Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Panduan Menulis Category

Thursday, October 7th, 2010

Mencari Bahan Penulisan

Suatu hari di tahun 2005, saya mendapat nombor telefon Pak Samad Said daripada anaknya, Helmi Samad. Saya perlu berjumpa dengan Pak Samad untuk menyelesaikan Latihan Ilmiah (LI) saya bagi bergelar Graduan Sarjana Muda Universiti Malaya. Judul LI saya ialah ‘Unsur Tauhid Dalam Novel Tunggu Teduh Dulu’. Pak Samad merupakan mentor penulisan Faisal Tehrani, penulis novel yang menjadi kajian saya. Justeru, saya berasa wajib menemui Pak Samad Said.

“Bolehkah saya berjumpa dengan Pak Samad Said untuk kajian saya ini?” kata saya agak malu-malu di balik gagang. “Boleh, awak tunggu Pak Samad di Kedai Buku Kinokuniya selepas Solat Jumaat. Pak Samad akan solat di Masjid asy-Syakirin KLCC dan berjumpa awak di sana,” kata Helmi Samad yang menjadi pengurus ayahnya. Hati saya kembang berbunga. Alangkah seronoknya dapat berjumpa Sasterawan Negara secara personal. Lebih seronok daripada berjumpa artis!

Tiba hari Jumaat yang dijanjikan, saya bertolak awal ke KLCC ditemani teman baik, Faizah. Kami menyekitari KLCC hingga ke tingkat 41. Walaupun seronok mengumpul pandangan, hati saya berdebar membayangkan pertemuan dengan A. Samad Said, seorang tokoh penulisan yang amat saya hormati. Continue reading Mencari Bahan Penulisan

Friday, September 24th, 2010

Mula Menulis Diari

?Saya mula menulis diari ketika berusia sembilan tahun. Ada perkara yang mendorong saya mempunyai diari itu; rasa tidak puas hati! Di sekolah, ketika darjah satu, seorang rakan sekelas tidak begitu menyenangi saya. Sewaktu rehat, dia pernah membawa bekal makanan dan menjemput rakan-rakan lain makan bersamanya kecuali saya. Rasa sedih itu saya simpan dalam hati. Di rumah pula, saya tidak seperti kebiasaan kanak-kanak lain yang berusia tujuh tahun, saya terpaksa menolong emak dahulu sebelum keluar bermain. Adik-adik sudah bertambah empat orang. Sejak tinggal di Kuala Lumpur bersama keluarga, saya tidak menikmati ‘musim manja’ semasa di kampung. Setiap yang saya punyai mestilah dikongsi dengan adik-adik. Malah, jika adik-adik lasak dan menyepahkan rumah, sayalah yang selalu ditegur abah dan emak. Ia memunculkan rasa geram dan sedih dalam diri.

Apabila usia masuk sembilan tahun, saya sudah yakin mempunyai ‘teman sejati’ iaitu sebuah diari. Segala yang saya pendam selama ini diluahkan dalam buku latihan berharga 20 sen yang kemudian saya namakan Diari Hidupku. Saya tidak gemar membawanya ke sekolah, bimbang dibaca rakan-rakan (kerana banyak mengumpat mereka) dan di rumah, saya menyorokkannya bawah lipatan baju dalam almari pakaian. Saya juga bimbang jika emak membacanya kerana ada suara-suara ‘sumbang’ saya pada emak dan abah (yang tidak memenuhi kehendak saya). Sejak ada ‘teman sejati’ itu, hati saya sedikit terhibur. Continue reading Mula Menulis Diari

Saturday, June 26th, 2010

Awan-awan Idea Dalam Sebuah Cerpen

Saya ingin berkongsi pengalaman menyatukan kepulan ‘awan-awan idea’ dalam cerpen Teman, Cukuplah Kami. Cerpen ini telah memenangi Hadiah Utama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008 bagi kategori Cerpen Remaja.

Mari kita teroka awan-awan idea itu:

Teman, Cukuplah Kami
Oleh: Ummu Hani Abu Hassan


SATU
Apakah yang akan difikirkan orang dengan hidup susah begini? Sememangnya ini bukan pilihan apatah lagi kemahuan diri saya. Ibu kerjanya meminta sedekah sambil mengendong badan kurus saya di tengah bandar Dhaka. Bapa pula mengayuh beca uzur milik Tuan Syaheed. Anda mungkin memikirkan, dengan pekerjaan bapa itu, ibu tidak sepatutnya menjadi peminta sedekah. Tetapi, dengan upah bapa sebanyak 30 Taka (RM3) setelah dapatan kayuhan diberikan kepada Tuan Syaheed, maka andalah menyimpulkan sendiri bagaimana hanya RM3 dapat menampung hidup kami 4 beranak?

Ayat yang dihitamkan di atas ditaip ketika penulis berada di depan Baitul Haram, Mekah al-Mukarammah pada Julai 2007. Penulis menemukan idea tersebut dalam perjalanan mengerjakan umrah di Bangladesh (transit 9 jam di Dhaka). Setelah melihat sendiri kemiskinan umat Islam di sana, penulis berasa resah dan berazam menulis sebuah cerpen tentang itu. Alhamdulillah, walaupun belum dapat menyiapkan sebuah cerpen di sana, penulis telah diberi ilham olehNYA dua ayat pertama di atas. Dua ayat ini penulis taipkan di telefon bimbit.

Rumah kami ada sekeping zink yang meneduhkan manakala tiangnya adalah empat batang kayu yang ditusuk hujungnya ke dalam tanah. Dinding rumah cuma kain panjang yang menutupkan kami daripada pandangan orang luar. Kami tidur berlantaikan pangkin kayu. Oleh kerana ruang itu sangat sempit, saya selalu tidur di atas perut ibu dan kadang-kadang di atas badan kurus bapa. Abang saya lebih gemar tidur di lantai kaki lima bangunan. Lebih sejuk dan selesa katanya.

Di Bangladesh, saya dan rombongan umrah telah dibawa bersiar mengelilingi bandar Dhaka. Sepanjang perjalanan menuju ke hotel penginapan, saya melihat ‘bangsal-bangsal kayu berdindingkan kain’ menjadi rumah keluarga-keluarga miskin di bandar ini. Warga rumah terdiri daripada ibubapa dan anak-anak. Kasihan, mereka berkongsi kemiskinan ini dengan senyum gembira.

Abang selalu bertanya pada ibu, mengapa hidup kami sekeluarga miskin? Adakah nenek dan datuk kami yang berasal dari Madras dulu yang mewariskan kemiskinan ini? Ibu mengangguk. Abang kemudian merayu kepada ibu mahu bersekolah. Menurut abang, hanya sekolah yang boleh memberi keajaiban dalam kehidupan kami. Entah dari mana abang mendapat kepercayaan itu. Mungkin dari anak-anak Tuan Syaheed yang kasut mereka dicuci oleh abang setiap hari. “Tidak boleh! Kamu lihat gigi ibu yang berkarat ini. Kita tidak mampu membeli ubat gigi pun, bagaimana kamu mahu membayar yuran sekolah?” jerit ibu. Selepas itu, abang jarang-jarang pulang ke rumah.

Tempat yang kerap dikunjungi ibu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Zia. Kami berasak bersama manusia-manusia hamis lain dengan niat mencari sesuap nasi. Orang yang turun dari tangga kapal terbang tentulah orang berduit. Sekurangnya mereka lebih beruntung dapat terbang di awan daripada kami yang seumur hidup berjalan kaki di tanah. “Tuan yang baik, puan yang baik, tolonglah kami. Anak saya ini perlukan makanan, sudah dua hari (kekadang ibu menyebut tiga hari atau lima hari) tidak menyentuh makanan,” jerit ibu pada orang-orang yang keluar dari pintu utama lapangan terbang. Yang melilau, menjerit, berlari dan menagih simpati orang bukanlah ibu sahaja. Dalam mata kecil saya, beratus wanita meminta sedekah. Dan beratus-ratus (ataukah beribu) anak-anak kecil seperti saya menjadi kutu-kutu simpati ibu mereka. Jika ada seorang yang bersimpati, maka tangan yang bertuah sahaja dapat mencapai duit. Acapnya, jika tidak mendapat duit, kami akan diberikan pisang oleh orang-orang bermurah hati yang turun dari kapal terbang.

Sebaik keluar dari Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Zia, yang menyambut penulis dan penumpang lain adalah tangan-tangan yang meminta sedekah. Mereka ada yang datang mengendong anak kecil, ada lelaki tua yang uzur, ada kanak-kanak lelaki yang tidak berbaju dan kanak-kanak perempuan yang comot. Masing-masing menghulurkan tangan dari celahan pagar mohon diberikan wang untuk makan. Oleh kerana peminta sedekah terlalu ramai, penulis hanya terkebil simpati sambil mendoakan mereka dalam hati. Continue reading Awan-awan Idea Dalam Sebuah Cerpen

Thursday, June 17th, 2010

Dorongan dan Sokongan

Bakal Penulis:)

Sebelum memulakan penulisan, ada dua ubat yang perlu anda telan. Ubat ini umpama vitamin tambahan yang diperlukan oleh badan. Ubat pertama berupa dorongan, dan yang kedua adalah sokongan.

Ini cerita saya tentang ubat penulisan.

Saya bukan setiap hari boleh menulis. Malahan, dalam tempoh sebulan pun, belum tentu ada karya yang ditulis baik. Orang yang tidak menulis, biasanya mereka memandang penulisan sebagai kerjaya rutin. “Mengapa anda tidak menulis?” tanya seseorang apabila mendengar si penulis mengeluh; dia rasa tertekan kerana lama tidak menulis. Masalah ini hanya dirasai oleh golongan penulis yang mencari sisi terbaik untuk karya mereka.

“Sekarang saya dalam proses pengeraman. Tidak boleh menulis lagi,” jawab si penulis tersebut.

Saya sendiri, selagi tidak dapat menghadam idea dan memahami mesej yang bakal ditulis, saya tidak akan menulis. Natijahnya jika saya menulis, karya itu ‘tidak memiliki’ kaki atau kepala. Ada cacat di sana sini.

1. Telanlah Ubat Dorongan

Dorongan berpunca daripada keinginan yang kuat dalam diri penulis. Apabila timbul hasrat untuk menulis, penulis sudah menelan satu pil dorongan untuknya menyiapkan karya. Dorongan akan membentuk tatatertib penulisan. Si penulis akan mula mencari bahan penulisannya seperti membaca, menemubual, melayari internet dan mengenang pengalaman lampau.

Kebiasaan yang berlaku, penulis akan mengaitkan persekitarannya dengan apa yang ingin ditulisnya nanti. Dia sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan selalu akan muncul idea-idea baru. Dorongan akan membuatkan penulis dalam keadaan separuh sedar, malahan emosinya berasa gembira. Ini kerana penulis seolah-olah mendapat gambaran karya walaupun dia belum lagi menaipnya di komputer.

2. Sokongan

Dorongan yang kuat untuk menulis menyebabkan penulis mahu bersendiri. Kadang juga, dia ingin mencari seseorang untuk berbincang mengenai idea dalam kepalanya.

“Awak boleh tolong saya memasak, saya nak menulis sekarang,” kata seorang penulis kepada temannya. Sekiranya si teman bersetuju, dia telah memberikan sokongan kepada penulis untuk duduk menyiapkan karya.

“Awak ada idea tak untuk kembangkan cerita saya ni? Begini, saya nak buat satu cerpen tentang Hari Raya, tapi mesti ada konflik yang menyebabkan watak utama serba-salah tak mahu pulang ke kampungnya. Saya tak mahu konflik macam drama-drama Melayu, kalau boleh konflik yang segar. Awak ada pandangan?” tanya seorang penulis kepada rakannya.

Lalu si rakan menjawab, “Oh, saya ada satu idea untuk awak. Bagaimana kalau awak buat watak utama tu dihalau oleh ayahnya sebab dia bercinta dengan lelaki Bangladesh? Kalau awak nak cerpen tu aneh lagi, awak buatlah dia tu seorang ‘lelaki lembut.’ Sebab tulah ayahnya marah sangat..”  Penulis membulatkan mata. Nampaknya dia mendapat satu idea baru dan amat berterima kasih atas sokongan temannya itu. Tidak mustahil  terus dapat menulis dengan baik.

Penulis amat memerlukan sokongan luaran setelah ada dorongan dalaman untuknya berkarya. Keduanya ini tidak boleh dipisahkan.

Bayangkan, jika penulis sudah menelan ubat dorongan, tetapi tidak mendapat suntikan sokongan, dia tidak dapat menjadi seorang penulis yang baik.

“Awak buat novel-novel ni, apa manfaatnya? Baiklah awak tumpukan pada perniagaan jualan langsung kita, dapat juga duit cepat-cepat.” kata seorang suami kepada isterinya yang meminati dunia penulisan. Jika keadaan begini berlaku, penulis itu terpaksalah memadamkan minatnya kerana mentaati suami adalah lebih wajib daripada duduk menulis mengadap komputer.

Kesimpulannya, jika anda mahu menulis dengan baik, telanlah dua ubat yang saya sebutkan di atas.


TAMBAHAN- Penulisan di atas tercetus apabila saya baru selesai menelan ubat-ubat ini. Saya mempunyai banyak idea untuk menulis cerpen kerana sudah beberapa bulan dalam proses pengeraman. Dalam tempoh ‘tidak menulis’ itu, saya membaca buku dan kerap melayari internet. Apabila ada editor yang mahukan karya saya, dorongan menulis menjadi kuat. Saya berkata pada suami, saya ingin menulis. Dia memberi keizinan malah mengajak saya duduk berbincang, apa yang ingin saya tulis. Saya ceritakan ‘idea mentah’, kemudian dia menambah ‘idea perencah’ sehingga kami menemui bersama sebuah cerita. Dia terus mengarahkan saya menulis. Alhamdulillah, saya dapat menyiapkan dua buah cerpen dengan baik hari itu.

Sunday, February 7th, 2010

Proses Pengeraman dan Seruan Berfikir Dalam al-Quran

 Proses Pengeraman

Penulisan kreatif  merupakan satu tugas yang menuntut seseorang itu berfikir dengan tajam, lama dan meletihkan.  Dalam melaksanakan tugas tersebut, penulis perlu memperbanyakkan istirehat dan muhasabah diri. Bagi penulis dakwah, adalah menjadi kewajipannya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT serta berfikir tentang hikmah kejadian alam. Menurut Norafifah bt Ab Hamid (2009), al-Quran menggariskan lima metode pengeraman iaitu ta’qil (berfikir), tadhakkur (mengingat), tafakkur (berfikir secara mendalam), tadabbur (merenung) dan tafqih (memahami).

Berikut merupakan contoh ayat al-Quran yang berkaitan dengan seruan berfikir:

a)    Seruan ta’qil. Surah al-Baqarah ayat 44 yang bermaksud:
‘Mengapa kamu menyuruh orang lain melakukan kebajikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca kitab (Taurat), apakah kamu tidak berfikir?’

Ayat ini menerangkan tentang segolongan manusia yang mengajak orang lain taat kepada Allah SWT namun, dia sendiri mengingkarinya. Sebahagian ahli tafsir mengatakan, golongan sedemikian adalah bani Israel dan golongan munafik. Allah SWT menempelak golongan ini dengan ayat ‘Apakah kamu tidak berfikir?’Ahli tafsir mengatakan perkataan tidak berfikir bermaksud tidak memahami kebenaran. Continue reading Proses Pengeraman dan Seruan Berfikir Dalam al-Quran

Thursday, December 3rd, 2009

Pembaca dan Penulis

Seorang pembaca Novel Baromkeh, Matamu di Mataku menghantar sms kepada saya, “Ummu, teman saya mahukan no telefon Ummu, dia sudah membaca Novel Baromkeh 10 kali. Bolehkah saya berikan padanya?” tanya beliau. Saya bersetuju dan rasa terharu, ada juga yang sudah menghadam 10 kali ‘anak ketiga’ saya itu sedangkan saya sendiri tidak membacanya sebanyak itu.

Barangkali novel tersebut memberi nostalgia kepada si pembaca. Nilai nostalgik akan menyebabkan kita mudah jatuh cinta dan terbawa-bawa dalam kehidupan sebenar. Pernah dulu, ketika saya bercakap tentang Novel Ladang Hati Mustika dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM1 pada tahun 2007, saya menerima sebuah emel dari seorang pensyarah dari Jakarta bernama Drs Saifullah Skamalie. Katanya, selepas melihat rancangan tersebut, dia terus ke Mid Valley bagi mencari Novel LHM. Dia dapat menghabiskan novel tersebut satu hari walaupun ada perkataan yang tidak difahaminya. Drs Saifullah Skamali ketika itu sedang melanjutkan pengajian Doktor Falsafah di Universiti Malaya. Oleh kerana LHM menceritakan perihal pengalaman gadis Mustika ketika menuntut di UM, sedikit sebanyak menarik minat Drs Saifullah terhadap LHM. “Saya sangat cintakan UM, jadi novel ini membikin saya jatuh cinta termasuk pada Mustika!” tulisnya.

Sebagai penulis, apabila menghadapi situasi seperti di atas, saya mengucapkan tahmid kepada YANG MAHA ESA. Saya percaya, semua penulis menginginkan pembaca mereka mendapat kepuasan dalam karya, terutama yang bermanfaat. Namun, sebagai muslimah, tentulah saya akan membataskan diri dengan menceritakan kepada pihak pembaca bahawa, watak adalah ‘manusia berbeza’ daripada penulis. Watak barangkali adalah tipa ‘impian atau ‘hasrat terpendam’ penulis yang tidak boleh dicapai dalam kehidupan sebenarnya. Hakikatnya, penulis ingin memberi yang terbaik untuk para pembaca mereka. Sama ada yang terbaik itu adalah ‘keindahan atau yang sangat dicintai’ penulis, boleh juga berlaku, yang terbaik itu adalah ‘protes dan  rasa ketidak-puasan’ penulis terhadap sesuatu. Continue reading Pembaca dan Penulis

Friday, November 13th, 2009

Who Want To Be a Writer?

Paulo Coelho said:

When I was fifteen, I said to my mother: “I’ve discovered my vocation. I want to be a writer.”

“My dear,” she replied sadly, “Your father is an engineer. He’s a logical, reasonable man with a very clear vision of the world. Do you actually know what it means to be a writer?”

“Being someone who writes books.”

“Your Uncle Haroldo, who is a doctor, also writes books, and has even published some. If you study engineering, you can always write in your spare time.”

“No, mama. I want to be a writer, not an engineer who writes books.”

“But have you ever met a writer? Have you ever seen a writer?”

“Never.  Only in photographs.”

“So how can you possibly want to be a writer if you don’t really know what it means?”

Then, Paulo Coelho decided to research and learned about what being a writer meant in the early 1960s;

‘A writer always wears glasses and never combs his hair. Half the time he feels angry about everything and the other half depressed. He spends most of his life in bars, arguing with other disheveled, bespectacled writers. He says very ‘deep’ things. He always has amazing ideas for the plot of his next novel, and hates the one he has just published.’

I Said:

But, nowadays, there are so many ustaz and ustazah have the desire to become a writer. They have good personality and knowledgeable in their field. They could lead the society through their writing.

071120091961.jpg

Become a good script writer- Ustaz Adib Samuri, Ustaz Zakaria Sungib, Ustaz Zaid Akhtar, Ustaz Hasrizal Jamil dan Zabidi Mohamed

Monday, November 2nd, 2009

Bengkel dibengkeli

 img_2308.JPG

Bersama para ustazah dan peserta Bengkel Penulisan DMPS

“Masya Allah, Ustazah jadi peserta juga ke?” kata saya menyalami Ustazah Zuryati, Ketua Muslimat Pas Serdang dan Ustazah Raziah,AJK Dewan Muslimat Pas Serdang. Kedua mereka pernah menjadi rakan musafir di Solo, Indonesia tahun lalu. Manakala Ustazah Zuryati, saya berkenalan dengannya di Damsyik pada tahun 2006. Dia mengikut suaminya, Prof Madya Dr Kamaruzaman Yusof membuat kajian sebatikal di Syria. Sehingga kini, hubungan kami masih berlangsungan malah sampai berziarah ke Kedah dan Bangi.

Minggu ini, masa saya terisi dengan berjumpa insan-insan yang mahu belajar menulis. Mereka tidak mengenal usia, ada yang lebih muda dari saya (<26 tahun), ada 30-an malahan ada seorang puan itu, umurnya 50-an. Rata-rata mereka sanggup mengorbankan hari minggu ke bengkel penulisan kerana mahu jadi penulis. Bahkan, hampir 90 peratus, mereka bukan dari aliran Sastera Melayu, sebaliknya dari aliran Sains, bahasa Inggeris dan Kejuruteraan. Saya berasa kecil pula bila, insan yang saya hormati seperti Ustazah Zuryati dan Ustazah Raziah sudi hadir sebagai peserta.

Continue reading Bengkel dibengkeli

Monday, October 19th, 2009

Menulis Dan Hambatannya

 dsc_3469.JPG

Insafkan diri dengan mendengar pengalaman orang lain.

Sewaktu saya ‘banyak masa’ selalunya saya tidak boleh menulis dengan berkesan. Saya teringatkan perkara-perkara yang menghambat saya untuk  menulis terus-menerus.

1)Bila emak atau abah menegur saya kemudiannya saya tanggapi teguran itu sebagai kemarahan dan sukar menerimanya. Saya tulis dalam buku latihan sekolah kemudian sorokkan  dalam almari (ketika bersekolah rendah dulu)

2)Pedih kerana putus cinta, hahaaa (Novel Ladang Hati Mustika)

3)Rindu yang amat dahsyat terhadap sesuatu (Novel Baromkeh Matamu di Mataku dan Senyum Kota Suriah)

4)Kemarahan yang tak dapat dibendung (Cerpen Stesen Televisyen Lalat dan Legendaris Albopictus)

5) Ditekan penerbit dengan tarikh dateline (Buku Catatan Hati  Nik Nur Madihah dan 1 Bulan 3 Bintang)

6)Tanggungjawab menyebarkan kepada masyarakat tentang negara lain (Cerpen Es Teler Pagi Raya, Teman Cukuplah Kami dan Putik Qunaitara)

Beberapa minggu ini saya tidak dapat menulis dengan baik. Walaupun ada beberapa tekanan yang menolak saya untuk menyiapkan dua buku dan tesis. Misalnya, kematian Hajah Che Halimah pagi Jumaat lepas (buku tentang Allahyarhamah tinggal 20 peratus) dan dateline novel Surat Ibu Dari Penjara (untuk Galeri Ilmu) yang baru masuk ke bab 5. Saya tidak dapat menulis secara terus-terusan. Barangkali desakan belum sangat kuat

KEMATIAN

Saya mahu berpesan pada diri dan kawan-kawan pembaca, ayuh menulislah jika ada kemahuan dalam dirimu. Besok belum tentu kita masih bernyawa untuk meninggalkan manfaat kepada ummah. Ingatlah selalu akan kematianmu wahai diriku!

‘Ayuh bersegeralah menuju Allah, taatilah Dia, minta ampun padaNYA, mati bila-bila masa boleh tiba jangan sampai kita tidak bersedia..” terima kasih Allahyarham Ustaz Asri.

Saturday, October 17th, 2009

Belajar Menulis 6

 dsc_0441.JPG

‘Abah, halalkan segala ilmu penulisan yang telah diberikan pada Kak Ummu.’

PROSES PENULISAN KREATIF

Beberapa orang pelajar dan mahasiswa telah menghantar emel dan sms kepada saya bertanyakan soalan yang sama: Bagaimanakah mahu memulakan penulisan? Atau Bagaimana menulis kreatif dengan cara yang mudah?

Berdasarkan pembacaan dan pengalaman (kira-kira 10 tahun menulis), penulisan kreatif mempunyai beberapa tahap proses disebut proses kreatif. Walaupun aspek kreatif itu adalah sesuatu yang abstrak dan bersifat anugerah (bakat), tetapi ia boleh diaplikasikan kepada individu-individu yang bersedia untuk mempelajarinya. Dalam penulisan sastera, hal ini sering berlaku bahkan sesetengah penulis yang rajin (walaupun tidak mempunyai bakat semulajadi) lebih prolifik berkarya berbanding penulis yang semulajadi berbakat.
Di sini saya ingin memfokuskan kepada empat proses dalaman yang sering berlaku kepada para penulis kreatif. Continue reading Belajar Menulis 6

  • NURLIDA BT MOKHTAR: Salam Ummu Hani, Saya Kak Ida , ingin berkongsi...
  • Akim: link utk borang http://files.itnm.com.my/download/...
  • kakyong: tak salah utk berkahwin semasa belajar, asal faham...
  • Emyne Fahimah Chan: Assalamu'alaikum.. Bagaimana untuk saya mendapatk...
  • mamawana: Assalamualaikum Apa khabar Nik Nur Madihah? Ap...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com