Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Anis Category

Monday, October 3rd, 2011

Sahabatku Dan Kisahnya Yang Hebat!

Rupa Tajin/ tagine, makanan ruji Maghribi

Dia seorang teman yang menyenangkan. Waktu bujang dulu, saya sering ke rumah sewanya di Pinggir Gombak untuk satu tujuan; meraih semangat! Di kalangan teman-teman, dia dipanggil Bonda dek sifatnya yang keibuan. Namanya adalah nama salah satu surah dalam al-Quran; Maryam. Dia dan akhlaknya seindah namanya itu.

Selepas berkahwin, kami tidak lagi bertemu. Dia memilih tipa dari Maghribi sebagai suami tetapi menetap di Malaysia. Hati saya sering berbisik; bilakah dapat aku bertemu dengan Bonda Maryam? Banyak yang ingin kukongsikan dengannya.

Teman saya ini masih muda orangnya, belumpun 30 tahun. Saya dan dia boleh dikatakan ‘adik-beradik’ kerana tinggi rendah kami hampir sama dan berkulit cerah.Dia mungkin lebih jelita dengan cermin mata dan senyum ‘gulanya’. Namun, semangatnya dahsyat. Berkawan dengannya, saya mendapat sedikit tempias. Dia mencorak aktiviti hidupnya dengan baik, ilmu, ilmu dan ilmu! Malah dia memilih perkahwinan dengan rijal Arab juga kerana ilmu.

Saya teringat lagi, dia bertandang ke bumi Syria untuk belajar bahasa Arab dan al-Quran, dua perkara yang sangat dicintainya. Pulang ke tanah air, dia menghasut saya dengan cerita-cerita indahnya tentang Bumi Syam. Malah berkata, “Orang yang pergi ke bumi Syam, pasti nak pergi semula kerana berkatnya..” Saya teruja, selang beberapa bulan, saya bersiap-sedia terbang ke Bumi Syria.

Dia memilih UIA sebagai tempat meraih sarjana kerana dua perkara, ingin menguasai bahasa Arab dan memahami al-Quran melalui bahasa Arab. Saya pula, UM lebih mudah kerana disertasi sarjana boleh ditulis dalam Bahasa Melayu (bahasa kecintaan saya). Dia sangat cintakan bahasa Arab sehingga Allah SWT menghadirkan lelaki yang baik berketurunan Arab Maghribi sebagai suaminya, masya Allah! Continue reading Sahabatku Dan Kisahnya Yang Hebat!

Monday, September 26th, 2011

Dua Perasaan

Hari itu saya masuk ke dewan peperiksaan dengan rasa ‘tak ikhlas’. Tiga jam mengawas para pelajar sangatlah membebankan. Namun,sabarkan hati dengan melakukan banyak perkara agar tak tertidur ketika bertugas.

antara yg saya lakukan, mengira berapa org pelajar tulis dgn tangan kiri dan kanan, juga pndang2 pelajar yg saya kenal. Oh! Saya terpana seketika melihat seorang pelajar wanita yang berbaju kurung cantik. Rambut kuningnya hampir membuatkan saya tidak perasan, dia adalah pelajar yang mengambil kursus keluarga Islam dengan saya semester lepas. Dalam kelas waktu itu, dia cantik berbusana jubah dan bertudung. Agakan saya, dia pelajar yg Islamik. Segalanya berubah 360 darjah. Pelajar itu terus saya perhatikan. Dia tidak sedar, khusyuk menjawab peperiksaan.
“Assalamualaikum, kenal ustazah lagi,” tegur saya perlahan. Dia yang sedang menjawab soalan terkejut. Melihat saya, dia senyum malu dan sedikit serba-salah.Saya berlalu dan terus senyum padanya.

Di barisan yang lain, saya nampak para pelajar dari kelas Seni Photo yang saya kenali. Kaki berjalan mendekati mereka. Oh! Hati saya berbunga. Gadis yang memakai tudung itu sangat comel. Saya mendekatinya.
“Sejak bila awak pakai tudung?” bisik saya. Dia berhenti sebentar menjawab soalan peperiksaan.
“Eh, ustazah. Baru je lagi pakai tudung. Keluarga saya semua dah pakai tudung ustazah. Tak ada siapa paksa saya. ayah pun dah lama nak kami pakai tudung, ” katanya. Saya bertahmid dalam hati.
“Alhamdulillah, baguslh begitu,” kata saya tanpa boleh memanjangkan lagi bicara.

Saya berjalan lagi ke barisan pelajar lain, namun hati sudah bergolak dengan dua perasaan yang berbeza. Seorang sudah mengabaikan hidayah Allah, seorang lagi menghargai hidayahNya. Ya Allah, Kau ampunilah dosaku dan dosa kami semua. Dalam keadaan ini, aku tidaklah berhak menghukum sesiapa, moga kami semua dalam lindunganMU.

Monday, September 26th, 2011

Istimewanya Noorah..

(BUKU INI WAJIB ANDA MILIKI BUKAN KERANA SAYA PENULISNYA TETAPI KERANA LUAR BIASANYA PERJALANAN KEHIDUPAN WANITA NOORAH INI YANG BOLEH DIMANFAATI. SETIAP PEMBELIAN AKAN MEMBERI SUMBANGAN KEPADA WANITA INI BAGI DAKWAH ISLAM DI BRITAIN) MAKLUMAT TENTANG PEMBELIAN DI SINI

Mengapa Noorah?

10 hari bersamanya terasa bagaikan sehari. Tidak puas mendengar cerita-cerita realitinya yang begitu menakjubkan! Ibarat dia membacakan sebuah novel yang dikarang oleh penulis bijaksana, mereka-reka di sana sini. Tetapi itulah hakikat yang berlaku sepanjang kehidupannya, penuh warna-warni. Dia bercerita secara santai dan tidak mengikut perasaan. Kisah kanak-kanaknya dimulakan dengan gelengan kepala. “Oh! Sungguh dahsyat.” “Oh! Sungguh teruk!” “Sangat susah!” Setelah ayat itu keluar pasti diiringi kata Istigfar. Dia cuba untuk tidak menggambarkan keadaan sebenar dengan detail, menjaga maruah ibu bapanya. Namun, kerana ia dapat mendatangkan rasa insaf pembaca, Noorah sedia berkongsi lara dan tawa, tawa dan lara yang memayungi hidupnya.

Musim sejuk sebenarnya kurang sesuai saya mendatangi London, waktu yang sangat pendek menghadkan perjalanan mencari bahan. Namun, itulah yang ditetapkan oleh Tuhan. Dia memberi peluang saya ‘terbang’ ke rumah wanita luar biasa ini untuk perkenalan pertama. Setelah pulang, timbul rasa untuk ‘terbang’ kali kedua atau ketiga bertemunya. Dia sungguh unik! Ketika berada di rumahnya, tidak banyak masa yang boleh kami luangkan bersama. Hidupnya telah disusun oleh jadual sibuk walaupun di dalam kertas, dia mencatatkan dirinya adalah suri rumahtangga sepenuh masa. Menjadi ibu dan bapa sekaligus kepada empat anak remaja yang masih tinggal bersama, membuatkan Noorah bertugas tanpa syif. Dia menghantar dan menjemput anak-anak di sekolah, mengemas rumah dan memasak, membasuh pakaian kotor, membeli keperluan di pasaraya, menguruskan bayaran elektrik dan kad kredit, menghadiri temujanji doktor dan tidak lupa tugas hakiki sebagai anak; menziarahi ibu tua yang tinggal 300miles dari Bandar London. Hampir setiap minggu dia menjenguk ibu yang disahkan berpenyakit kanser walaupun terpaksa pergi pagi dan pulang waktu petangnya. Dia juga adalah pemandu tetap anak-anak dan teman-teman baiknya. Rutin itu membuatkan saya perlu mencari waktu sesuai untuk menemuramahnya. Selalunya ialah pada waktu orang lain mahu masuk tidur.

Saya juga menyedarkan diri untuk tidak memberi tekanan kepada ‘watak utama’ biografi ini. Sebagai pesakit kanser yang dipantau doktor, Noorah ada waktu tidur dan rehat yang wajib. Dia mesti menjaga kesihatan diri untuk melakukan banyak tugas yang disebutkan di atas. Oleh kerana dia amat memusuhi hospital dan ubat-ubat kimia, dia berusaha mendisplinkan diri dengan rehat dan pemakanan yang baik. Saya perlu akur hal itu, kadang masa yang ada bagaikan pungguk merindukan bulan. Mujurlah perjalanan kali ini ditemani cinta, bersamanya saya meneroka kelok-kelok Kota London bagi mencari maklumat lain untuk dimanfaatkan dalam buku ini. Syukur, Tuhan memudahkan segala urusan. Kami dipertemukan juga dengan rakyat Malaysia berhati waja di rantau orang.
Suatu hari, Noorah membawa saya menyertai anak-anaknya ke sebuah gereja. Continue reading Istimewanya Noorah..

Saturday, September 24th, 2011

Mencatur Masa

Cinta hati umi dan abi

Hati dan Susu

Dua minggu yang lalu, saya kembali mencatur gerak sebagai ‘ustazah’di Uitm Alor Gajah. Masuk kerja kali ni terasa berbeza kerana ‘hati’ ditinggalkan di rumah. Pergi kerja tanpa hati, terasa hambar. Kemuncaknya, saya berasa tidak sabar ‘mahu berhenti kerja.’
“Umi..Darda’ tak mahu susu botol. Dia mengamuk!” Sms suami yang menjaga hati saya untuk sebulan ini. Saya tidak sabar menekan pedal minyak pulang ke rumah.

Tiba di rumah, hati saya, Ahmad Abu Darda’ masih menangis. Hampir sejam mengeluarkan suara, kali ini suaranya kedengaran serak. Saya mengambilnya dari tangan suami, memeluk dan membisik padanya, “Darda’, cinta umi, sekarang umi dah balik, jangan menangis ye.” Dia bagaikan tersenyum, tangannya seakan tidak mahu berpisah dengan tubuh saya. Selepas menyusu dengan kenyang, tidur dalam dakapan umi penuh bahagia.

Itulah saban yang berlaku dalam keluarga kecil kami. Suami tersenyum pendek. “Umi..abi tak tahu nak jelaskan perasaan abi. Sedih bila Darda’ tak mahu hisap botol. Susu umi yang diperah tu abi terpaksa bubuh dalam cawan kecil suap ke mulutnya. Itupun mujahadah!” Suami membelai kepala Darda’ . Kami sama-sama geleng kepala. Sudah tiga kali menukar botol susu akhirnya kami berikan cawan kecil padanya. “Abi..umi tak sabar nak berhenti kerja..” kata saya entah ke berapa kali.


Saya sudah menghantar notis menamatkan perkhidmatan di UITM. Continue reading Mencatur Masa

Saturday, September 24th, 2011

Air Sejuk!

Beberapa minggu tidak dapat menulis sebarang karya dan hebahan aktiviti di laman maya sendiri. Ada kesalahan teknikal yang berpunca dari kelalaian saya. Tuhan memberi peluang kedua. Dia datangkan pembantu untuk memeriahkan kembali rumah kecil ini. Alhamdulillah.

Wednesday, August 24th, 2011

KEIMANAN CINTA

Sambil berukhwah sesama saudara dan sahabat taulan di malam2 Syawal..hidangilah mereka dengan santapan hiburan yang memberi manfaat iaitu DRAMA BERSIRI KEIMANAN CINTA DI TV9.

Sunday, August 14th, 2011

Maafkan Daku..

Duduk2 dan baring2 memang sesuatu yang menyeronokkan. Tetapi jika sudah sebulan lebih, begitu juga, hati rasa mahu bertukar ‘peribadi’ dengan si burung yang berkicau di dahan sana. Cemburunya!

Dalam duduk2 dan baring2, ada malaikat yang membisikkan agar masa diisi dengan membaca. Di sisi lain, fikiran terbang jauh, ke Syria, ke Acheh, ke London, ke Haramain, ke Jordan, ke Jakarta, Solo dan..ah..setiap tempat yang pernah daku berteduh di bumi Malaysia. Teringatkan kawan2 sejak di Kg Sg Pencala hingga ke Universiti Malaya. Kawan2 jauh dekat yang juga menjadi saudara angkat..ramai terputus talian. Sedih.

Melihat si comel yang makin montel menggebu, saya renungkan diri. Baru lebih sebulan, saya berusaha menjadi sabar melayani anugerah Allah ini. Sabar menurut masa si kecl, sabar dengan tangisan dan rengekan, sabar dengan sakit bersalin yang masih bersisa..namun, bila direnungkan sabarnya emak dan abah mendidik saya, ah! bukan saya seorang tetapi kami 11 beradik..hingga dewasa (hingga sekarang) ya Allah, kerdilnya diri, tak terbanding!

Tidak ada masa untuk berleka lagi selepas ini. Hatta nak menulis diblog ini, tak boleh panjang2 (setakat hari ini). Namun terus berdoa agar Allah memberi kekuatan dalam TARBIAH KEHIDUPAN YANG RENCAM dan pastinya sentiasa berubah ke hadapan.

Maafkan aku sekalian dengan kelemahan yang ada pada diriku.

Monday, August 1st, 2011

Ramadan Yang Dulu 1

1993- Di sebuah perkampungan Islam di Kuala Lumpur, saya antara kanak-kanak yang terpilih untuk di tinggal di asrama walaupun baru berusia 9 tahun. Saya kenangkan kembali, tinggal di asrama waktu itu pengalaman yang menyeronokkan. Jika saya teringat pada mak, abah dan adik-adik, maka saya akan berlari ke rumah yang jaraknya lebih kurang 2-3 km sahaja dari asrama. Namun, saya lebih memilih duduk di asrama kerana banyak aktiviti menghiburkan berbanding di rumah, terpaksa menjaga adik-adik yang sudah 5 orang.

KISAH RAMADAN
Bulan Ramadan paling ditunggu. Lepas habis persekolahan, ustazah membahagikan kami kepada beberapa kumpulan memasak. Ada kumpulan yang membuat kuih donut, kuih burger Malaysia dan lain-lain. Kami memasaknya beramai-ramai sehingga waktu Asar. Dalam jam 5 petang, kami akan membawa kuih-kuih tadi ke tengah perkampungan Islam itu untuk dijual. Saya antara yang ramah menegur sesiapa yang lalu depan gerai, malah memaksa mereka membeli kuih2 kami yang dijual dengan harga 20 sen sebiji. Kebiasaan dan selalunya habis, Duit keuntungan diberikan kepada ustazah, dan kami seronok walaupun tiada sebarang upah. (berbuka puasa dengan mewahnya kuih-muih sudah dianggap sebagai upah)

Aktiviti lain yang menyeronokkan lagi bulan Ramadan ialah majlis berbuka puasa di rumah orang. Dalam seminggu, boleh dikatakan 3-4 hari kami akan berbuka puasa di luar asrama. Kebanyakan ibubapa menganjurkan majlis berbuka puasa di rumah mereka mengikut giliran. Saya seronok jika ada keluarga teman2 yang tinggal di luar perkampungan Islam menjemput kami berbuka puasa. Dengan itu, dapatlah merasa naik van dan menghirup angin Kuala Lumpur dan Selangor.

Ustaz juga telah berjanji kepada para pelajar (7-11 tahun). Sesiapa antara kami berpuasa penuh akan mendapat hadiah. Saya pernah mendapat hadiah itu yang berupa sebungkus coklat yang sangat sedap (Ketika itu jarang dapat makan coklat, jadi sesekali dapat coklat supermarket dikira sangat bertuah)

Ada satu perkara kurang menarik, pernah juga kerana terlalu lapar, saya menelan air kolah ketika ambil wudhuk. Moga Allah SWT mengampuni dosa kanak-kanak saya dulu.

Sunday, July 3rd, 2011

Beberapa hari atau jam?

Saya dan suami bakal menatap si comel. Mohon doa semua pengunjung agar saya dan si kecil selamat, sihat dalam rahmat Allah SWT.

Lepas ini akan menulis dengan rasa lebih dewasa. Tiap catatan lalu menjadi penenang/ ubat muhasabah menjalani hari depan. Moga pengunjung semua dalam keredhoan Allah SWT.

amin.

Saturday, June 25th, 2011

Kucing Itu

Setiap kali keluar dari rumah, terpandangkan seekor kucing dalam sangkar di rumah jiran sebelah. Comel kucingnya. Kucing Parsi. Dia kerap juga ‘membunyi’ pada saya terutama bila tuannya tiada di rumah.
Saya bercakap pada suami, “Kucing bukan arnab. Fitrahnya berkeliaran dan bebas. Alangkah tak seronoknya kucing itu kalau dikurung, walaupun makanan hariannya, makanan terbaik dari Eropah.”
“Kita doakanlah moga hati tuannya dibuka,” balas suami.
Kami berdua simpati pada si kucing tapi belum sampai hati (bimbang/ malu) menegur si tuan kucing.

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com