Bertemu penulis Sayuti Omar di Bandara Iskandar Muda
Ipinisme di Banda Aceh
Sejak melangkah masuk ke rumah Kak Cut Mustika, dia tidak habis menyebut-nyebut kalimah yang amat sinonim dengan kartun Upin dan Ipin; “Betul…betul…betul..”. Rupanya, siri kartun Ramadan milik anak Malaysia itu sedang ditayangkan di seluruh Indonesia.
Suasana itu juga terjadi apabila bersembang dengan orang awam, sebaik tahu saya dan dua teman berasal dari Malaysia, kalimah ‘Betul..betu..betul..” cepat menceriakan keadaan. Namun, yang lebih menarik lagi, apabila Kak Faezah Yahaya membawa saya dan Faiz Faiza melawat universiti lamanya (sebelum Tsunami) IAIN Ar-Raniry, beberapa pensyarah yang berpapasan dengan kami turut melontar kalimat “Betul..betu..betul..”. “Ini betullah Ipinisme ni. Apapun, kita berasa banggalah ada nilai yang cepat ditangkap oleh orang Indonesia dari Malaysia,” kata saya sendiri.
Drs H Mustafa Amin, pencenan pensyarah yang juga tuan rumah tempat kami menumpang sepanjang empat hari tiga malam di Banda Aceh tidak lekang bercerita dan menyoal. Detik-detik terakhir sebelum terbang ke tanah air, beliau masih juga mahu berkongsi pengalamannya menjadi ‘nadi’ Nanggroe Aceh Darus Salam seumur hidupnya yang kini mencecah lebih 60 tahun. Bekas pensyarah Universiti Syiah Kuala, Banda Aceh ini menyoalku dan dua rakan,
“Apa yang ananda bertiga dapat sependek tiga hari wisata (melancong) di Aceh?”
“95% BERUBAH!”
Bangunan perumahan dan kedai pesat dibangunkan di seluruh Banda Aceh
Kata temanku, Kak Faezah Yahya, bekas penuntut IAIN Ar-Raniry, Banda Aceh sebelum peristiwa Tsunami 2004. Dia juga ‘terlibat’ langsung sebagai ‘mangsa Tsunami’, empat hari selepas kejadian, dia dan pelajar Malaysia lain diterbangkan ke tanah air. Continue reading Catatan Aceh
Ad-Dinu lana wal haqqu lana
Wal ad’lu lana wal kullu lana
Adhal Islamu lana dina
Wa jami’il kauni lana watona
Jamah khubuz di pagi raya Haji bersama Abu Nadeer dan Maryam
Suatu pagi yang begitu sejuk; dalam bilik sempit yang hanya berisi sebuah almari pakaian, sebuah cermin muka besar dan sebuah katil yang boleh memuatkan tiga tubuh kami (saya, Kak Dayah dan Kak Haniah). Sebenarnya, setiap hari saya merasakan itulah hari yang paling sejuk, bahkan hari-hari berikutnya, kesejukan menjadi melampau dan terlampau (buat makhluk kurus seperti saya!). Tetapi hari ini dibangunkan oleh kesyahduan langit Jaddat Salamiyeh dengan alunan luar biasa dari corong-corong menara jamik (masjid). Suara itu melantun, menyentakkan tidur dan menguis rindu yang halus. Ya Allah, suara Takbir Idul Adha pada pagi ini (Idul Adha, 2006)! Inilah hari raya pertama tanpa keluarga, tanpa saudara, tanpa kawan-kawan, riuh adik-adik dan tanpa kuih, ketupat, hatta makanan yang terhidang. Idul adha saya pada usia 24 tahun adalah melihat wajah sendiri yang ditumbuhi radiasi kulit kesan kesejukan yang melampau (buat manusia Melayu yang jakun ini.)
“Kami berbesar hati menerima kunjungan tetamu agung dari Malaysia, novelis Ummu Hani Abu Hassan dan rombongan. Semoga dimanfaati wisata ini,” itulah antara yang disebutkan para asatizah dan dosen (pensyarah) yang menyambut ketibaan kami. Serasa kecil diri apabila kedatangan disambut penuh hormat dan meriah. Langkah pertama di Pondok Modern Darulsalam Gontor Puteri 1 menjadi kenangan yang sukar dikikis. Sepanduk-sepanduk merentangi bangunan asrama dan sekolah; mempromosikan kehadiran kami narasumber dari Malaysia. Malahnya, kehadiran para peserta lebih 500 orang cukup membumbui fikiran saya supaya memberikan yang terbaik buat mereka. Dua malam di Gontor Putri, rombongan kami dilayan sesantunnya. Baik dari para santriwatinya, ustaz dan ustazah, Drs Saifullah dan isterinya, Dr Munifah.
Ustaz Maaruf dengan MPV Toyotanya membawa kami ke daerah Ponorogo, kawasan Pesantren Gontor Putra. Ketika itu, jingga Magrib sedang merangsang langit. Para santri lekas meninggalkan tugasan dan bergegas ke musolla. Usia mereka rata-ratanya 12-18 tahun. Wajah jernih dan penuh yakin tergambar pada senyuman mereka. Bahkan, adik-adik ini tidak bertutur selain dalam bahasa Arab dan Inggeris. Menurut Drs Saifullah yang juga alumni Gontor Putra, pengasas pesantren ini, Allahyarham K.H Imam Zarkasyi, sebaik pesantren ini dibuka pada tahun 1926 telah menetapkan undang-undang bahawa semua yang mahu menimba ilmu di Gontor perlu meninggalkan bahasa kedaerahannya. Tiada Jawa, tiada Sunda, tiada Minang, semuanya adalah Melayu Islam!
Jiwa tersentuh dengan lirikan sistem pengajian agama bersemikan ekonomi Islam. Wujudnya 14 cawangan Pondok Modern Gontor di seluruh Indonesia adalah hasil pengurusan harta wakaf yang efektif dan strategis. Di Malaysia, saya tidak pernah berhadapan dengan sekolah menengah agama (pondok) yang mempunyai semua cabang ekonomi, bukan sahaja sekolah dan asrama, tetapi kilang pakaian, kilang minuman dan makanan, supermarket, kilang percetakan dan penerbitan, kedai buku, restoran bahkan stesen televisyen dan radio. Para pelajar menerima didikan mandiri supaya apabila berhijrah ke dunia masyarakat, mereka menjadi ‘bos’ bukan ‘pekerja’. Inilah yang terjernih pada mata para pelajar Pesantren Gontor; dinamis, yakin, berani dan berakhlak mulia. Continue reading Teringatkan Kawan-kawan di Seberang..
Bangladesh. Rupanya negara yang tidak pernah saya senaraikan sebagai destinasi pelancongan menjadi begitu penting pula akhir-akhir ini. Setiap kali tersasar pada akhlak terkutuk itu yakni pembaziran, maka kecutlah jiwa saya kembali membayangkan anak-anak malang di Bangladesh.
Suasana depan Lapangan Terbang Zia, Dhaka
Memang saya ‘terbang’ secara yaqazah yakni secara nyata menaiki pesawat Biman Airlines pada 7 Julai lalu, membawa saya dan 39 orang lagi ahli rombongan termasuklah dua individu terpenting Parti Islam Semalaysia iaitu al-Fadhil Ustaz Hj Nasrudin bin Hj Hassan at-Tantawi (Naib Ketua Dewan Pemuda) dan Ustazah Nuridah Salleh (Ketua Dewan Muslimat)
Perjalanan kami sebenarnya menuju ke al-Haramain dalam miqot mengerjakan umrah dan ziarah.
Kami dalam bas ‘paling selesa’.
Namun, sesuatu yang memang menjadi rezeki berupa pengajaran adalah transit di Bandar Dhaka, Bangladesh selama hampir 7 jam. Kami lalu diberikan hotel di tengah bandar Uttara dan sebuah bas ‘paling mahal’ menuju ke sana.
Inilah bas awam di Bangladesh yang masih setia berkhidmat.
Walaupun bas ‘paling mahal’ tidak lebih daripada bas Rapid Kl atau lebih sedikit daripada Bas Mini di Kuala Lumpur, dibandingkan bas-bas tempatan Bangladesh, kami patut memperbanyakkan zikir Alhamdulillah. Bas tempatan lebih berupa sebuah ‘gerabak buruk’ yang mengangkut manusia-manusia berwajah kusam, pucat dan penuh ekspresi sengsara. Mereka pula bukan seorang dua tetapi berpuluh-puluh orang bergaul pula dengan segala beg pakaian dan barang sehingga ‘jenuh’ melimpah ke atas bumbung, tangga bas, tingkap dan..nasiblah jatuh di atas jalan raya. Continue reading Bangladesh In My Heart
Seperti kebiasaan kami berkumpul setiap petang apabila masing-masing pulang dengan penat, tapi masih ceria berkongsi cerita, apa yang berlaku di tempat kerja. Faez dengan cacingnya (pembantu penyelidik HUKM), Rena dengan duit-duit di gedung CIMB Berhad (akauntan), Kak Jibah dengan staf takafulnya (Eksekutif Syariah), Kak Wani dengan masalah keluarga Muslim yang runcing di mahkamah (peguam syariah), Hana selaku pegawai IT di Bank Rakyat, Kak Dijah dan Syahid, tutor Jab Fiqh Usul di APIUM juga pelajar PHD, Faza dengan kajian kesihatan di FRIM, Ina S yang bertugas RA di Fakulti Kejuruteraan UM, Mas akauntan di Telekom dan aku yang paling biasa; pelajar yang malas..heheh. Cerita-cerita mereka membuatkan hidup di Az-Zahra sentiasa berkehidupan (yang sebenarnya aku sekarang ini merindukan teman-teman di rumah sewa…)
Cerita Mas yang paling tak terlupakan apabila sepulangnya dari mengerjakan umrah awal Jun lalu telah mengisahkan begini: “Ummu, Mas Nampak muka Ummu banyak kali di Kaabah..betul. beberapa kali!”
Aku yang mendengar berasa degup. Hampir tibakah ajalku?
Kata teman-temanku lain pula: “Eh, lepas ni nampaknya sahabat kita si kecil Ummu bakal menjadi tetamu Allah.” Aku kira, semua yang mendengar cerita Mas akan bercakap begitu. Aku hanya mengaminkan dalam hati. Sebenarnya, aku berasa kerdil dan hina. Betulkah Kau mahu menjemputku Ya Allah dalam waktu terdekat menjadi tetamu Kota Haramain?
Memang jadual Allah akan berlangsung pada waktu yang tepat. Kemudahan menuju ke Kota Haramain amat mudah. Bermula daripada aku ‘mencari’ biaya umrah, keizinan ibubapa dan proses visa, travel dan lain-lain. Alhamdulillah. Paling mengujakan, pakej umrah ini bukanlah pakej ziarah aka pelancongan tetapi lebih kepada pakej tarbiah (namanya pun Umrah Tarbawi). Aku memang ditakdirkan untuk bersama pimpinan Dewan Muslimat Pas Pusat dan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ust Nasrudin Tantawi serta jemaah lain yang semuanya aku tak pernah kenal (sebahagian mereka mungkin kenal nama saja) dalam rombongan ini walaupun di saat akhir. Ini gara-gara khabaran dari Kak Asiah yang mengatakan pakej umrah mereka yang paling murah, hanya RM4500 (berbanding yang aku pantau kebanyakan rm5000 ke atas).
Terima kasih kepada Layar Consult Sdn Bhd yang telah memberikan wang belanja (hasil menulis skrip Mahsuri) untuk perjalanan Umrah Tarbawiku. Semoga semua yang memudahkan Ummu Hani akan dipermudahkan urusannya oleh Tuhan yang Amat Pemalu jika tidak menunaikan permintaan (kebaikan) hamba-hambaNya yang bermohon.
. Syria atau Syam sebuah Negara Arab yang terletak di timur laut Mediterranean adalah ‘negara nikmat’ yang bersarang segala keunikan dan ilmu pengetahuan. Sebelum mendatangi Negara beriklim Mediterranean ini, hati cuak dengan momokan media-media barat melapor Syria adalah sarang pengganas selepas Negara jiran mereka, Lubnan hancur dimusnahi Zionis Israel dan sekutunya Amerika Syarikat. Media barat yang dimonopoli CNN melobi berita-berita ‘karut’ tentang keganasan tentera Syria yang akhirnya memaksa ‘jundu-jundu’ Syria beredar dari tanah Lubnan yang selama ini dilindungi mereka. Continue reading Mengelus Cinta Syria
Kami tiba di Pesantren Modern Darus Salam Gontor Putri 1, Mantingan ketika malam menggigit Isya’. Adik2 santriwati sedang mengadakan acara pidato dan bahas di masjid pesantren. Malam aku bertukar menjadi lebih semangat dan interaktif kala melihat wajah-wajah mulus mereka. Ini zaman remajaku. ini zaman anak-anakku. Di kota seperti Gontor inilah! Continue reading Solo di hatiku 3
Pesawat A320 teroleng-oleng dipukul awan. Putihnya tampak halus dan jernih tetapi rupanya agam merempuh besi pesawat hingga membuatkan kami para penumpang sekejap senget sekejap tenang.
Buku Polemik Sastera Islam antara Shahnon Ahmad dan Kasim Ahmad kejap di tangan. Tidak sampai seperenggan bacaan dihadam, kepala sudah berpusing pening. Di sebelah, emak harmoni dalam zikir hatinya sambil jari membilang tasbih. Ah! emak ke mana-mana setia dengan tasbih dan zikir. Tidak hairanlah wajah tenangnya selalu mempesonakan.
Depan Universitas Gadjah Mada- Mbak Isna(bertudung biru) dan Imam Mujahid- keduanya pensyarah di UIN Solo;
Lagi sejam baharu kapal terbang akan menerjah langit Solo. Aku yakin, ketika itu bumi sudah gelap dan awan juga akan mendung. Beberapa kali pramugari yang mundar-mandir menjual makanan dan barangan Air Asia, akhirnya aku tahan juga. Continue reading Selepas Ini Aku di Solo 2
Terik remang di ubun-ubun sebenarnya tidak sepanas hati. Benarlah kata ahli antropologi bahawa manusia itu dibentuk oleh budaya dan persekitaran yang mengacau otaknya. Tidak faham. Mengapa tika saat akhir begini baru salah seorang daripada kami menarik diri daripada menjadi sebahagian ahli permusafiran. Sebetulnya kami berlima kemudian menjadi empat.
Ayo! Hati tidak perlu dipanaskan. Yang perlu panas sekarang adalah otak, pemikiran dan sensitiviti untuk berekayasa. Perjalanan telahpun bermula. Dicicipi di hadapan adalah bentang lebuhraya yang akan lurus kemudian bengkok-bengkok sebelum tiba di lapangan terbang tambang murah LCCT. Aku meraup langit. Pandangan yang bernada suam tadi bertukar tenang. Yeh! tenang-tenang aja deh!
“Berapa mahu tukar uangnya nanti? “Tanya abah. Emak di sebelah bersetuju untuk tidak menukarkan semua mata wang Malaysia yang terserlum dalam tasnya ke mata wang rupiah. Aku senyum semula pada awan yang biru dari pandangan jauh (sebelum aku mengulit awan dengan hanya sebelah jelinganku nanti di atas kapal) Kami nanti bergelar jutawan rupiah! Senyum. Continue reading Selepas Ini Aku Di Solo