Hidup remaja yang cerah tak lain tak bukan dekat dengan Allah!
Saya perlu meninggalkan kerja lain sebentar kerana hati terpanggil-panggil menulis sesuatu buat kalian, adik-adikku!
Alam remaja adalah satu bumi yang unik. Bila berada di dalamnya, kita berasa ada di luar, begitu sebaliknya. Selalunya, kita teroleng dan jatuh, kemudian berlari pula. Dalam bumi ‘remaja’ itu, kita tahu, kaki belum berpijak di alam tanggungjawab nyata, lalu kita membuat pelbagai andaian terhadap kehidupan depan; pendidikan, kerjaya, rumahtangga, dan cita-cita. Yang semuanya bersimpul dalam jiwa, dalam kepala. Bukan lagi hakikat.
Alam remaja adalah takah peralihan daripada kanak-kanak menjadi matang, daripada matang menjadi dewasa. Ia proses pencarian diri. Segala di sekeliling menjadi alat membentur diri; keluarga, persekitaran, rakan-rakan, pembacaan, tontonan dan segala yang masuk dalam fikiran. Namun, hidup bukanlah hukum matematik yang tepat. Kadang2, unsur yang kuat tidak dapat membentur diri menjadi kuat, tetapi sebaliknya. Misalnya, remaja A berasal daripada keluarga yang baik agamanya, namun kerana kecenderungan remaja A pada kehidupan lasak dan ekstrem, dia menjadi kontra dengan nilai keluarganya. Remaja B pula, keluarganya jahil agama namun kerana tertarik dengan akhlak seorang gurunya, maka dia lebih mengikut peribadi sang guru. Dan ada juga remaja yang berubah-ubah perwatakannya.
Semua itu adalah lumrah dan fenomena. Usia remaja bukanlah ukuran seseorang itu baik atau jahat dalam kehidupannya. Imam al-Ghazali pernah menyebutkan, sesiapa yang masih tidak menunaikan solat pada usia 40 tahun, maka tunggulah bahana api neraka. Mengapakah 40 tahun? Kerana sebelum 40 tahun ini keupayaan manusia berubah menjadi baik dan bertaqwa amat besar. Hatinya masih ada ruang lembut (berbanding orang berusia 40 tahun ke atas, jika selalu dengan maksiat, hati menjadi lebih keras daripada batu). Remaja dalam proses pencarian dirinya akan berhadapan cabaran kebaikan dan kejahatan; itu pastinya.
Adinda saya, suatu hari menghantar sms yang berbunyi, ‘Saini nak berhenti belajar Kak Ummu’. Continue reading Adik-adikku Jangan Mengalah!









