(Kertas kerja ini telah dibentangkan di UPSI pada 20 Oktober 2010)
Oleh: Ummu Hani Abu Hassan
Tokoh dalam hidupku. Selamat berangkat ke Mekah wahai abahku tanggal 30 Oktober ini.
PENDAHULUAN
Sesuatu yang tidak boleh dinafikan oleh setiap sarjana ialah alam merupakan universiti pertama manusia sebelum masuk ke universiti yang lebih khusus. Universiti alam adalah asas seseorang itu pada hari depannya. Bagi seorang sasterawan, universiti alam menjadi gua pertapaannya sebelum membekalkan ilmu insani kepada masyarakat. Hal ini tidaklah pelik kerana alam ini diciptakan untuk manusia merenungi keajaiban Pencipta-Nya. Firman-Nya dalam Surah Ar-Ra’d ayat 3 yang bermaksud:
‘Dan Dia yang menghamparkan bumi dan menjadikan gunung-gunung dan sungai-sungai di atasnya. Dan padanya Dia menjadikan semua buah-buahan berpasang-pasangan; Dia menutupkan malam kepada siang. Sungguh, pada demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berfikir.’
Justeru, tokoh yang akan dibincangkan ini merupakan sasterawan alam yang tumbuh dalam kehijauan hutan Felda serta membesar bersama alur sungai yang dingin. Kemewahan alam yang dihuninya menjadikan tokoh kekal sebagai anak Felda yang kukuh alamiah walaupun telah terbang hinggap ke serata dunia Tuhan.
SATU: Membentuk Proses Kreatif Islam
Perkara yang membezakan Abu Hassan Morad dengan sasterawan Felda lain ialah proses kreatif Islam. Di kalangan rakan-rakan penulis, Abu Hassan Morad dikenali sebagai lebai, ustaz dan cikgu. Hal ini berkait dengan penampilannya sejak muncul di pentas kesusasteraan tanah air pada tahun 1979 sehingga kini yang pekat warak, baik pakaian mahupun percakapannya. Pengaruh dirinya ini kemudian mengairi karya-karyanya yang dinamik bermula dengan baris puisi, beralih menjadi cerpen dan novel kemudian digengsikan ke dalam skrip drama televisyen dan dokumentari. Beliau juga sangat aktif dan patuh mengisi ruangannya dalam kolum Bicara Abu Hassan Morad dalam Majalah Anis yang berbentuk artikel dan anekdot. Walau genre karyanya pelbagai, wadah yang dibawa beliau sama; dakwah! Continue reading PROSES KREATIF ABU HASSAN MORAD, YANG TERSIRAT DAN TERSURAT








