Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Catatan Harian Category

Saturday, November 5th, 2011

Apa Ada Pada Korban?

Bila Allah diletakkan di hati, kita tak rasa diri selalu berkorban. Kerana, pengorbanan adalah fitrah dan jatidiri manusiawi. Setiap orang perlu berkorban.

Dalam hidup yang tidak berseorangan, mustahil kata korban dipinggirkan. Ada orang jarang berkorban untuk orang lain, namun, mustahil tidak pernah berkorban untuk orang lain. Kita sebagai anak, ibubapa punya hak yang sepenuhnya ke atas kita. Jangankan kerana terpaksa membantu mereka di sela kesusahan dan keuzuran mereka, kita sudah merasa sangat berkorban.

Begitu seorang ibu atau ayah, anak-anak adalah amanah Allah.  Bila terasa sudah banyak berkorban untuk mereka, ingatlah bahawa itulah tugas hakiki sebagai ibu atau bapa.

Justeru, apakah maknanya korban?

Apabila kita berusaha mengekang hawa nafsu dalam diri untuk merungut segala yang dituntut Tuhan. Menjadi hambaNYA yang taat. Menjadi manusia yang amanah bertanggungjawab. Menjadi umat yang bermanfaat. Menjadi ORANG ISLAM yang mempertahankan AGAMA di manapun dia bernafas. Berkorban ertinya terkorban, rela terhina kerna kebenaran. Justeru, marilah kita sama-sama bersedia untuk memilih berkorban mempertahankan Islam ketika hidup atau berkorban untuk mati syahid menegakkan Islam.

SALAM IDULADHA

 

Saturday, October 8th, 2011

DIA MAHA MEMBERI

Tiba-tiba diri teringat akan peristiwa lima tahun lepas. Diri telah pergi kepada abah dan emak sambil mengadukan bahawa diri tidak mampu bertahan hidup lagi. “Abah, mak, mengapa jiwa kak Ummu kosong sangat. Adakah Kak Ummu sudah nak mati?” Itulah kata-kata saya kepada ibubapa ketika diserang penyakit misteri hampir dua bulan di tahun 2005. Saya berada di tahun akhir sebagai mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Usuluddin di APIUM. Desakan resah penyakit itu membuatkan saya mahu berhenti dari segalanya termasuk belajar dan menulis.

Ketika itu, saban malam saya ingin tidur memeluk emak. Saya takut sekali. Derapan kaki malaikat Maut seolah hampir dengan saya. Tiap kali mata terjaga dari tidur, bayangan akan kematian muncul erat. Continue reading DIA MAHA MEMBERI

Saturday, July 23rd, 2011

Cerita2 Simpan

Dua Minggu?! Terasa lambatnya masa berjalan. Setiap hari saya mengira di jari, bilakah tempoh berpantang ini akan berakhir? Dalam kepala, sudah merangka pelbagai agenda, salah-satunya nak berziarah ke Negeri Cik Siti Wan Kembang bersama suami dan anakanda tercinta.

ANAK
Masih lagi dikuasai rasa percaya dengan tidak, rasa syukur yang melimpah-ruah, rasa sangat malu pada Yang Maha Memberi. Ahmad Abu Darda’ menjadi peneman setia umminya setiap malam. Sebagaimana umminya dulu suka berjaga malam (masa mengandung), dia juga begitu. Alhamdulillah, tidak banyak ragamnya cuma akan menjerit bila buang air hatta buang air kecil sekalipun. Beruntung saya mempunyai seorang ibu yang sangat prihatin. Emak yang dikurniakan 11 anak mengajar saya bersabar melayan seorang anak. Emak turut berjaga malam menjaga Darda’. Sehingga hari ini, emak sahaja yang memandikan si comel kami kerana saya masih takut:))

ABI DARDA’
Abu Darda’ adalah sahabat Nabi SAW yang juga perawi hadis. beliau juga seorang usahawan yang hebat. Pernah diceritakan dalam sejarah, apabila tetamu bertandang ke rumah Abu Darda’, beliau tidak menyediakan selimut, sebaliknya menjamu para tetamunya dengan hidangan kambing. Abu Darda’ juga adalah ayah kepada seorang anak perempuan bernama Darda’. Namun, mengambil keberkatan sahabat nabi SAW ini, saya dan suami menamakan Ahmad Abu Darda’ bin Ahmad Dhiak. Moga dia juga menjadi seorang penulis Islam dan usahawan Muslim yang bertaqwa. Sejak tahu jantina kandungan, saya sudahpun berbicara dengan memanggilnya Darda’. Cuma tokwan Abu Hassan saja panggil Darda’ dengan panggilan Muhammad.

buat abi@suami, pengalaman baru juga kerana perhatian terpaksa dibahagi dua. Malah abi juga kena ‘turun padang’ jaga Darda’. Saya berdoa moga cepat sembuh dan sihat untuk menjadi isteri dan ibu yang terbaik, insya Allah.

TERKENANG-KENANG
Sepanjang mengandungkan Darda’, Allah SWT membuka kemudahan yang amat luas buat kami. Bermula dengan perjalanan ke Kota London sehinggalah siap buku Travelog Tarbiah: Dari Penjara Yokshire ke Kota London (akan terbit Ogos ini, insya Allah), buku panduan penulisan I Want To Be a Writer, Skrip telemovie Di Sapa Izrael dan Warkah Dari Penjara serta Skrip drama bersiri 10 episod Keimanan Cinta ( akan ditayangkan di tv9 5 September ini) sehingga dua hari sebelum melahirkan Darda’, Allah memudahkan saya memandu ke UPM dan UM bagi menghantar tesis sarjana berkulit tebal ke meja kerani Ijazah Tinggi APIUM bagi urusan konvokesyen 2011. ALhamdulillah..

KEHILANGAN
Berita kematian Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ menyedarkan saya bahawa kita semua perlu bersedia menghadapNYA. Tahun lepas, saya sempat berjumpa Allahyarhamah, di pejabatnya di Kampung Baru. Dalam keadaan apapun, perjuangan perlu diteruskan. Sesungguhnya kematian yang terbaik adalah mati ketika melaksanakan perjuangan Islam. Mati ketika menaikkan syiar Islam. Mati ketika mempromosikan Islam di kala manusia mula menjauhinya. Mudahan saya, dan sahabat2 diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk mencontohi para pejuang Islam yang lebih dahulu meninggalkan kita. Usia bukanlah ukurannya. Yang utama; siap sedia!

Monday, May 30th, 2011

Catatan Sebelum Berpantang

Menjengah masuk ke bulan Jun bermakna melangkah ke alam sibuk yang luar biasa. Bulan ini, saya perlu menghabiskan beberapa silibus pengajaran selama 4 minggu sebelum mengucapkan ‘selamat tinggal sementara’ kepada para pelajar dan juga pensyarah ganti. Bulan ini juga saya perlu menghantar pembaikan tesis untuk berjalan di pentas konvokesyen Univ Malaya 2011. Bulan ini juga adalah persediaan akhir mengumpul keperluan anakanda sulung yang sudah aktif dalam kandungan. Bulan ini saya merancang dua buah buku saya akan diterbitkan pihak Galeri Ilmu 1. Dari Penjara Yokshire ke Kota London dan 2. I Want To Be a Writer. Moga Allah SWT memudahkan segalanya, amin.

Alhamdulillah, di saat bertarung dengan rencah dunia (yang selalu tak habis), suami ada di sisi menemani. Melihat wajah cinta, surut rasa resah dan rindu (pada ayahbonda dan adik2) serta pelbagai perasaan lain (terutama membayangkan kesakitan nak bersalin nanti). Suami juga menjadi pendorong kuat untuk saya menyelesaikan amanah penulisan. Continue reading Catatan Sebelum Berpantang

Wednesday, April 27th, 2011

Rindu Kembara..

Saya menatap buah terbaharu (buku) karya Al-Fadhil Ustaz Zul Ramli bertajuk RNR Di Lebuhraya Kehidupan terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. yang dihadiahkan abah. Saya bersunyi dalam kebisingan pagi di Klinik Kesihatan Masjid Tanah yang mulai sibuk sejak 7 pagi. Buku itu membawa saya mengembara ke ruang jiwa, hingga ke titik persoalan, apakah bekal sepanjang perjalanan@hidup ini cukup untuk sampai ke destinasi. Ya, di takah lebuhraya@ hidup, perlu berhenti sekejap di RNR@Pusat sehenti mengumpul energi bagi melicinkan pengembaraan yang panjang. Saya sekarang berada di RNR mana?

Kembara fizikal telah diterokai ke beberapa negara di usia muda. Syukur. Dia memberi saya peluang menjelajah bumiNya yang amat luas. Medan, Damsyik, Amman, Irbid, Mekah, Madinah, Yogjakarta, Solo, Jakarta, Bangladesh, Singapura, Yangon, Myanmar, Bangkok, Pattani dan Kota London. Perjalanan yang membuatkan saya ingin terus bertandang ke sisi dunia Tuhan seterusnya..

Namun, di lebuhraya diri..berjayakah saya tiba ke destinasi yang dirancan
g mahu selamat, akan tiba dengan selamat?

Thursday, April 7th, 2011

Moga Anakanda Jadi Penulis!

Masa berlalu sangat pantas. Namun, tetap juga berasa perlahan kadangnya terutama bila menantikan sesuatu yang ditunggu. Saya tersedar, masa berlalu laju  apabila nafas  cepat semput bila memijak tangga ke tingkat tiga bilik kuliah, atau berdiri lama depan para pelajar, terasa ada yang menarik saya untuk duduk atau ambil nafas sebelum kembali melabur tenaga.
Wahai anakanda yang kini berusia 25 minggu. Banyak sungguh kenangan yang kita alami berdua, kadang bertiga dengan abimu. Namun, saya tidak lupakan bahawa anak ini banyak memberi motivasi kepada uminya untuk melangsaikan amanah penulisan.

Saat diberitakan anakanda muncul, umi dan abi sedang membuat persiapan ke Bumi London, untuk satu tugasan projek biografi. Anakanda telah berbisik ke hati umi bahawa anakanda tidak takut naik kapal terbang dan akan jaga ‘diri’ baik-baik dalam perut umi. 10 hari kita berjuang meredah salji dan suhu sejuk yang luarbiasa. Anakanda hebat kerana semangatmu tinggi mencari bahan walaupun terpaksa meredah siur Kota London yang sibuk. Jika ikutkan hati umi kala itu, umi mahu tidur dan rehat. Dua bulan pertama hamil adalah lumrah bagi umi untuk menyorok dalam selimut. Tetapi anakanda tidak mahu umi begitu. Umi perlu kuat semangat!

Sebaik pulang, umi dikerah untuk membaiki keseluruhan tesis sarjana untuk proses akhir ke gerbang konvokesyen 2011. Umi, ditemani abi dan anakanda mencari sudut di Akademi Pengajian Islam UM, membaiki bab 1 hingga bab 5. Kata abi, umi kena habiskan pembaikan di UM kerana jika di rumah, tesis tidak akan selesai. Maka, hingga larut malam, kita bertiga berusaha yang terbaik untuk tesis itu. Alhamdulillah, berkat doa abi dan anakanda, tesis umi insya Allah akan diterima untuk konvokesyen tahun ini.

Rentas waktu memang tidak membiarkan umi untuk bergoyang kaki. Sentiasa ada amanah untuk diselesaikan. Umi diberi tempoh sebulan untuk menyiapkan kajian biografi, maka hampir sebulan itu juga, bersekang mata menulis buku. Namun, anakandalah yang mengejutkan umi saban malam dan menghembuskan angin sabar buat umi. Anakanda tidak meragam, malah mendoakan umi diberi kesihatan dan semangat juang. Anakanda menemani umi sambil turut sama bernasyid yang terpasang di laptop. Alhamdulillah, berkat doa anakanda dan abi, buku setebal 250 ms itu dapat umi hantar kepada penerbit. Umi tahu anakanda tidak sabar menanti terbitnya buku itu di Pesta Buku 2011. Ia adalah hasil anakanda sebenarnya!

Umi juga tidak melupakan bagaimana anakanda sanggup berjaga malam menemani umi menyiapkan Skrip Telemovie Di Sapa Izrael. Tempoh dua minggu yang diberikan penerbit, menyekat waktu rehat buat umi. Anakanda terus memicit jiwa umi agar tetap teguh melangsaikan amanah. Beberapa minggu lalu, kita berdua bersama abi telah menonton drama itu di kaca tv. Terima aksih hero abi dan umi.

Kini, menjelang detik kelahiran anakanda, abi dan umi telah mempersiapkan nama yang baik untukmu. Abi selalu mengusap anakanda dan menyatakan, anakanda akan jadi sasterawan Islam yang hebat. Ya, umi juga mengharapkan yang sama, malah menjadi doa umi setiap hari kepada Allah SWT.

Masa yang berlalu memang pantas, tetapi umi berasa lambat menanti untuk menatap wajah anakanda yang banyak berkorban untuk umi. Terima kasih Allah atas anugerah anak yang soleh ini.

Monday, January 31st, 2011

Diari Hamil

Dia sudah ditiupkan roh! Subhanallah. Banyak keinginan di luar jangkaan berlaku beberapa minggu ini. Termasuk perubahan yang lebih baik, dapat meminimumkan rasa mual dengan makan kerap @ nak makan, nak makan.

“Abi, kita memang tak patut makan Mc D kan? hmmm..” kata saya kala kereta melalui depan One Utama, Damansara Utama, iklan Mc D begitu besar, dan burger keju memecahkan liur. Saya, yang berjaya melancarkan ‘boikot’ tahun 2010 (untuk barangan produk Israel yang mampu diboikot) rasa goyah. “Sabarlah..tapi kalau tak tahan, boleh juga nak beli..” balas suami. Saya alihkan pandangan dan cuba membayangkan sayur air masak rebung buatan mak. Mengelus rasa tak sabar pulang ke Kedah.

Kami dalam perjalanan ke Putrajaya, mengunjungi Ustaz Erfino, Kak Anis dan anak-anak mereka yang baru pulang dari London. “Jumpa di Alamanda Putrajaya,” sms Ustaz. Ada hikmahnya berjumpa keluarga bahagia mereka di Alamanda, dapat menjejakkan kaki dan mata di komplek membeli-belah angkatan Suria KLCC, walaupun berpuluh kali mengunjungi Putrajaya. “Makan dulu,” kata Ustaz menyambut kami. Anak-anaknya sibuk mencari stesen makanan yang menyelerakan. Akhirnya, kami semua masuk ke restoren makanan timur-barat. Tika membelek menu, terjumpalah saya akan makanan yang terlintas di fikiran kala melihat iklan Mc D tadi. Allah memakbulkan kehendak saya dalam bentuk yang lebih terhormat, Alhamdulillah.

Pulang dari Putrajaya, saya mengajak suami ke rumah kekanda Kamariah Kamarudin yang akan terbang ke Jerman Mac ini bersama suami dan anak-anaknya. Bateri hp kosong menghalang saya memaklumkan kedatangan kami lebih awal. “Kalau Kak Kay ada di rumah, alhamdulillah. Jika tak da, bukan rezeki kitalah abi. Tapi, kita singgahlah ya..” pujuk saya. Suami tenang memandu ke Seksyen 8, Bandar Baru Bangi.Memang sudah rezeki kami berjumpa Kak Kay dan suaminya, Abang Zaidi.

“Ini hadiah untuk ummu, ” katanya bersama beg kertas berisi buku, kad ucapan dan bantal kecil yang comel. Kekanda Kamariah selalu membuatkan saya malu dengan budi baiknya, ya, sepanjang 12 tahun saya mengenali beliau. Semoga Allah memudahkan segala urusannya sekeluarga. “Wah, Kak Kay, ini buku yang baru ummu nak beli tapi ummu tangguhkan dulu..” kata saya membelek Buku Diari Hamil terbitan Telaga Biru. Buku itu saya jumpa di Akademi Pengajian Islam UM minggu lepas tapi berniat untuk membelinya ketika Pesta Buku nanti. Dua minggu ini duit banyak dikorbankan untuk menjilid tesis sarjana dan travel ke Melaka-Kl-Pahang- Kedah- Melaka. Alhamdulillah, Allah memenuhi kehendak hati saya melalui wanita mulia bernama Kekanda Dr Kamariah Kamarudin. Insya Allah, akan saya hargainya!

Sebelum terus ke Temerloh, Bandar Ikan Patin, saya dan suami singgah di rumah adik di Pinggir TTDI. “Datanglah  makan, abah dengan mak masak,” kata mak yang datang dari Kedah. Kami meredahi kesibukan luar biasa dari Puchong ke Damansara dengan suami yang agak letih memandu dari Melaka tanpa bantuan saya. “Nanti lepas makan dengan mak dan abah, kita terus balik Temerloh ye, umi bawak kete pulak,” pujuk saya. “Yelah, orang tu nanti mengantuk..” “Umi janji, umi bawak sampai Gombak, heheeee..” Suami saya mencebik bibir lucu. Di rumah adik, semua makanan sudah terhidang. Air tangan mak dan abah yang sangat istimewa terutama…”Tadi di rumah kawan mak, dia bagi rebung ni, mak teringat yang Kak Ummu nak sangat makan sayur rebung, mak masaklah..” kata mak. Alhamdulillah, banyak sungguh Allah beri, malu pula. Alhamdulillah..syukur..syukur..

Saya belek-belek buku Diari Hamil. Sangat comel dan padat ilmu. Ada satu perkongsian yang menjawab pertanyaan pelajar saya tempoh hari.

“Ustazah, kalau kita tak tahu jantina anak dalam kandungan, macam mana kita nak baca Surah Yusuf atau Mariam. Orang kata, baca Surah Yusuf untuk dapat anak hensem, dan baca Surah Mariam untuk dapat anak cantik..” kata pelajar perempuan itu. Saya terkedu dan mahu tergelak juga.

“Pada pandangan ustazah, eloknya wanita yang mengandung ini membaca keseluruhan al-Quran dan target untuk khatam sekurang sekali sepanjang tempoh mengandung. Namun, tak dinafikan ada surah-surah yang mengandungi fadilah tertentu. Nasihat ustazah, bacalah seluruh isi al-Quran dan tafsirnya,” kata saya yang belum berani memperkatakan tentang fadilat surah-surah itu. Saya perlu mencari faktanya dahulu.

Dalam buku Diari Hamil mencatatkan

1. Surah Yusuf – untuk memohon anak yang cantik rupa dan akhlak

2. Surah Luqman – Untuk memohon anak yang cerdik

3. Surah Maryam – Untuk memudahkan bersalin

4. Surah Yasin – Untuk memohon anak yang teguh hati dan tidak terpengaruh dengan maksiat

5. Surah al-Hujurat- Untuk memperbanyakkan susu ibu.

Monday, January 17th, 2011

Pasta dan Kentut

KENTUT

Sebelum meninggalkan kelas, saya berkongsi satu nasihat yang diberikan ibu saudara sebelum berkahwin dulu dengan para pelajar. “Setiap kita perlu mempunyai rasa malu dengan orang lain hatta suami isteri. Isteri adalah jiran terdekat suami dan begitulah sebaliknya. Nak kentut pun perlu rasa malu..” Panjang lagi nasihat saya itu. Tapi mendengar perkataan kentut, para pelajar baik saya itu (baik kerana sanggup ‘bertahan’ walaupun jam dah lebih 6 petang) ketawa sakan. Saya berjaya jugalah membuatkan mereka keluar dari kelas dengan mata segar bukan mata kuyu..heheee

Dalam Filem 3 Idiot, yang saya tonton (akibat dipengaruhi oleh suami), ada satu watak yang suka kentut ‘senyap’. Dia dipanggil silencer oleh semua rakan-rakannya. Perbuatan kentut senyap ini walaupun kelihatan sopan tapi sebenarnya perbuatan ‘munafik’ yang paling kurang ajar. Jadi, cubalah elakkan.

Sempat juga saya memboloskan kereta dari kesesakan ‘kedai2′ di Pekan Masjid Tanah agar sampai di rumah sebelum jam 7 petang. Ini adalah gara2 simptom GDBC (Gila Drama Bersiri Cina) yang bertajuk Tales of Royal Seamstress .Saya bukan peminat semua rancangan televisyen melainkan ingin belajar sesuatu dari drama yang baik bagi menghasilkan skrip yang berkualiti. Petang ini, sempat tonton 10 minit drama tersebut dan satu falsafah Cina telah saya dapat apabila seorang watak berkata “Menjadi orang berilmu lebih baik dari menjadi orang kaya atau orang berharta. Orang berilmu walaupun mati, akan tetap disebut namanya kerana meninggalkan khazanah besar kepada masyarakat..” kata2 itu disambut watak yang lain yang berkata, “Oh, awak ni seperti pendeta yang ‘berkentut’”. Maksudnya, kentut seorang pendeta itu sangat bernilai atau berharga. Kentut macam ini bolehlah diterima.

PASTA

Ada satu kisah tentang Encik A dan Puan A. Puan A disahkan mengandung dan berharap dia tidak akan mengalami alahan yang teruk dan mengidam yang tidak-tidak seperti sesetengah kawan2nya. Ada seorang kawan Puan A, ketika mengandungkan anak bongsu, dia telah menghidam ‘hati unta’. Maka, ada orang yang pergi ke Mekah mengusahakan hati unta untuk kawan Puan A. Puan A amat berharap dia tidak seperti itu. Ya, Puan A hanya alami alahan biasa cuma satu yang besar iaitu ‘tidak mahu memasak dan makan masakan buatan sendiri.’

Suami Puan A suatu hari memintanya membuatkan pasta. Maka, dia melawan rasa hatinya untuk  suami tercinta. Setelah itu, suaminya mahu makan pasta buatannya lagi, dia memasaknya dengan sabar. Sehingga dua minggu berturut-turut, suaminya tetap hanya meminta untuk makan pasta. Lebih empat kali memasak pasta, Puan A mengadu yang dia tidak  betah lagi melihat bintil2 pasta. Maka, Encik A tegar memasak pasta sendiri.

Dan esoknya, sebelum ke tempat kerja, mereka sempat singgah bersarapan di warung nasi lemak bungkus yang amat sedap di Masjid Tanah. Alangkah tergamamnya Puan A, apabila mereka duduk hendak bersarapan, Encik A mengeluarkan pasta dari bekas yang dibungkusnya. Dia memasaknya sendiri sebelum keluar rumah tadi. “Abang macam tak boleh berpisah dengan pasta tu, pelik ya..inikah namanya mengidam?”

Tidak mustahil jika isteri mengandung, suami yang mengidam.

Wednesday, August 11th, 2010

Ahlen Ya Ramadan 1431/2010

Ramadan

Ada hikmah puasa

ada hikmah ibadah

Ada hikmah al-Quran

ada lailatul Qadar

Permulaannya Rahmah

Pertengahannya keampunan

Pengakhirannya bebas dari api neraka.

Hormatilah Ramadan.

Tinggalkan dosa

Banyakkan pahala

Moga Allah meredhoi kita.

Peluklah Ramadan sementara umur masih ada bersamaNYA.

Salam Ramadan

Ahmad Dhiak & Ummu Hani

Tuesday, August 3rd, 2010

Tudung Yang Dipaksakan

JANGAN LUPA TONTON ANGIN RINDU SARAJEVO BERMULA 5 OGOS (KHAMIS INI) DI RTM2:)

Tengah hari, biasanya saya bersama teman pensyarah, Ustazah Syarifah Adura keluar membeli lauk di kedai makan yang terletak di luar UITM Lendu (orang di sini panggil ‘London’). Kadang2 naik kereta Kelisa Adura, pernah juga naik kereta WKF 7407 (cinta dari suami) saya. Jam 12.30 petang memang waktu yang amat sesuai untuk ‘berebut’ dengan para pelajar. Kalau kad matrik tak sengaja digantungkan di tudung, maka saya dan Adura (yang sama2 kecil molek) akan dipelajarkan oleh budak-budak itu.

Sudah namanya pensyarah banyak fakulti (lebih 5 fakulti), maka agak ‘popular’ juga wajah saya dan Adura kepada budak-budak itu. “Makan Ustazah..” kata  banyak suara. “Makanlah..makanlah” balas saya yang ‘sentiasa’ senyum (walaupun perut sedang bernasyid lapar) pada mereka. Agak pelik juga kerana yang ramah menegur kebanyakan pelajar lelaki, yang perempuannya tunduk, malu, dan ada juga yang mahu segera ‘cabut’ dari bertentang mata dengan dua ustazah ini.

“Eh…” kata seorang pelajar perempuan yang tidak sempat lari lagi. Lauknya telah ‘terbeli’ dari gerai yang Ustazahnya beli. Terpaksalah ‘menghadap’ ustazah sementara membayar harga makanan. “Kamu ni..” Saya pun menggosok-gosok bahunya. Belum sempat saya teruskan ‘kata-kata hikmah’, dia lebih dulu buka mulut. “Ustazah, saya memang tak layak pakai tudung. Perangai saya tak sesuai jika saya bertudung. Saya tak baik sangat Ustazah..betul ustazah..’ katanya berterus-terang sungguh. Saya tidaklah pelik jika dia tak mahu bertudung, itu bukan kewajipan universiti ini. Cuma, bila masuk ke kelas agama, tentulah mereka ‘terpaksa’ bertudung. Namun, yang agak menjengkelkan ialah dia tidak bertudung kerana ‘berwatak semacam lelaki’ (tomboylah kot), dengan rambut ala-ala rockers, seluar dan kemeja yang sengaja ‘dilondehkan’ dan menyelit-nyelit pula di tengah pelajar-pelajar lelaki. Berkali pandang juga nak cam dia perempuan. Dalam kelas saya, dialah wanita Muslimah ‘anak mami’ terakhir.

Begitulah situasinya para pelajar yang dipaksakan bertudung ke kelas agama. Keluar kelas, watak mereka berubah, seperti ‘binatang sesumpah’ yang bertukar-tukar warna kulit mengikut tempat menjalarnya. Dalam kelas agama dan Komunikasi Islam, berpakaian Islamlah mereka, sebaik keluar, yang tinggal baju ala-ala ‘bikini’, funky, dan ala-ala Paris Hilton. Semua mahu bergaya dan melaram. Tapi bila ditanya, sudah berapa buku anda semua baca tahun ini, hampir semua membaca tak sampai dua buku, apatah lagi buku ilmiah. Komik, majalah hiburan, filem dan televisyen  pastinya ramailah.

“Ustazah, saya memang berniat nak bertudung cuma tak sampai seru lagi,” kata pelajar wanita yang lain. Saya terkejut, kerana sebelumnya dia datang menghafaz bacaan solat dan surah lazim dengan ayu dan sopan sekali. Kali ini seperti gaya artis AF pun ada. Saya tidak berniat meleteri mereka di situ. Saya dan Adura hanya senyum, “Makanlah..makanlah..” kata kami tidak mahu membantutkan selera makan mereka.

Namun, sebagai penulis tentunya, saya tidak boleh melarang diri dari melepaskan ‘gundah’ di sini. Dan waktu yang sama sedang mencari formula ‘leteran’ yang berhikmah untuk disampaikan dalam kelas minggu ini. Ya, khususnya untuk tuan-tuan tudung yang telah dipaksakan tersarung di kepala.

  • NURLIDA BT MOKHTAR: Salam Ummu Hani, Saya Kak Ida , ingin berkongsi...
  • Akim: link utk borang http://files.itnm.com.my/download/...
  • kakyong: tak salah utk berkahwin semasa belajar, asal faham...
  • Emyne Fahimah Chan: Assalamu'alaikum.. Bagaimana untuk saya mendapatk...
  • mamawana: Assalamualaikum Apa khabar Nik Nur Madihah? Ap...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com