Darda’ bersama Aunti Ain, salah seorang ahli Studio Muallaf
Hidup dalam sebuah negara Islam bagai syurga bagi sebahagian besar Muslim di Malaysia. Di setiap tempat, kita bebas mengamalkan agama Islam. Tiada kesusahan mengerjakan solat kerana masjid dan surau amat banyak. Pergilah ke stesen manapun di Malaysia, atau pusat-pusat pelancongan, ruang solat tetap disediakan melambangkan Islam amat megah di negara ini. Malah bukan sahaja surau dan masjid, pengisian untuk memakmurkan rumah Allah turut dilestarikan oleh kerajaan.
Dalam kemegahan kita menjadi Muslim di Malaysia, pernahkan kita terfikir tentang menyampaikan Islam kepada golongan non-Muslim? Setidaknya kita pernah memberi penerangan tentang kebenaran agama Islam kepada mereka? Ya! Jarang atau boleh dibilang dengan jari sahaja kalangan kita terutama generasi muda yang gigih melaksanakan tugas mulia ini. Kerana apa? Kerana kita sibuk memperbaiki diri hingga lupa mengajak orang lain memahami agama Allah ini? Ataukah kerana kita malu dan takut untuk menerangkan apakah Islam yang sebenar?
Sahabat Studio Muallaf
Saya menemui mereka beberapa minggu yang lalu. Jujur, selepas berjumpa mereka, saya amat malu dengan diri sendiri. Soalan yang saya lontarkan pada diri ialah, baik sangatkah diriku yang tidak pernah menerangkan Islam kepada non-Muslim berbanding diri mereka yang setiap masa mencari hujah menyampaikan Islam? Itulah yang saya dan semua kita perlu pelajari daripada sahabat Studio Muallaf: keberanian menyampaikan Islam kepada non Muslim khususnya di Malaysia.
“Setelah memeluk Islam, saya berusaha berdakwah kepada keluarga terdekat temasuk ibubapa. Alhamdulillah, kini mereka sudah menjadi Muslim,” kata Nurain yang berketurunan Kadazan. Jelasnya, dia meyakini kebenaran Islam setelah belajar dan mengkaji. “Saya datang ke Pusat Islam untuk mendalami Islam walaupun ketika itu belum pakai tudung. Setelah hati saya nekad mahu berubah, saya kuatkan diri menonjolkan imej Muslimah. Selepas menjadi Muslim, saya tidak boleh rasa tenang selagi tidak menjelaskan Islam kepada keluarga khususnya ibubapa. Alhamdulillah, Allah bagi kekuatan pada saya berdakwah dan bawa mereka ke Pusat Islam untuk melafazkan syahadah. Kini, keluarga saya sebahagiannya sudah Muslim.” Katanya. Continue reading Belajar Dari Sahabat Studio Muallaf











