Tahun 2010 bakal ditinggalkan. Sungguh tidak ternilai detik-detik yang berlalu tahun ini bermula tarikh 2 Jan 2010, tarikh majlis perkahwinan saya dan adik dengan suami masing2. Tahun ini juga, Allah SWT memilih saya untuk bergelar seorang pendidik, belajar sabar dengan karenah manusia. Dan dalam meniti usia setahun menjadi seorang isteri, gelaran ibu mendatangi dalam keadaan diri yang sudah bersedia, insya Allah. Nikmat Allah terus berlanjutan apabila membawa saya, suami dan si comel (dalam ni) ke Kota London, satu destinasi yang tidak menjadi ‘impian utama’ saya sampai ke sana. Alhamdulillah, di London, bukanlah maksiat dan hiburan yang saya jumpa sebaliknya adalah ‘permata-permata’ syurga iaitu saudara2 baru Eropah yang jauh lebih menghayati Islam daripada orang Melayu Islam kita. Saya insaf dengan kebaikan dan pengorbanan mereka. Sister Noorah misalnya, sanggup meredah lebih lima buah negara memandu Toyota Estimanya ke bumi Gaza ditemani seorang teman semata untuk menghadiahkan kenderaannya itu kepada sekolah anak2 yatim di sana. Kisah hidupnya akan saya bukukan untuk pengajaran masyarakat Islam di Malaysia, insya Allah.
Hijrah. Kuasa Hijrah memang sakti dan ajaib. Punca kemenangan Islam yang membawa kepada penubuhan negara Islam pertama di Madinah adalah hijrah. Saya terfikirkan perkara ini sekarang. Mengapa yang saya temui hampir 10 negara yang saya lewati sepanjang usia remaja (22- 27 tahun) ini saya berjumpa orang yang luarbiasa dek penangan hijrah.
Di Mekah, dalam rombongan umrah Tarbawi yang saya ikuti sekitar pertengahan Julai 2008, saya mengenali bumi Bangladesh. Masyarakat Bangladesh yang saya temui di negara asal mereka amat berbeza daripada yang saya jumpa di Malaysia mahupun di Arab Saudi. Di Dhaka misalnya, orang2 Bangladesh kelihatan meminta sedekah di lapangan terbang, kaum lelakinya ramai yang masih bersembang di kedai kopi, manakala kanak2 bermain tanpa baju di bandar kemudian tidak kekok meminta wang dari orang lain. Begitu juga kaum wanita, kesengsaraan menyebabkan mereka tidak ada masa untuk bersolek bahkan menjaga kebersihan. Saya bercakap dari sudut tinjauan di Dhaka, tidak tahu pula di bandar2 lain. Semua itu amat menyedihkan kerana mereka adalah orang yang dilahirkan Islam.
Berbeza pula apa yang saya dapati di Malaysia dan di Mekah. Orang-orang Bangladesh adalah kaum pekerja yang rajin walaupun di sektor paling bawahan (tukang cuci dan sapu serta buruh binaan). Hampir setiap tempat, saya tidak nampak orang Bangladesh yang duduk sahaja atau waktu tengah hari, mereka melepak hisap rokok seperti pekerja2 awam kita. Sekurangnya mereka ada di kedai makan tetapi sebagai tukang cuci pinggan atau pelayan restoran. Mereka bekerja setiap masa.Satu kisah yang ingin saya kongsikan di sini, ketika hari-hari terakhir di Mekah, saya didatangi bulan dan tidak dapat menatap Kaabah dari dekat buat kali terakhir. Saya tidak bercadang duduk dalam bilik hotel. Selama di Mekah dan Madinah, bilik hotel adalah tempat menukar pakaian, makan sekadarnya dan tidur juga sekadarnya. Ramai orang ke Mekah dan Madinahbegitu kerana hati telah jatuh cinta pada Baitullah dan Masjid Nabi. Saya mengambil keputusan berjalan seorang diri mengitari bangunan kedai yang terdapat di sekeliling Baitullah.
Nah! Di situ saya berkenalan dengan seorang tauke kedai aksesori wanita. Dia membuka kedainya berhampiran Zam-Zam Tower yang disewanya hampir 15 ribu riyal sebulan. Apa menariknya pemuda ini? Dia baru berusia sekitar 26-27 tahun, berasal dari India dan bukan dari golongan bangsawan. Menurutnya, sejak usia 15 tahun, dia berhijrah ke Arab Saudi mencari pekerjaan sebagai buruh dan pembantu kedai. Kini, setelah mempunyai modal dan pengalaman yang cukup, dia mengambil risiko menyewa kedai di lokasi yang begitu mahal (setaraf KLCC jika di Kuala Lumpur). Barangan kedainya hanyalah alat2 perhiasan wanita dan cenderamata yang dibawa dari India.
“Saya tidak bimbang kerana, Mekah adalah destinasi yang setiap masa dikunjungi manusia. Di musim haji, saya dapat mengumpul keuntungan yang boleh menyara setahun sewa kedai saya, Alhamdulillah. Begitu juga pada musim umrah, rezeki sentiasa murah di sini,” kata anak muda yang gigih ini. Kisah kegigihannya telah saya adaptasi menjadi cerpen bertajuk Teman, Cukuplah Kami sebaik pulang ke Malaysia.
Baru-baru ini, dalam perjalanan pulang dari London, saya menaiki pesawat dengan seorang pemudi Malaysia yang dikenali lewat Facebook. Dia adalah lulusan Kusza dalam bidang pengajian Islam tetapi memilih bekerja sebagai ‘nani’ atau pengasuh budak di London. Selama tiga tahun merantau di negara orang, saudari itu tekad pulang ke Malaysia bersama agenda ‘hebatnya.’
“Insya Allah, saya nak rehat sekejap kemudian buka taska sendiri di Malaysia,” katanya yang telah mengumpul modal dan pengalaman selama bekerja di London.
Kini, saya kerap terbayang wajah2 penangan ‘hijrah’. Saya telah diberi waktu dan ruang untuk berhijrah, mengapakah saya masih di takuk ini, Ya Allah..bimbinglag hambaMU.