Anak matanya menikam mataku. Gugus kasih terpancar. Jari kami berangkulan sebelum bersatu. Hangat. Dia menarik tubuhku dekat ke bahunya. Sekarang, kami sudah berpelukan.
“Aku rindu,” katanya. Aku diam, biar dia dulu melepas gundah nestapa. “Aku rinduuu..” tekannya lagi. “Rindu yang menderam, tidak tertahan sayang,” suaranya mendatar serak. Air mata mengalir luruh. Aku di bahunya turut berasa air dari dua mata cantik itu. “Seluruhnya di sini.” Dia membawa tanganku ke dadanya, ruang di mana letaknya hati. “Semuanya sekali…di sini.” Tanganku dilepas. Aku membiar sekejap, pasti dia akan meraut kembali jemari halusku. Ya, baru sebentar mengesat air hingus, dia menyapa terus anak-anak jariku. Berangkulan semula jemari kami.
“Segala kecintaan, impian dan harapanku telah musnah sayang.” Aku mendongaknya. Memang kalimah ‘sayang’ menggantikan namaku. Dia gemar juga memanggilku ‘hilwa’ bermaksud ‘si manis’. “Aku sepi. Berpuluh tahun memendam rindu yang jauh sehingga hati sudah buta mengenal harapan.” Kepalaku tunduk merenung rumput-rumput sayu musim sejuk. Simpati sudah mahu melimpah dari nubari. Rupanya, selama ini dia bertarung perasaan-perasaan meruntun sabar. Dia si cekal yang kukuh!
“Mulakan, aku tidak sabar lagi,” suaraku mula keluar. Angin ghairah bergoncang dan mengulur dada. Air mata panasnya tambah menggelorakan rasa hazinku. Kami sama duduk di bawah sepohon pokok mengadap Bukit Golan. Continue reading Cinta Qunaitara






