Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Ekspresi Category

Saturday, November 27th, 2010

Sisi Kiri dan Kanan

Catatan menjengah pagi Sabtu, saat melawan pelbagai rasa dalam diri. Saya akui, ramai tidak menyenangi kesilapan yang pernah kita lakukan, hingga ada yang menyimpan lara dan dendam. Sehingga yang kita lalui sekarang, masih ada yang memandang ‘sebelah mata’. Itu biarkan sejenak. Yang penting, adalah terus menghadapi kehidupan. Kita bukanlah hamba manusia, sebaliknya hamba Tuhan. Perbuatan orang pada kita, berpada kita kesal, selebihnya minta ampunan  Tuhan, mungkin sikap mereka adalah refleksi kemahuan Tuhan, agar kita bermuhasabah dan membetulkan langkah. Dan saya, pada pagi Sabtu ini seolah pesalah yang bangun dari tidurnya, terpinga-pinga; oh! Apa yang telah aku lakukan?

Waktu terus berjalan dan berlangsung. Di hadapan, kita merancang sedemikian namun, tidak mustahil sedemikian yang lain adalah hasilnya. Tahun ini, saya tidak merancang banyak perkara kecuali hal-hal yang penting seperti bekerja untuk membantu keluarga, menyelesaikan m.a dengan baik dan terus berkarya walaupun berkahwin, Tuhan galurkan lebih dari itu. Dia mahu saya menjadi seorang ‘ibu hakiki’, mahu menghantar saya ke daerah asing seperti London bersama cinta, dan menemukan saya orang-orang hebat dalam dunia Islam. Itu Tuhan mahu saya buat. Itu adalah anugerah akhir tahun ini, sepatutnya sang penerima anugerah hendaklah memperbanyakkan syukur, entah mengapa, saya rasa takut dan sangat berdebar.

Saya melihat, ramai orang hebat kerana mereka berani.  Mereka lebih hebat jika memiliki iman dan taqwa yang kental. Seorang anak muda dalam zaman Khalifah Umar al-Aziz, diam merenung kawan-kawan yang gembira bermain, khalifah mendekat dan bertanya, “Mengapa kamu tidak bermain dengan mereka?’ dan jawabnya, “Bolehkah aku bermain sedangkan dunia ini bukanlah tempat permainan dan kegembiraan yang hakiki.” Orang hebat ada alasan dan tahu apa yang perlu dilakukan.

Saya bukan mahu jadi manusia hebat itu, cuma ingin meraih kekuatan mereka untuk sekadar bersemangat. Tidak jatuh pada kejian dan umpatan, dan tidak leka dengan nikmat. Sisi kiri dan kanan kehidupan, amat berbeza, banyak yang menyokong dalam waktu sama banyak yang mahu menjatuhkan kita. Cukuplah dengan ada di posisi manapun, Tuhan akan tegur kita.

Salam pagi Sabtu, mahu ke terminal bas menjemput cinta, dan cinta baru dalam diri moga bersabar selalu dengan uminya yang baru belajar jadi matang dan serius.

Sunday, November 21st, 2010

Bermulanya Seorang Manusia..

Minggu ke 4 hingga 8

Minggu ke 8 hingga 12

Minggu ke 12 hingga 16

Minggu ke 16 hingga 20

Minggu ke 24 hingga 28

Minggu ke 28 hingga 32

Minggu ke 40 (9 bulan) Continue reading Bermulanya Seorang Manusia..

Wednesday, September 1st, 2010

Pesan Abah

Jaga-jagalah bulan tarbiah ramadan ni dengan baik. Gunakan kesempatan ni untuk memperbanyakkan ibadah, baca Quran, kurang tidur mlm. Dan tambahkan kerja-kerja rutin dari biasa. Ia penuh baraqah. InsyaAllah Allah akan ganda dan berikan kemenangan seperti yang Allah berikan kepada para sahabat dan Rasulnya dalam pelbagai peristiwa besar yang berlaku pada ramadan. Ramadan bukan bulan rehat dan tidur dan bukan juga bulan perbanyakkan tonton TV.

Jaga diri baik-baik, kerja-kerja untuk agama Allah adalah matlamat utama keluarga kita. Ingat kerja, ingat syurga Allah. Setiap apa yang kita buat azam untuk buat yang terbaik dan perbanyakkan syukur dengan apa yang Allah beri kepada kita. Jaga hati semoga ikhlas dengan apa yang dilakukan. Salam kasih ramadan untuk semua dari abah.

abah.

Nasihat abah (yang diemelkan) menjadi lampu dalam hati. Terima kasih abah.

Monday, August 30th, 2010

Selagi Boleh Bersabar..

Cerpen ini bukan setakat menghilang lapar dan dahaga di Bulan Ramadan (walaupun terkenangkan Es Teler Aceh). Tetapi saya menulisnya untuk mengingatkan diri tentang ukhwah (Malaysia-Indonesia) yang perlu dikekalkan kerana agama Islam kita. Dan saya tahu, di sana (Indonesia) bukan semua yang berfikiran seperti pelempar najis dan pembakar bendera kita, 240 juta rakyat mereka terlalu ramai untuk menyimpulkan ratusan orang yang berdemo itu. Dan, orang yang tidak menggunakan akal fikiran dalam hidupnya, tak perlulah kita layan seperti yang mereka lakukan terhadap kita, kelak kita sama tidak berakal fikiran. Bahagialah orang yang lembut dan berilmu.

Kanak-Kanak
“Malaysiee..jahat! jahat!” Terbeliak mata saya melihatkan Hadi mengejek Kalsum dan Hafsah yang baru melangkah ke dalam rumah. Saya mengetap bibir dan menarik tangan Hadi masuk ke dalam biliknya. “Serang Malaysie! Perang dengan Malaysie! Dush! Dush!” ejek Hadi lagi. saya mengutil telinganya. Adik saya yang tidak normal itu membuatkan kulit muka ini seperti disiat pisau tajam.

Continue reading Selagi Boleh Bersabar..

Saturday, August 28th, 2010

Mereka Yang Tidak Merdeka

Orang yang dibelit hawa nafsu belum merdeka

Orang-orang merdeka ialah orang yang mempunyai akal budi luhur. Hati mereka bersih dan positif ke hadapan. Mereka, walaupun banyak kelemahan akan cuba mengatasinya melalui ilmu pengetahuan dan pengalaman sejarah. Mereka juga adalah yang kuat agamanya dan tidak mudah dipesongkan kejahatan fitnah akhir zaman. Segala pemikiran yang tidak selari dengan Islam, terus dibakul-sampahkah. Sentiasa rasional dan hikmah (bijaksana) apabila berhadapan dengan orang2 yang tidak menyenanginya.

Dia bekerja untuk Allah dan Rasul, lalu seluruh tenaga yang dicurahkan buat ummah tidak dapat dinilaikan dengan gaji. Dia tidak mengeluh malah terus mencari ruang diri untuk dkemas-kinikan. Bagi membetulkan ummahnya.

Orang yang tidak begini, belum merdeka lagi kerana masih dihimpit nafsu dan diikat kepentingan diri.

Salam Kemerdekaan Negara yang ke 53

Monday, July 26th, 2010

Apabila Remaja Tak Takut Tuhan..

‘Bukan dia yang haram’

SEKOLAH UNTUK PELAJAR HAMIL?

Hari ini Kerajaan Negeri Melaka akan mewujudkan sekolah untuk para pelajar hamil. Saya tertanya juga , bagaimana untuk mereka yang menghamilkan para pelajar terbabit?

Sekolah untuk pelajar wanita hamil ini telah lama ditubuhkan oleh NGO antaranya JIM (Raudatus Sakinah) dan Rumah Sinar Salam. Saya berkesempatan ke RS dua kali dan melihat sendiri remaja-remaja wanita yang sedang mengandung luar nikah. Ramai antara mereka yang mengandung atas kerelaan diri dengan kekasih (pakwe?) malah ada juga yang menjadi mangsa rogol. Wajah-wajah ini menyiratkan wajah keletihan berbaur insaf. Rata-rata apabila ditanya mengakui kesal akan keterlanjuran dan nekad memulakan hidup baru sebagai Muslimah.<
/p>

Saya yakin remaja2 wanita di RS akan berubah apabila keluar dari asrama RS kerana modul sahsiah yang mantap. Para remaja ini wajib berqiyamulail setiap hari, menunaikan solat fardhu berjemaah, kelas al-Quran dan fardhu ain di samping ilmu kemahiran hidup. Sepanjang tempoh pemulihan, para remaja ini tidak dibenarkan berkomunikasi dengan orang luar (kecuali hal-hal tertentu). Mudahan, usaha penerapan nilai agama yang kukuh dan berterusan ini dapat membantu adik-adik ini kenal dan takut pada ALLAH.

Sebaliknya, di Rumah Sinar Salam pula, tiada modul khusus untuk remaja wanita yang terlanjur. Selain menyediakan rumah perlindungan di Lorong Haji Taib, aktiviti yang disediakan lebih berbentuk perkongsian dan khidmat sosial. Aktiviti agama tidak semantap yang ditawarkan di RS. Malahan,  kes mengandung luar nikah dihimpunkan dengan masalah lain antaranya homoseksual, lesbian, Hiv AIDS dan dadah. Mereka ini diberi pilihan untuk berubah atau terus hidup sebagai gelandangan penyakit sosial, namun sentiasa diberi khidmat nasihat oleh pelbagai pihak termasuk JAWI.

Kerajaan Negeri Melaka seharusnya membuat penyelidikan berdasarkan asrama2 remaja hamil yang telah wujud. Asrama remaja hamil ini mestilah berbeza dengan pusat pemulihan akhlak yang sedia ada. Namun, persoalannya, apakah dengan adanya asrama ini nanti dapat mengurangi gejala ‘zina’ ini? Zina bukan sekadar mahu dibanteras kerana ‘lahirnya bayi yang tidak berdosa’, tetapi ia jauh lebih awal daripada itu iaitu ‘MENUTUP JALAN-JALAN MENGHAMPIRI ZINA’. Dan usaha itu bukan di asrama sahaja tetapi bermula dari ibubapa, guru-guru, rakan-rakan sekolah, masyarakat dan pemimpin negara. Continue reading Apabila Remaja Tak Takut Tuhan..

Monday, May 24th, 2010

Mari Berukhwah, Mari Berdakwah!

Gambar Hiasan:)

“Ustazah, bagaimana kita nak tahu, kita ini ada bakat atau tidak?” tanya seorang pelajar dalam kelas Penulisan Dakwah kepada saya. Hari itu adalah hari pertama saya bergelar tutor di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Perasaan berdebar meronai hati apabila diri dipanggil ‘ustazah’. Rasa tidak layak dan segan. Saya pandang mata-mata di depan. Kebanyakan mahasiswa dan mahasiswi itu berumur awal 20-an. Untuk menghilangkan debar, saya sematkan pada diri, mereka semua seperti adik-adik di rumah.
“Bakat semulajadi boleh dikesan apabila sekali kita melakukannya, perkara tersebut menjadi. Misalnya, cuba kamu tulis sebuah puisi dan minta seseorang membacakannya, jika menarik perhatiannya, itu menandakan kamu mempunyai bakat. Dan setiap orang mempunyai bakat yang berbeza. Orang yang berbakat dalam berpidato, apabila dia membuka mulutnya sahaja, semua orang sudah terpaku. Orang yang berbakat dalam menulis pula, walaupun dia menulis biasa-biasa sahaja, tak mustahil ada pembaca yang jatuh cinta dengan tulisannya,” terang saya. Pada kelas yang pertama itu, saya ‘tidak mengajar’ tetapi bercerita dan berkongsi pengalaman bersama para pelajar tersebut.
“Bakat juga boleh digilap. Jangan kerana kita merasakan kita tidak berbakat, kita cepat mengalah. Orang yang berbakat tapi malas mengasah bakatnya akan dikalahkan oleh mereka yang tidak berbakat tetapi rajin berusaha,” kata saya memujuk para pelajar agar tidak merasakan bidang penulisan sebagai bidang yang sukar.
“Ustazah, kali terakhir saya menulis karangan masa darjah 6,” kata seorang pelajar. “Saya pula tak pernah baca novel, buku-buku atau majalah sastera pun tak pernah,” akui yang lain pula. “Saya pun sama ustazah.” Ramai pula yang mengangkat tangan. “Jadi, kamu mengambil subjek ini sekadar untuk melengkapkan jam kredit atau tidak ada pilihan subjek lain?” Saya sekadar menduga dan sebahagian pelajar membalasnya dengan senyuman. “Kami berminat nak belajar menulis cuma tak pandai..” akui mereka lagi. “Jangan menghukum diri selagi kita tidak mencubanya berkali-kali..” Continue reading Mari Berukhwah, Mari Berdakwah!

Friday, April 9th, 2010

Yang Nak Dibawa dan Ditinggalkan

“Mari duduk di sini, kita sembang dengan calon-calon P.hd”, kata Ustazah Raudah, pensyarah Jabatan Dakwah merangkap penyelia program sarjana saya. Dia memberi tempat duduk kepada saya. Di hadapan kami adalah ustaz dan ustazah dari pelbagai universiti yang sedang menyambung Ijazah Kedoktoran dalam bidang dakwah di jabatan kami. Saya berasa silu kerana hormatkan mereka yang banyak ilmu ini.

“Ummu Hani ni novelis, banyak tulis cerpen dalam majalah dan akhbar,” kata ustazah memperkenalkan saya.  Bertambah-tambah rasa malu di hati. Para ilmuan di hadapan kami melihat saya. Seorang ustaz, agakan usianya 50-an mengangguk dan tersenyum. “Baguslah anti, berdakwah melalui pena,” katanya. Saya senyum dan berasa segan.

“Dah masuk 3 tahun buat master tapi belum dapat siapkan, dalam tempoh tu ana tulis buku 4 buah, Alhamdulillah,” jawab saya menyorokkan malu.  “Itulah, bila saya tanya tesis dia, yang dijawabnya novel. Nak kena siapkan tahun ni jugak!” Kata Ustazah Raudah berlucu. Namun dalam lucunya saya maklum itu satu arahan. “Ustaz dari mana?” tanya saya kepada ustaz yang nampak tenang itu.

“Ana kerja di U***. Jadi ketua Pusat Islam di sana,” kata ustaz itu. Dia kemudian bercerita kepada kami semua pengalaman kerjanya di universiti tersebut.

“Pihak atasan universiti ada nak bubarkan persatuan pelajar Islam. Katanya budak-budak tu terlalu radikal. Tapi ana cakap pada mereka, kalau para pelajar universiti kita tak tahu baca al-Quran, tuan-tuanlah yang kena bertanggungjawab.Bukankah persatuan pelajar Islam ni yang setiap semester anjurkan aktiviti Iqra pada para pelajar hingga ada yang boleh khatam sebelum keluar universiti?”

Akhirnya, menurut ustaz tersebut, pihak atasan universitinya tidak jadi membubarkan persatuan Islam ini.

“Para pelajar kita ni pun satu hal. Nak berdakwah tak boleh terlalu keras, kena ada bijaksana. Itulah yang ana selalu pesan pada para pelajar. Tekankan akademik dulu. Bukan berjuang tapi akademik merudum,” katanya lagi.

“Ustaz tinggal di mana?” tanya seorang ustazah lain di situ. “JB,” jawab ustaz tersebut. “Jauh juga ustaz berulang-alik dari universiti tempat ustaz mengajar tu,” kata seorang ustazah lagi. “Ya, dalam 1 jam 30 minit juga,” kata ustaz itu. Kemudian apabila ditanya sebabnya, ustaz tersebut menyatakan satu perkara. Dan ia amat menyentuh hati kami semua.

“Kita ni satu ja sebagai makhluk. Tanya pada diri, apa yang nak dibawa jumpa Tuhan nanti dan apa yang nak ditinggalkan pada manusia?”

“Maksud ustaz?” tanya seorang pensyarah.

“Ana ni belajar di Libya dulu bidang al-Quran dan Hadis. Tapi tak hafal Quran lagi. Ana rasa tak boleh tenang selagi ana tak hafaz al-Quran. Yang itulah nanti nak dibawa jumpa Tuhan, dan sementara hidup, boleh kita kongsikan ilmu al-Quran dalam dada kepada manusia. Jadi, ana ambil keputusan duduk jauh dari tempat kerja supaya waktu dalam perjalanan pergi dan balik tu, ana boleh hafaz al-Quran dalam kereta. Perjalanan pergi balik ambil masa 3 jam. Cukuplah 3 jam sehari tu ana boleh hafaz al-Quran,” jawab ustaz tersebut.

Jawapan itu cukup menyentak diri saya. Hari itu, saya telah belajar dari seorang yang berhati luar-biasa. Walaupun sibuk menjadi pegawai pentadbiran dan menyambung pengajian kedoktoran, ustaz tersebut masih sempat meluangkan masanya menghafaz al-Quran.

Jadi, tiada alasan lagi untuk diri ini dan insan-insan lain tidak memanfaatkan masa sebaiknya.

Wednesday, February 10th, 2010

Dahsyatnya Dosa

 mh_041.jpg

Burung dan kucing menggeleng kepala. “Itu semut telah melata ke seluruh badan si kecil anak manusia,” kata mereka.

“Mujurlah, dosa pahala tak dikirakan ke atas kita,” kata burung.

“Aku tidak boleh bayangkan, api yang manakah paling panas untuk ibubapa anak ini,” balas kucing.

“Manusia tu, kalau sudah tidak mahu berfikir dan berperasaan, sedekahkan sahaja akal tu kepada kita,” kata burung lagi,

“Betul…betul..betul..” balas kucing pula.

Friday, January 29th, 2010

Menghamburkan Masalah

dsc03770.jpg
Tengok Auni, semua orang hilang masalah:)

Masalah adalah sebahagian daripada proses menjadi seorang manusia. Tidak ada mana-mana makhluk yang tidak mempunyai masalah. Misalnya, seekor ayam, setiap hari ia berhadapan dengan masalah mencari rezeki sehingga peribahasa mengatakan; hidup seperti adatnya ayam, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bagi seorang manusia, masalah adalah untuk membina akal fikirannya. Apabila berlaku masalah, manusia mula menggunakan anugerah akalnya untuk mencari penyelesaian dan bertindak secara terpandu.
Tidak ada orang boleh berbangga dirinya tidak mempunyai masalah hidup. Sekiranya wujud, dialah yang perlu bertanya pada diri, mengapa terjadi begitu? Tidak ada masalah bermakna terdapat garis pemisah di antaranya dengan Yang Maha Pencipta. Kerana hadis Rasulullah SAW ada menyebutkan bahawa, ‘dunia adalah penjara bagi orang-orang Mukmin, dan syurga bagi orang-orang kafir.’  Masalah yang menimpa seorang Mukmin adalah untuk menghapuskan dosanya walaupun dicucuk duri yang kecil.
Masalah tidak akan jatuh kepada orang yang salah. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 286 bermaksud: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Justeru, setiap masalah yang membelengu seseorang adalah bersesuaian dengan kemampuannya walaupun di peringkat awal, dia tidak menyedarinya.

Mahasiswa dan Masalah
Continue reading Menghamburkan Masalah

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com