(Artikel ini disiarkan dalam Majalah Q&A edisi kedua)
Sebelum melangkah ke alam rumahtangga, setiap pasangan memasang niat. Aku berkahwin dengannya kerana dia baik. Aku menikah dengannya kerana aku menghargai cintanya. Aku menerimanya sebagai suami atau isteri kerana ingin membina rumahtangga Islam. Dan niat yang paling mulia adalah, aku mengahwininya keranaMu ya Allah.
Setelah menetapkan niat mulia, sang suami mengucup dahi isteri dan memimpin tangannya ke pintu sakinah. Bulan-bulan pertama diharungi dengan kemanisan. Bak lebah menghurung sarang madu. Tiada yang tidak manis walaupun pasangan tidak pandai memasak, tidak pengemas dan tidak boleh berhenti bercakap. Lima bulan pertama adalah kunci pengenalan diri pasangan. Manakala lima tahun pertama adalah kunci berkekalan antara pasangan.
Niat yang telah dipasakkan pada bendera kerana Allah bukan semudah menuturnya. Ia perlukan usaha dan keselarasan agama antara suami dan isteri. Jika suami seorang yang menjaga solat berjemaah, maka dia perlu mengusahakan isteri dan anak-anaknya begitu. Pun sama, isteri yang litup menutup aurat perlu memastikan anak-anak tidak lepas mendedahkan aurat.
Hujan Mulai Turun
“Mengapakah isteriku tidak seperti dulu? Mengapa aku melihatnya terasa bosan? Mengapa dia bercakap kasar denganku? Mengapa dia tidak menjaga kebersihan? Mengapa dia membawa masuk orang luar tanpa pengetahuanku?” keluh sang suami.
“Mengapa suamiku menduakan diriku? Mengapa suamiku melebihkan rakan-rakannya berbanding diriku? Mengapa suamiku tidak memujiku lagi? Mengapa suamiku sanggup menengkingku? Mengapa suamiku tidak menghargai apa yang kukorbankan untuknya?” tangis si isteri.
Keluhan di atas sering terbetik di hati ramai pasangan apabila rumahtangga melalui fasa-fasa kematangan. Melihat pasangan berubah sikap, yang disalahkan adalah mereka, bukan diri. Lalu, yang dilakukan adalah melontarkan kehampaan yang sama terhadap mereka. “Oh, jika suamiku bermain kayu tiga, aku juga boleh berbuat yang sama.” “Oh, isteriku tidak lagi melayanku dengan baik, buat apa bercakap lemah-lembut dengannya?”. Maka, terjadilah pertembungan dosa yang disengajakan sebagai tindak balas amarah antara pasangan.
Yang dibimbangkan, rintik-rintik ujian begini jika tidak ditadah dan dialirkan ke kolam muhasabah, maka akan banjir dan tenggelamlah rumahtangga.
Hujan Yang Menyucikan
Anggaplah ujian itu adalah hujan yang menyucikan bumi. Ketika niat kerana Allah mulai dicalari sikap diri dan pasangan yang lalai dan leka, Allah menurunkan ujian agar pasangan kembali bermuhasabah dan menyucikan semula niat asal keranaNya. Allah memberikan ujian untuk melihat, apakah pasangan bersungguh-sungguh mahukan redhoNya di kala senang mahupun getir. Maka, bagi yang terus berpegang pada tali Allah, akan tercapailah barakah yang akan terus memayungi rumahtangga.
Firmannya dalam Surah Ali-Imran ayat 154 yang bermaksud:
“Dan Allah (berbuat demikian) untuk menguji apa yang ada dalam dadamu dan untuk membersihkan apa yang adadalam hatimu. Allah Maha Mengetahui isi hati.”
Oleh itu, setiap pasangan jangan jemu mencari ilmu dan terus memperbaiki niat keranaNya. Ingatlah bahawa dunia ini terbentuk oleh banyak fungsi maklukNya. Bukan sahaja hujan yang turun, tetapi pelangi dan matahari turut sama menyumbang cahaya ketika alam mulai teduh. Dan semua itu pastinya dari Allah SWT.






