Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Catatan Harian Category

Monday, July 12th, 2010

Jalan di Depan..

Di atas bukan jalan yang ‘selalu’ saya lalui sekarang:)

Jalan di depan diredahi dengan fikiran berbalam. Sama balamnya dengan bukit-bukit yang melerengi lebuhraya dari Tol Ayer Hitam ke Tol Simpang Ampat. Saya terkaku dalam diri walaupun kaki menekan kuat pedal minyak. Terkenangkan macam-macam hal yang semuanya saya kembalikan pada diri. Ya Allah, syukur dengan jadual hidup yang KAU susunkan buat hamba sang musafir. Seperti hamba di atas lebuhraya ini, yang telah tahu lorong mana mahu dimasuki nanti. Begitulah juga hidup, DIA telah gariskan pada siapa saya menjadi anak, pada siapa saya menjadi isteri dan di mana tempat saya berbakti padaNYA kembali. Saya hanya perlu berjalan terus dengan peta di tangan ALLAH dan RASUL.

Duduk di meja ini, satu lagi rasa syukur. Hari Isnin saya tiada kelas, boleh membuat sedikit persediaan jiwa dan akal. Ada tugas-tugas penulisan yang perlu saya selesaikan juga. Hargailah masa. Hargai masa. Hargai masa. Itu pesanan turun-temurun buat diri yang semakin dewasa dan mahu sangat menjejak martabat ‘ibu’ sejati.

Cukup dulu di sini. ‘Rumah besar’ UITM Alor Gajah akan menjadi bumbung meneduhkan diri dalam perjuangan pendidikan yang baru hari ini bermula. Insya Allah, bumbung kecil ‘blog’ ini juga akan terus ‘disewa’ untuk rakan pembaca semua melepaskan penat dan beristirehat minda. Saya akan kongsikan yang sepatutnya saya tulis demi jalan di depan yang diharapkan terus ‘hidup’ biarpun suatu masa, saya sebagai penulis akan menutup mata.Insya Allah.

Thursday, July 1st, 2010

Betapa Rindu Itu Dahsyat

Angin yang mendesir, membuaikan pohonan.
Mengirim gerimis jernih. Pesan dari halintar.
Lalu berlopaklah bumi dititis air mata awan.
Alam menyejuk. meneriakkan halkum binatang katak.

Aku jauh dari semua itu.
Dalam alam rindu padanya..suamiku.

Sunday, June 6th, 2010

Adibah Berbaju Oren

Assalamualaikum semua..

Nama saya Adibah Hanim binti Abu Hassan. Saya berusia 8 tahun dan kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Siputeh, Padang Sera, Kodiang, Kedah. Saya adalah anak bongsu daripada 11 orang adik-beradik. Kini saya sudah mempunyai seorang anak saudara bernama Auni Hafsah Abu Hanifah.

Pada cuti sekolah yang lalu, abah telah berjanji membawa saya ke Kuala Lumpur dan pulang dengan kapal terbang. Saya rasa teruja sangat. Saya amat berterima kasih pada abah dan mak. Jika ada peluang, saya mahu belajar ke luar negara kerana mahu naik kapal terbang jauh-jauh.

Sekian terima kasih

Monday, May 10th, 2010

Kemahasiswaan Bukan Pembaziran

Suatu hari di tahun 2004, saya dipanggil oleh Puan Nor Raudah Hj Siren, Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya ke biliknya. Dia menyuakan draf karangan pendeknya kepada saya. “Mohon pertolongan Ummu jadikan cerita ini sebagai sebuah skrip drama pentas,” katanya. Tajuk cerita itu adalah Kasih Kekasih. Dengan perasaan segan untuk menolak, saya menerima draf itu seperti kemahuannya.

Di kolej, saya termenung lama di hadapan komputer manakala draf tersebut  terkedang di atas timbunan buku. Itulah kali pertama saya ‘cuba-cuba menulis’ sebuah skrip. Kisah yang ingin diangkat oleh pensyarah saya itu mirip dengan kisah yang berlaku sebelum keislaman Saidina Umar al-Khattab. Kami tidak menetapkan ianya sebagai teater moden atau tradisional, yang penting menurut Puan Nor Raudah, mestilah teater Islam yang menggabungkan elemen seni Melayu iaitu syair dan silat. Kasih Kekasih kelihatan feminisme kerana protagonist utamanya terdiri daripada dua watak wanita bernama Aisyah dan Sumayyah. Manakala, watak-watak utama lelakinya adalah antagonist. Dalam teater ini, Aisyah dan Sumayyah telah menyebarkan agama Islam di sebuah perkampungan yang kaum wanitanya menjadi hamba nafsu lelaki. Mereka mengajarkan Islam dan seni mempertahankan diri kepada wanita-wanita muda di kampung tersebut. Kesannya, tidak ada lagi wanita yang mahu menjadi hamba nafsu lelaki dan menjalani hidup sebagai muslimah. Namun, perubahan itu mengundang kemarahan tiga tokoh lelaki yang digambarkan mempunyai akhlak seperti Abu Jahal dan rakan-rakan jahiliahnya.

Sebagai teater Islam, dakwah menjadi intipati yang menggerakkan karya. Golongan Islamik hendaklah menunjukkan contoh tauladan yang berhikmah dalam menyampaikan Islam. Misalnya, watak Aisyah dalam teater ini daripada seorang gadis yang lemah-lembut menjadi gadis waja yang sanggup berpedang melawan musuh Islam. Akhirnya, dengan kekuatan jiwa, akhlak dan keberanian gadis-gadis da’ie ini, hancurlah kezaliman para lelaki di perkampungan tersebut. Lebih mengharukan, semua yang tidak beriman dalam teater ini menyatakan keislaman mereka dan memberikan sokongan kepada kumpulan pendakwah menyampaikan Islam.

Sedar tak sedar, sudah enam tahun pengalaman itu berlalu. Continue reading Kemahasiswaan Bukan Pembaziran

Tuesday, April 27th, 2010

Bahasa Rindu

Ada sesuatu, yang tidak perlu diucapkan dengan perkataan.
Cukuplah apabila kita mendengar rentak nada di radio
atau disentuh desir angin selepas hujan
dan terlirik namanya di catatan

kita akan menangis.

Tuhan, aku amat MERINDUKAN BUMI SYAM

‘ Umi, insya Allah, impian utama abi, jika kita ada rezeki nanti, tempat pertama kunjungan kita adalah Mekah dan Madinah,’ – Suami.

ALLAHUMMA AMIN.

Wednesday, April 21st, 2010

Pelajaran Atas Pelajaran

Kehendak untuk menulis sentiasa ada. Seperti rumput disimbah hujan kadangkalanya. Selalu muncul benih baru yang hijau di tanah otak yang subur. Namun, tidak dinafikan, kehendak tanpa perbuatan akan menjadi sesuatu yang sia-sia. Bagi mengukuhkan hati, saya berkata sendiri, jika tidak menulis, membacalah! Jika tidak membaca, berfikirlah! Jika tidak menulis , membaca dan berfikir..tidurlah! Namun, tidur yang masih berkehendak untuk menulis!

SETIAP HARI

Setiap hari itu adalah pelajaran. Bagi orang yang baru masuk ke perkampungan rumahtangga, akan terasa masa adalah guru. Sekarang ini, setiap minit, saat dan jam, saya menghadiri kelas yang berbeza. Gurunya adalah suami, kadangkala saya sendiri. Ketika ‘kelas’ di dapur misalnya, saya sendiri menjadi guru. Guru kepada diri sendiri. Ada hari-hari tertentu, apabila suami mahu menjadi murid, membantu saya di dapur,maka saya ‘buat-buat pandai’ menentukan bahan-bahan yang perlu dimasukkan dalam kuali. Di kelas yang lain pula, iaitu kelas bertukang, menguruskan kenderaan dan ibadah, saya menuntut pada guru yang sama; suami.

Apabila bercerita tentang dunia sains dan teknologi, suami akan mengutarakan maklumat yang lengkap kepada saya selaku muridnya. Sebaliknya, apabila bercakap tentang seni dan sastera, maka suami pula setia mendengar ‘bebelan’ saya dengan penuh minat. Ada waktu, kami belajar tentang bahasa. Suami mengajar saya menggunakan kata ‘koi’ ‘meling-meling’ ‘gano gamaknye’ ‘berderoi’ ‘ kone je’ dan lain-lain. Saya pula memaksa suami menyebut ‘hampa’ ‘biaq pi’ ‘ketegaq’ dll dengan betul. Kemudian, sesi akhir, kami masing-masing berazam, jika direzekikan zuriat dariNYA, maka akan berlumba ajar pada anak-anak cakap Temerloh atau Kodiang.

 MUSAFIR CINTA

Beberapa hari lalu, pulang dari Kota Singapura menziarahi Bonda Rohani Din dan keluarga di Toa Payoh, saya mendapat pelajaran ukhwah. Umat Melayu Singapura, walaupun bangsa minoriti, jelas masih utuh kasih persaudaraan sesama mereka. Di sana, kami juga berkesempatan menziarahi Masjid Muhajirin, melihat Bangunan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Madrasah al-Irsyad. Pembangunan infrastruktur dan sistem Islam di sini semuanya datang dari hasil dana umat Islam Singapura tanpa campur tangan pihak kerajaan.

Hasil kunjungan ke Singapura, selain merapatkan ukhwah (termasuk keluarga Makcik Ramlah dan pakcik Atan di Choa Chu Kang), saya dan suami berasa insaf. Alangkah mahalnya sebuah sistem yang ada di Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi serta hak bumiputera orang-orang Melayu. Jika di Singapura, orang Melayunya berbangga dengan tinggalan sejarah kemelayuan serta dilangsungkan hingga kini dalam keadaan ‘survival’dan  ruang yang terhad, maka orang Islam di Malaysia sangat beruntung.

Pelajarannya, teruslah bersyukur dengan nikmat Islam dan Melayu. 

Tuesday, March 16th, 2010

Ibu@Pengorbanan

 14032010592.jpg

Seronok dapat pengalaman tolong mak (kanan) berjualan goreng pisang dan ABC  di belakang rumah Temerloh.

Akhir-akhir ni, apabila memandu di jalanraya, IKIM.FM selalu menemankan saya dengan nasyid bertemakan ibu@umi. Terasa ada getaran luarbiasa apabila nama ‘ibu@umi’ disebut. Saya serta-merta jadi pilu. Saya sekaligus menjadi rindu. Yang teramat sangat.

***************

TUGAS ISTERI SOLEHAH

“Ustaz, ana mohon nasihat ustaz sebagai bekal menjadi seorang isteri,” kata saya kepada al-Fadhil Ustaz Zainul Asri Hj Ramli beberapa hari sebelum Majlis Perkahwinan saya hujung tahun lalu. Ustaz dalam ketenangannya menyatakan, saya perlu miliki 3 perkara ini untuk ‘hebat’ sebagai seorang isteri.

“Pertama, anti perlu menjadi ‘umman’ (ibu) kepada suami. Kedua, jadilah ‘ukhtan’ (saudara) kepada suami. Dan ketiga, jadilah ‘bintan’ (anak perempuan) kepada suami,” kata ustaz. Selepas itu, ustaz menghuraikan tiga peranan tadi buat anak muridnya ini.

140320105911.jpg

Dua insan yang amat dicintai

UMMAN

Seorang ibu sarat dengan kasih-sayang kerana satu sifat Allah telah difitrahkan dalam diri mereka iaitu ar-Rahim. Hanya wanita mempunyai anggota rahim yang tak dimiliki oleh kaum lelaki. Ibu akan melihat anak-anaknya dengan pandangan cinta sekalipun anak-anak tidak ‘membalas’ cinta ibu. Cinta ibu ibarat langit menaungi bumi dan bumi menemani langit, tidak terpisahkan. Ibu tidak sanggup mengatakan ‘tidak’ kepada anak-anak. Jika mereka mampu, seluruh kemahuan hidupnya adalah untuk anak-anaknya. Walaupun ada ibu berkata ‘tidak’ kepada anak-anak, kata itu bukanlah dari hatinya, sebaliknya dia berdoa di sisi yang lain, moga Tuhan memenuhi apa yang terbaik buat si anak.

Untuk anak-anak, ibu sanggup tidak mengeluh ‘penat’ dan ‘lapar’. Dalam kelaparan dan kepenatannya, ibu tetap akan memastikan anak-anak tidak lapar dan sihat. Hati ibu mahu anak-anak sentiasa gembira dan bahagia. Dia berasa menjadi wanita paling bertuah di dunia apabila anak-anak berjaya dalam hidup. Ibu berdoa kepada Tuhan agar dipanjangkan usia, bukanlah untuk dirinya tetapi untuk terus berbakti kepada anak-anaknya. Ibu bimbang sekali, jika dia tiada siapalah yang akan menguruskan keperluan anak-anak, memasak, menemani anak-anak belajar, memberi kata ransangan dan berdoa untuk mereka. Doa seorang ibu lebih laju daripada kilatan halintar. Mustajab dan mujarab.

Ibu, sepanjang hidupnya adalah menjaga syurga di bawah tapak kakinya adalah untuk anak-anaknya di akhirat kelak.

Dan,  sifat ibu ini perlu ada dalam jiwa seorang isteri kepada suaminya.

 

 UKHTAN DAN BINTAN

Ustaz tidak menghuraikan sifat uktan dan bintan secara detail. Ukhtan kata ustaz, peranannya adalah menjadi saudara atau sahabat kepada suami dalam perjalanan dan pekerjaannya. “Berbuallah dengan suami apa sahaja topik ilmu. Jadilah pendengar yang baik kepadanya, berkongsilah cita-cita dan matlamat kebaikan serta menjadi penasihat suami yang ulung. Jangan sesekali berasa ego dengan suami. Jika ada kesilapannya, maka tunggulah waktu yang sesuai (ketika nak tidur) untuk menegurnya. Dan ketika suami marah, jangan sesekali buka mulut. Diam dan dengar sahaja hingga marahnya surut. Jangan melawan atau meleteri suami di waktu dia kepenatan,” kata ustaz. Continue reading Ibu@Pengorbanan

Thursday, December 31st, 2009

Misi 2010

Untuk memulakan catatan kali ini, hati bergetar. Beberapa jam lagi, tahun 2010 mengetuk usia. Ia datang bersama bil tanggungjawab lama dan senarai tanggungjawab baru yang perlu dilaksanakan. Kedua bil tersebut akan diabadikan malaikat kiri kanan untuk dibacakan di Mahsyar kelak. Dan betapalah seorang aku ketika itu, terperi malunya kerana tidak menggunakan nikmat dan peluang kehidupan sebaiknya untuk menjadi hamba dan khalifah Allah sepanjang bernafas.

Masuk tahun 2010 kali ini, azamku ialah menghabiskan semua yang tak terlangsai pada tahun 2009 terutama bidang penulisan; bidang yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT ke atas hambaNYA ini dengan bakat dan peluang yang ada.

Azam yang lain ialah menjadi isteri yang solehah, anak yang taat serta kakak yang penyayang. Aku juga mendoakan dapat menjadi seorang ibu seperti mana namaku Ummu Hani (ibu yang penyayang)tahun ini. ALLAHUMMA AMIN.

Keajaiban Doa

Ramai sahabat2 Muslimah yang memasang impian untuk hidup berumahtangga pada tahun 2010 sementelah 2009 berlalu dengan rezeki selain jodoh. Pastinya doa yang dipanjatkan tanpa putus akan dimakbulkan kerana Allah SWT telah mendengarnya sebelumpun doa kita dizikirkan di bibir. Yakinlah, bahawa doa yang istiqomah dan penuh pengharapan akan diperkenankanNYA walaupun tidak serta-merta.

“Ustaz, ana ucapkan terima kasih pada ustaz kerana bagi ana doa khusus untuk jodoh. Alhamdulillah, keberkatan doa itu telah ana rasai dan akan dikongsikan dengan sahabat-sahabat yang lain,” kataku ketika menziarahi guruku, Al Fadhil Ustaz Zainul Asri Hj Ramli baru-baru ini setelah bergelar isteri. Ustaz dan isteri, Ustazah Mahani merupakan guru yang mendidik diri ini menjadi manusia yang mengenal Tuhan ketika diri baru menjengah alam remaja. Terlalu banyak curahan ilmu mereka yang sekarang baru dapat kurasakan hikmahnya. Guru-guru yang ikhlas membimbing kita kepada Allah berbeza daripada guru yang sekadar mencurah ilmu di dalam kelas. Guru yang mendidik tidak sama dengan guru yang sekadar mengajar. Guru yang mendidik tugasnya adalah selagi mana anak muridnya bernafas di muka bumi, nasihat, taujihat dan pedoman terus dilaungkan agar anak murid tidak tersasar ke jalan selain Tuhan.

“ALLAHUMMA SA KHIRLI ZAUJAN SOLIHAN YAKHTIBUNI WAYA TAZAU WAJUBI WAYAKUNU SOHIBAN LI FIDDUNYA WAL JANNAH”
Maksudnya: YA ALLAH YA TUHANKU, PILIHKAN DAKU SUAMI YANG SOLEH, DIA MEMINANGKU DAN MENGAHWINIKU SERTA JADIKAN DIA SAHABATKU DI DUNIA DAN DI SYURGA.”

Doa di atas dititip oleh ustaz dan ustazah sekitar akhir tahun 2005. Kira-kira 4 tahun berlalu, doa itu akrab di bibir kerana yakin, setiap lafaz adalah doa buat diri.

“Amalkanlah doa ini. Ustaz dan ustazah dulu tak pernah kenal, tapi bila walimah tahulah kami bahwa doa tadi telah menyatukan kami iaitu sama2 mahu mendapatkan pasangan yang baik dan bawa kita ke syurga,” kata Ustaz diiyakan oleh ustazah.

Beberapa minggu yang lalu, Allah SWT telah memperkenankan doa hambaNYA ini; yang terjadi padaku ialah, suamiku (Ahmad Dhiak) telah datang meminangku pada tarikh 16 Dis 2009, juga mengahwiniku pada hari yang sama. Sekarang kami sedang bersahabat (ukhtan fiddakwah, umman fil hanan wa bintaN fil bait) dan insya Allah memasang impian untuk kekal bersama hingga ke syurgaNYA.

“Bersyukur atas nikmat Allah SWT. Rumahtangga adalah satu proses mendapatkan cintaNYA dan taqwa,” begitulah kata-kata suami selalu. Walaupun kami tidak saling mengenali sebelum ini, rasa hati yang sama telah disatukan ALLAH SWT dalam rumahtangga yang baru dibina ini. Memandang suami seolah dialah insan yang tercipta lama untukku dan hanya baru dipertemukan. Ya, dirinya dipertemukan denganku adalah untuk menjadi seorang suami, begitu juga diriku kepadanya. Kami tidak melalui fasa perkenalan aka percintaan. Taaruf dua bulan adalah untuk pernikahan!

“Ad-Du’a silahul mukminin’ Doa itu senjata orang Mukmin.

“Lepas ni anti sampaikan pada yang lain doa ustaz tu,” kata ustaz tumpang bersyukur dengan rezeki jodoh yang dikecapi anak-anak muridnya.

MISI 2010

Tidak mahu terlalu banyak bermisi. Hanya mahu terus berdoa kepada ALLAH SWT agar segala urusan amanah lalu dan sedang dipikul ini dapat dilangsaikan sebelum nyawa dicabut dari badan.

SEKIAN,
HAMBA YANG KAYA DENGAN DOA TETAPI CULAS DENGAN USAHA.
Puan Ummu Hani

Wednesday, November 11th, 2009

Rindukan Abah

 abah.JPG

Kami semua rindukan abah.

Sekiranya abah sekarang berada di Malaysia, belum tentu lagi kami dapat bersama selalu. Emak dan adik-adik di Kedah hanya berpeluang bersama abah, dua atau tiga hari saja dalam seminggu. Lebih 10 tahun abah berulang-alik dari Kedah ke Kuala Lumpur, itu sudah cukup menggambarkan pengorbanan abah terhadap bidang media dakwah yang dicintainya demi agama.

Saya rindukan abah yang kini berada di Damsyik, Syria. 14 November nanti abah akan menunaikan fardhu Haji di Mekah pula, menyambut panggilan Kekasih Agung dan Kekasih kepada Kekasih, Rasulullah SAW. Perasaan rindu saya ditanggung sama oleh adik-adik. Tentunya tidak terbanding rindu mak kepada abah yang selalu bertanya, ‘Abah ada emel Kak Ummu? Ada sms Kak Ummu? Kalau ada, print bagi mak baca..”

Walaupun abah jauh, selalunya dia merisik khabar berita di telefon tangan dan emel kami. Saya tahu, abah menanggung tanggungjawab yang berat dan banyak. Tidak sampai hati saya menceritakan masalah-masalah sekiranya saya mampu hadapinya sendiri. Saya pernah memberitahu abah bahawa, jika berhadapan dengan mak dan abah, saya akan merasa seperti seorang anak kecil. Dengan kawan atau adik, saya ego untuk menumpahkan air mata dan merajuk. Tetapi, dengan ibubapa saya tidak dapat menipu diri. Malah menangis seperti anak kecil beberapa kali saya lakukan terhadap mak pada usia 26 tahun ini.

Abah tahu saya seorang yang sensitif, kerana anugerah itu mengalir dari abah kepada saya. Tekniknya mendekati saya berbeza daripada adik-adik. Teguran abah kepada saya biasanya melalui surat. Sejak saya berada di Tahun Enam, sekolah rendah, abah menegur  sikap saya yang tidak disenanginya melalui surat. Malah pernah sekali, surat itu diposnya ke rumah walhal, boleh saja abah memanggil saya, bercakap empat mata dengannya. Mungkin cara itu kurang sesuai, kerana saya selalu merajuk sebelum abah mengeluarkan suara. Namun, melalui surat, saya akan membaca dengan tenang, berfikir, bertaubat dengan meminta maaf pada emak dan abah atas kesalahan yang telah saya lakukan.

Sebelum abah ke Mekah baru-baru ini, saya ada sesuatu yang terpendam untuk diluahkan padanya. Saya menulis surat dan menyisipnya di bawah meja kerja abah. Alhamdulillah, abah menyambut baik saranan dan perancangan saya. Ketika abah pergi, saya masih lagi diganggu persoalan diri, sekali lagi menghantar emel pada abah yang jauh, dan dia telah membalas emel-emel saya dengan  pesanan ‘anak abah seorang yang matang’ ‘semoga tabah berhadapan dengan ujian’ ‘abah doakan Kak Ummu’ ‘Semoga jadi kakak dan isteri yang penyayang’. Kata-kata itu, walaupun pendek amat mencengkam jiwa saya untuk kembali segar memulakan langkah.

Saya teringat keluhan seorang teman, dia menyesal kerana tidak sempat mengatakan ‘saya sayang ayah’ sebelum bapanya meninggal dunia. Ya Allah, saya masih banyak peluang. Ya, saya akan katakan pada abah di sini dan juga di mana-mana bahawa saya dan adik-adik amat menyintai dan merindunya.

Abah..selamat berjuang. Saya titip sebuah nasyid yang selalu abah dendangkan kepada saya dan adik-adik sejak kami kecil.

Sudah sunnah orang berjuang

mengembara dan berkelana

miskin dan papa jadi tradisi

berenggang dengan anak dan isteri

Biasanya para pejuang

rumah mereka merata-rata

rezekinya tidak menentu

tidur baringnya tak berwaktu

Orang lain membuat harta

tapi dia membuangnya

Orang lain kawah terbatas

tapi pejuang kawan merata

orang lain musuhnya kurang

pejuang musuh tidak terbilang..

Tidak kurang yang sayang padanya

orang  lain mati dilupa

para pejuang tetap dikenang

sejarahnya ditulis orang

makamnya sentiasa diziarahi

perjuangan tetap diingati..

Al-Fatehah untuk guru abah yang mengajarkan nasyid ini kepada abah seterusnya kepada kami anak-anak.

Monday, November 9th, 2009

Berjuang Dengan Diri

 08112009212.jpg

Saya dan Farah

Satu malam, dalam bulan Oktober, saya terjaga dari tidur sekitar jam 3 pagi. Hati saya berdegup kencang kerana telah diziarahi seseorang dalam mimpi. Ya Allah, apakah benar Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim yang tersenyum kepada saya tadi? Saya tidak jadi meneruskan tidur dan pergi mengadapNya.

Seseorang yang saya fikirkan setelah bayang gemulah Ustaz Asri beransur dari fikiran ialah Farahdinna atau nama Islamnya Lia Azzahra. Teman yang saya anggap seperti adik itu adalah seorang saudara baru. Beberapa minggu sebelum Ustaz Asri meninggal dunia, dia telah berpesan kepada Farah agar ‘berkawan dengan Ummu Hani’. Ustaz Asri juga melontarkan kebimbangannya “Kalau terjadi apa-apa pada Farah hingga dia kembali pada agamanya, kitalah yang berdosa besar.”

Saya terus merisik khabar Farah. Tekad saya, jika pulang ke Kuala Lumpur nanti, saya mesti berjumpa dengannya. Alhamdulillah, semalam Allah memberi ruang saya membawa Farah pusing  lebuhraya Duke terus ke rumah nenek angkat saya, Opah Noraini. Ternyata, dalam bicaranya dia sedang mengalami masalah besar hingga terpaksa berjumpa doktor. Penyakit Streesnya menyebabkan dia jadi pemurung dan trauma.

“Kak Ummu, agaknya saya ni jahat. Inikah balasan dosa-dosa saya sebelum Islam dulu?” tanyanya. Saya menggeleng kepala. “Farah, ujian yang datang kepada kita itu tak lain dan tak bukan adalah untuk menaikkan martabat kita di sisi Allah SWT. Perlu sabar. Perjuangan yang paling mulia adalah mempertahankan akidah dalam diri kita.”

“Tapi Kak Ummu, sejak masuk Islam, bertimpa-timpa ujian saya kak. Saya takut, saya tak mampu..” Continue reading Berjuang Dengan Diri

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com