rumah?” Dia senyum, tangannya menyambut Abu Darda’ yang semakin aktif. “Siti tinggal dengan Long,” katanya. Siti adalah anak perempuannya yang sebelum ini menuntut di Universiti al-Azhar, Mesir.
Long nampak mahu bercerita lanjut tentang Siti. Wajahnya sedikit redup. “Tak tahulah Long. Masa dia belajar nak minta kahwin, sekarang ni pampers anak pun Long kena bagi. Dia pergi Mesir, abangnya yang bagi duit setiap bulan, harapnya dia balik nanti boleh tolong keluarga. Tapi dia minta kahwin, Long bagi. Cuma bila dia dan suami tak lulus di Mesir, susah hati jugalah. Sekarang ni suami dia sambung belajar di Insaniah, nak pergi Mesir banyak belanja lagi. Dia pula duduk dengan Long, anak dia Long jaga. Baru ni dia dapat kerja pembantu kedai, cari duit sikit-sikit, dah suami belajar lagi.
“Long bukan apa, kita ni kalau belajar elok bagi habis. Bila jadi macam ni, menyusahkan balik ibubapa. Nak tak nak, kenalah juga tolong beli susu, pampers dan jaga cucu,” cerita Long. Saya diam, mengambil pesanan dari nada hiba Long. Pulang ke rumah nanti, saya ingin titipkan luahan ini buat adik-adik yang sedang merangkan perkahwinan ketika belajar.
Tak Salah
Perkahwinan suatu yang dituntut dalam Islam. Ia adalah sunnah rasul junjungan kita, Rasulullah SAW. Perkahwinan yang mengikut sunnah adalah perkahwinan yang mendapat redho Allah dan rasul melalui redho ibubapa.
Di kalangan anak-anak muda terutama yang berlatar-belakangkan pengajian Islam, menganggap bahawa perkahwinan dapat menjadi solusi cinta yang terbit kepada pasangan berlainan jenis. Sebagai benteng menjauhkan diri daripada maksiat dan kelalaian, ramai berpendapat kahwin muda adalah penyelesaian yang tepat. Namun, bagi orang yang berfikir, ia akan menemukan hikmah Islam daripada pelbagai sudut pandang.
Berkahwin itu perlu, tetapi menetapkan tempoh untuk berkahwin adalah pilihan. Mustahil seorang anak muda dan dara dapat merasai pengalaman berkeluarga tanpa proses kahwin. Justeru, pertimbangan mereka sering didasarkan kepada soal perasaan dan emosi berbanding tanggungjawab dan amanah. Bagaimana Islam menetapkan hukum Feqah berdasarkan keadaan, tempat dan masa, begitu juga kahwin. Setiap individu tidak sama. Ada orang yang dengan perkahwinan menyebabkan dia makin dekat pada Allah dan berjaya di kalangan manusia, ada juga yang dengan perkahwinan menyebabkan dia makin jauh dengan Allah lantaran sibuk meraih rezeki untuk keluarga. Hal ini perlu diselami dengan muhasabah mengenal diri sebelum menetapkan kata putus Kahwin atau tidak?
Perkahwinan bukan seperti meletakkan tajuk buku dan drama “Ku Pinang Kau Dengan Hamdalah”, jauh lebih dalam ialah membina keluarga dengan persediaan iman, ilmu dan juga ekonomi. Seorang lelaki, apabila dia berkahwin, maka seluruh diri isteri menjadi tanggungjawabnya untuk dijaga, baik ibadah, pergaulan, kebajikan diri, ilmu dan segalanya tentang isteri. Jika Isteri tempang pada sudut-sudut tertentu, suamilah yang akan dipertanggungjawabkan depan Allah SWT.
Seorang wanita pula, bila sahaja menjadi isteri, akan diresetkan kepada titik-titik tanggungjawab ibu rumahtangga. Bukan sekadar memasak, membasuh, mengemas rumah, tetapi juga mendidik anak-anak dengan akhlak Islam. Tanpa ilmu dan penghayatan, mustahil dapat membentur peribadi-peribadi soleh yang menjadi aset Islam.
Buatlah Keputusan Yang Tepat
Jika anda sudah mempunyai pilihan hati, bukan hanya berkahwin dapat menjauhkan hati dari maksiat dan kelalaian. Tetapi ibadah. Jagalah dirimu dengan mendekatkan diri pada Allah, berdoalah padaNYA disamping menyelesaikan perkara yang utama di depan mata iaitu MENUNTUT ILMU. Sibukkan diri dengan aktiviti dakwah, berfikir masalah masyarakat yang lebih serius dan duduk dalam persekitaran jemaah. Insya Allah, hati anda dapat disabarkan sebelum waktunya anda AKAD NIKAH!







tak salah utk berkahwin semasa belajar, asal faham tangungjawab & tdk menyusahkan org tua.. sebaiknya harus berfikir panjang dahulu..
byk juga dah lihat kes mcm ni.. ada yag tak habis belajar, tapi ada juga yg berjaya.. ijazah dapat, kehidupan berkeluarga pun dapat…