Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Panduan Menulis Category

Thursday, July 23rd, 2009

Menghakimi Cerpen

 Baru-baru ini saya diminta oleh pihak penganjur dari sebuah organisasi dakwah untuk menghakimi pertandingan menulis cerpen. Berikut merupakan sedikit perkongsian ‘kekecewaan saya’ selaku pembaca dan juga pengadil.

Umumnya mengetahui bahawa cerpen adalah karya prosa yang tidak asing dengan masyarakat. Sebagai  organ sastera yang terbatas, cerpen mementingkan kualiti cerita yang diadun dengan teknik naratif yang kreatif. Ia berbeza dengan penulisan novel mahupun puisi, pengarang tidak boleh membazirkan banyak ‘perkataan’ untuk menerangkan fikirannya kepada pembaca. Cerpen yang baik adalah cerpen yang sarat dengan persoalan, mengandungi jawapan, membentuk pemikiran, padat, tepat dan bermakna. Apabila dijadikan alat dakwah, maka cerpen seharusnya mengutarakan nilai-nilai Islam yang jelas. Penulis juga bertindak sebagai pendakwah yang berhikmah, serta penyiaran cerpen itu nantinya menjadi medium dakwah yang komprehensif.
Pensejarahan sastera Islam termasuk cerpen membuktikan bahawa karya sastera berkembang searus perkembangan zaman. Pada dekad 1970-an,  perbincangan mengenai sastera Islam kedengaran lantang akibat pengaruh Islamisasi dalam pelbagai bidang terutama politik dan sosial masyarakat Malaysia. Hal ini terus berlanjutan hingga ke alaf milieu kini, para penulis tidak hanya membincangkan persoalan tubuh fizikal Islam (hukum-hukum Fekah) tetapi turut menyentuh soal pemikiran dan falsafah Islam. Banyak persoalan baharu yang muncul di kalangan generasi Islam pasca moden yang menuntut jawapan dan buah fikiran daripada para pengarang Muslim selaku pendakwah. Misalnya,  persoalan kemiskinan yang menjadi punca penyakit sosial, bahaya rasuah dan pecah amanah, isu pendidikan sekular yang lebih diutamakan berbanding pendidikan Islam, punca keruntuhan institusi kekeluargaan, isu ekonomi global yang bercirikan neo kapitalis, serta mengangkat kembali imej Melayu Muslim di kalangan generasi baharu. Persoalan-persoalan berikut memerlukan para penulis membuat penyelidikan, berfikir dengan serius dan  kritis serta memberikan altenatif penyelesaian bersumberkan al-Quran dan Sunnah.  Hal ini adalah wajar jika pengarang mempercayai bahawa menulis cerpen adalah aktiviti intelektual yang serius.

Malangnya, di kalangan kita merasakan bahawa penulisan cerpen adalah aktiviti kesenian yang tidak berpaksikan ilmu akademia serta boleh diteroka ‘sesiapa sahaja’. Continue reading Menghakimi Cerpen

Tuesday, May 26th, 2009

Hasrat Introspeksi Karya:

Pengalaman Menulis Cerpen Dalam Akhbar Mingguan Malaysia
kak-ummu-ceramah.jpg

PENDAHULUAN

Berapa ramaikah penulis muda akan tampil menangkis kenyataan ini?: Penulis Muda Tiada Perjuangan.  Namun, siapakah yang dikelompokkan sebagai penulis muda untuk tampil berani itu? Setakat hari ini, penulis muda ditakrifkan sebagai penulis yang berusia antara 15 – 45 tahun. Dari segi usia kepengarangan, penulis muda juga adalah mereka yang menulis kurang daripada 10 tahun. (Raja Yusoff Arifin, 2005:151).  Berdasarkan julat tersebut, Malaysia akan mendapati penulis mudanya sekarang adalah berjumlah lebih daripada 100 orang (merujuk kepada jumlah alumni Minggu Penulis Remaja DBP). Mereka yang termasuk dalam dua kategori inilah yang diprovokasikan sebagai ‘penulis muda tiada perjuangan’. Perjuangan boleh ditakrifkan sebagai memperolehi sesuatu dengan kekuatan, kuasa, strategi dan sebagainya (Kamus Dewan Edisi Ketiga, 2002:545). Dalam menghasilkan sesebuah karya sastera sama ada novel, cerpen, puisi, dan drama, penulis menggunakan senjata intelektual, emosi dan pengalamannya bagi memperjuangkan idealismenya sendiri. Continue reading Hasrat Introspeksi Karya:

Sunday, May 17th, 2009

Menulis Dalam Tekanan

Dalam tempoh 15 minit, saya dan Abdullah Abbas, pengerusi bengkel meminta para peserta menulis cerpen. Sependek 1 para. Dan empat daripadanya kami pilih untuk diberikan novel-novel percuma sebagai hadiah. Saya pula berjanji untuk menyiarkan ‘karya’ mereka dalam blog ini. Siapa kata ‘pelajar IT’ tidak berbakat? Cuba kita baca coretan 15 minit mereka. ( Semuanya dalam bahasa Indonesia) Continue reading Menulis Dalam Tekanan

Monday, May 11th, 2009

Jadi Penulis Serba-Boleh

dsc_3510.JPG 

 “Saya sesungguhnya tak yakin bisa memberikan terbaik pada mereka (peserta). Kalau yang diminta adalah Teori Sastera, saya mohon maaf akh. Jika pengalaman, insya Allah,” kata saya pada Akh Samheri, Presiden Persatuan Pelajar Indonesia Malaysia minggu lepas. Dia dan pihak PPIM menjemput saya untuk mengisi acara Bengkel Penulisan Novel Nusantara di Universiti Multimedia (MMU), Melaka. Dalam kekabutan itu, sempat saya menghubungi Ustaz Zaid Akhtar, moga-moga dia boleh menggantikan kerana ustaz lebih senior. Lagipun, jarak Johor dengan Melaka tak begitu jauh.

dsc_3516.JPG

“Ana percaya Ummu boleh. Ana dah janji dengan isteri nak balik kampung minggu ni,” jawab Ustaz Zaid Akhtar dalam smsnya. Kemudian Akh Samheri mengatakan, “Ya, memang yang dimaukan kami adalah pengalaman ukhti. Jika teori, kami sudah ada pembentangnya iaitu Akhi Alwi Alatas, penulis Indonesia,” jelasnya yang membuatkan saya tidak boleh menoleh ke belakang.

Sekembali dari program Berakhirnya Agenda Zionis di PWTC dan MIHAS di Jalan Duta, saya mengodek-ngodek tulisan yang ada dalam laptop. Ternyata, ada kertas kerja yang sesuai saya gunakan semula; Kembara Adalah Karya. Saya telah membentanginya di UPM September lepas. Kertas kerja itulah yang saya gunakan untuk berkongsi sedikit pengalaman penulisan dengan adik-adik mahasiswa MMU warga Indonesia.

BAHASA

dsc_3656.JPG

“Maafkan saya jika bahasa Indonesia tak bagus. Ini mungkin mengganggu konsentrasi adik-adik.” Dalam pembentangan, saya nampak seorang dua yang ‘tersengguk-sengguk’ dan saya mula ‘faham’. Mereka yang datang bukanlah dari aliran Sastera, semuanya ‘orang komputer’. Inilah kali pertama saya berceramah di hadapan para peserta yang kayak ‘Sheila On 7’ dan seorang dua seperti AlleyCats. Memberikan pengalaman luar biasa bersama mereka. Peserta lelaki lebih ramai daripada wanita. Kehadiran Ibu Woro Sawitri dan Bapak Taufiq dari Konsul Jenderal Republik Indonesia menguntumkan keharuan.

Dalam pengucapan, bahasa adalah akting yang penting. Bahasa mencerminkan daya penampilan dan kebijakan seseorang. Kelemahan seseorang menyampaikan ilmunya dengan bahasa yang tepat, akan memudaratkan dirinya sendiri; Ilmu yang diberikan ‘tidak sampai’, bahkan diri penyampai sedikit ‘tercalar’. Apakah bahasa yang tepat? Continue reading Jadi Penulis Serba-Boleh

Thursday, May 7th, 2009

Tak Haram ke Tulis Cerpen?

Satu emel masuk bertanyakan soalan seperti di atas, dengan kerendahan hati, saya cuba menjawab sekadarnya. Mohon yang bertanya itu, tanyakan pula pada penulis2 sastera Islam lain juga (sambil tidak lupa membaca buku teori2 sastera Islam yang banyak di perpustakaan awam seluruh Malaysia)

Assalamualaikum,

Kak Ummu Hani yang dirahmati Allah,

Saya Ain, berasal dari Sabah dan menulis dengan menggunakan nama pena Is. Saya terdorong untuk menghubungi kakak kerana saya dahagakan bimbingan untuk memurnikan lagi ikhtiar saya dalam dunia penulisan kreatif. Kerana niat saya menulis sekarang sama seperti Ustaz Hasrizal Jamil ( saifulislam.com ) : “ Menulis bukan untuk memberi TAHU, tetapi berusaha mencetus MAHU, agar bergerak menuju MAMPU. Pencerahan bukanlah pada mengumpul pengetahuan, tetapi keupayaan untuk membuka jalan kembara insan mencari Tuhan.”, di samping mencari keberkatan hidup.

Terlebih dahulu saya ingin menanyakan beberapa kemusykilan yang perlu saya tahu, demi ketenangan diri yang mula tergugah oleh dilema dalaman saya sendiri.

1. Apakah fiksyen/cerita rekaan boleh ditulis oleh seorang penulis Muslim ? Continue reading Tak Haram ke Tulis Cerpen?

Tuesday, February 24th, 2009

Belajar Menulis 4

JADIKAN RASA DI HATI SEBAGAI INSPIRASI 

dsc01296.jpg

Hamdi (berjubah kelabu) dengan kawan-kawannya di Damsyik.

Saya selalu tidur bermimpikan Damsyik. Penangannya, walau 3 tahun sudah berlalu, seakan baru semalam saya turun dari Ittihad Airways di KLIA. Saya jarang menyuarakan betapa lebatnya rindu yang berguguran di hati ini pada bumi yang memberi saya kehidupan tentang alam dan makhluk. Tentang mahabbah dan sakinah juga tentang ukhwah. Saya cuba mengurangkan rasa perit itu dengan menulis. Alhamdulillah, dua novel terhasil dalam perjalanan hampir 3 bulan saya di negara Suriah alias Syam.

 barmkeh.bmp

Novel Baromkheh:Matamu di Mataku

Proses penulisannya berlangsung sebelum kaki saya menjejak Syria lagi. Ketika itu saya berawangan di atas awan dalam kapal terbang. Jika anda baca bab pertama novel saya itu, ada banyak perkataan ‘Senyum pada awan, senyum pada awan’. Tajuk bab itu juga adalah Senyum Pada Awan. Memang saya betul tersenyum pada awan!

Saya mencatatnya secara kasar. Watak-watak yang timbul adalah berdekatan diri saya. Saya rangkakan; Iman (banyak diri saya dan impian saya) menyambung pengajian di Syria bersama temannya Salwana (watak asal Salwana adalah teman musafir saya iaitu Kak Hidayah. Kami memang berdua saja). Saya tidak mahu novel ini seperti Ladang Hati Mustika, yang menggunakan sudut pandang ‘AKU’ sebaliknya mahu mempelbagaikan watak utama. Justeru, saya meletakkan selain Iman dan Salwana, akan ada watak-watak lain sebagai watak tipa.

Sebelum terlupa, saya belum meletakkan tajuk lagi untuk novel ini. Malahan, nama Baromkheh itu belum saya ketahui dan mengejanya. Saya hanya mempunyai hasrat menulis pengalaman pengembaraan ilmu ini sahaja. Dalam kapal terbang, saya kutip apa yang saya lihat antaranya ; para penumpang, pramugari, material dalam kapal terbang, rupa awan, perasaan sendiri, cara pemanduan pilot, apa yang dihidangkan dalam kapal terbang, percakapan penumpang sesama sendiri dan ketika kapal terbang transit. Dari pengalaman itu, telah siap satu bab novel!  Continue reading Belajar Menulis 4

Tuesday, February 17th, 2009

Belajar Menulis 3

Semalam saya ditemubual oleh para pelajar dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Barangkali ia juga dapat membantu saudara yang berminat untuk menulis. Saya kongsikan di sini.

1) Bagaimana/Bila anda melibatkan diri anda dalam dunia penulisan ?

Alhamdulillah, bapa saya seorang penulis dan beliau telah mendidik saya untuk menjadi seorang penulis sejak masih kanak-kanak. Misalnya, abah akan membekalkan pen dan buku apabila kami pulang ke kampung (Kedah) atau menziarahi sanak-saudara. Sepanjang jalan dalam kenderaan, abah mahukan saya dan adik-adik menulis apa yang kami lihat di jalanraya. Ketika itu umur saya sekitar 9-12 tahun. Abah juga sering menghadiahkan buku dan mewujudkan perpustakaan di rumah kami. Pembacaan dan latihan menulis itu adalah faktor yang mengembangkan bakat penulisan saya, alhamdulillah.

Saya mulakan penulisan dengan menulis diari, cerita-cerita pendek dan pembacaan. Karya pertama tersiar di media hanya ketika berusia 16 tahun, sebuah puisi Ramadan di majalah Anis. Sebelumnya, saya telah menulis cerita tetapi untuk simpanan sendiri sahaja.

2) Apakah tema atau persoalan-persoalan yang sentiasa anda kemukakan dalam karya-karya anda ?(soalan yang mungkin klise tapi ingin mendapat tema original dari penulis)  Adakah anda ingin memuatkan tema atau persoalan yang berbeza pada masa hadapan ?

Saya cenderung menulis berdasarkan pengamatan dan pengalaman sendiri. Namun, pengalaman tersebut saya suntik dengan sedikit kajian dan pembacaan. Setakat ini, hampir 40 buah cerpen saya berkisar isu yang berlaku dalam masyarakat. Saya ambil contoh, cerpen Cerita-Cerita Akhir (Mingguan Malaysia) adalah dari pembacaan berkaitan kekejaman yang berlaku ke atas umat Islam di Selatan Thai, cerpen Bila Adik Pulang (Mingguan Malaysia) adalah berdasarkan peristiwa kehilangan adik Nurin Jazlin yang kemudiannya mati dirogol. Cerpen-cerpen saya yang lain ada bertemakan pendidikan, pengembaraan, perjuangan Islam, kekeluargaan dan politik. Cerpen berunsurkan politik antaranya bertajuk Stesen Televisyen Lalat (Akhbar Wasilah), dan  Legendaris Albopictus (Mingguan Malaysia).

Manakala 4 buah novel saya, dua daripadanya bertemakan pengembaraan atau travelog iaitu Baromkheh, Matamu di Matamu dan Senyum Kota Suriah (kedua berdasarkan pengalaman saya ketika menuntut di Damsyik, Syria). Novel pertama saya, Ladang Hati Mustika adalah pengalaman saya menjadi mahasiswa di Universiti Malaya. Novel 1 Bulan 3 Bintang pula adalah novel remaja hasil dari pengalaman musim remaja saya juga pengamatan melihatkan gaya anak-anak muda kini.

Saya bercita-cita terjun dalam bidang penulisan berunsurkan sejarah terutama berkaitan Nabi Muhammad SAW. Insya Allah.

Adakah tema-tema mahupun persoalan-persoalan yang anda kemukakan ini berdasarkan naluri hati anda atau mengikut isu-isu semasa.

Kedua-duanya.  Bisikan hati akan mendesak saya menyiapkan sesuatu karya. Semua karya yang tersiar dan terbit setakat ini adalah dari hati dan kesedaran saya pada isu tersebut, alhamdulillah.

4) Apakah pendapat Ummu mengenai pendidikan dengan dunia penulisan. Adakah pendidikan yang tinggi diperlukan oleh seorang penulis ? (paper chase) Pendidikan yang tinggi (PHD sbg contoh) dapat membantu penulisan anda
.

Pandangan peribadi saya, ilmu itu perlu pada seorang penulis. Namun, adalah tidak adil, seorang penulis perlukan gelaran atau ijazah tinggi baharulah boleh menulis. Pendidikan (ilmu) adalah inti karya. Pendidikan tidak semestinya dalam kampus atau universiti. Kita belajar dari Sasterawan Negara, Allahyarham Pak Arenawani dan Usman Awang, mereka adalah graduan universiti alam. begitu juga Pak Samad Said, bukan seorang ahli akademik. Tetapi mereka ilmuan yang hebat kerana sensitiviti serta pembacaan yang banyak. Malahan, jika seorang penulis itu kemudiannya memasuki universiti, adalah satu bonus sekiranya dia memanfaati karyanya dengan teori dan falsafah yang dipelajarinya. Ini kerana, universiti mengajar kita meneroka ilmu dengan lebih sistematik, ilmiah dan berterusan. Namun, jangan pula dijadikan alasan, apabila sibuk dengan ilmu teori, ruang untuk menulis kreatif terasa sempit. Kesimpulannya, uniknya penulisan kreatif ia boleh diterokai sesiapapun dan apa bidang pun. Seorang pengayuh beca atau perdana menteri pun bisa menjadi seorang penulis. Insya Allah

5) Pendapat anda mengenai kerjaya sebagai seorang penulis…bolehkah ia menjamin masa depan seorang penulis??

Saya lebih melihat penulis ini sebagai pendakwah, manakala kerjaya itu jatuh nombor dua. Apabila kita meletakkan diri sebagai pendakwah, kita tidak akan menulis semata-mata habuan duit atau nama. Namun, dalam dakwah juga ada elemen nilai. Kita perlukan khalayak yang ramai untuk membaca mesej dakwah yang disampaikan, kita juga perlu mempamerkan persembahan dakwah yang menarik. Jadi, tidak dapat tidak ia berkait dengan wang juga. Oleh itu, ambillah sikap yang sederhana, menulis kerana Allah dan jika diberi rezeki olehNya, kita terima dengan syukur. Sebaliknya, jika kita menulis namun tak ada habuan, kita juga terima dengan syukur.

Apapun, pendapatan daripada penulisan ini banyak. Pengalaman saya sendiri, boleh pergi belajar ke Syria daripada duit menulis, Alhamdulillah, tahun lepas berkesempatan mengerjakan umrah dengan duit menulis juga. Saya harap, tahun ni boleh langsungkan perkahwinan dengan duit royalty menulis juga, insya Allah, Amin.

Perkara janaan pendapatan ini saya selalu cakap pada adik2 remaja supaya mereka ada ransangan untuk menulis. Namun, apapun yang kita lakukan, niat dan matlamat utamanya mestilah amar makruf nahi mungkar. Continue reading Belajar Menulis 3

Tuesday, February 10th, 2009

Belajar Menulis 2

Menulis Dari Pengalaman
Saya selalu merasa jelek dengan tulisan saya sendiri. Ketika usia belasan tahun, banyak kali saya tidak dapat menyiapkan cerpen kerana masalah itu. Saya kerap membayangkan isu-isu besar untuk dicerpenkan. Misalnya, saya telah merangka garis cerita tentang seorang suami yang ditinggalkan oleh isterinya kerana mengikut kehendak nafsu. Si isteri kemudian disahkan mengidap penyakit HIV akibat perbuatan sumbangnya. Cerita bermula dengan kekecewaan sang suami membawa diri ke kampung bersama anak mereka. Anak itu selalu bertanya, di manakah ibunya pergi? Kemudian ibu si lelaki juga asyik mengungkit perkahwinan yang tidak direstuinya itu telah membawa bencana kepada anaknya.

Saya telah menulis intro cerita agar menaikkan tanda tanya kepada pembaca. Namun, apabila sampai di tengah cerita (halaman 7-8) saya buntu. Beberapa orang yang membaca ide saya telah menegur, mengapa saya begitu sanggup mencipta watak seorang isteri dan ibu yang curang? Saya dicadangkan sepatutnya memurnikan watak si isteri. Bukankah penentangan si ibu terhadap perkahwinan anak sudah konflik yang besar? Ia boleh dileraikan dengan elemen-elemen yang lebih ‘mulia’. Ketika itu, umur saya 15 tahun, isu HIV/AIDS dan komunikasi antara suami isteri tidak familiar pada saya. Cuma, kehendak fikiran (yang agaknya selalu membaca novel dewasa) lebih dahulu matang.

Cerpen itu terbengkalai. Malang lagi, ia telah hilang dalam simpanan.

Namun, ada beberapa cerpen yang siap lalu tersiar di majalah. Yang paling mengembirakan, ketika usia 17 tahun, saya telah memenangi dua anugerah sayembara, pertama: Hadiah Saguhati Sayembara Formula Malaysia, Kedua: Tempat Kedua Pertandingan Cerpen Berunsur Islan anjuran Majlis Agama Islam N.Kedah. Dua cerpen yang dihantar adalah berdasarkan pengalaman dan pembacaan sendiri. Saya menulisnya dengan rendah hati.

Di sini, saya mahu kongsikan proses penulisan cerpen Kampung Hati Ayah. Cerpen ini sangat karib dalam pengalaman hidup selama 26 tahun ini. Sangat manis. Alhamdulillah.

SATU 
Satu pagi dalam tahun 2005, saya telah membawa datuk dan nenek ke rumah seorang tukang urut di Pekan Changloon. Bomoh itu terkenal dapat mengubati tulang yang patah dan menyembuhkan penyakit sihir. Nenek saya mengalami penyakit tulang belakang dan Alhamdulillah, ‘kena’ dengan cara urutan si tukang urut.

Acapnya, saya selalu mendengar dan memerhati keadaan sekeliling. Biasanya, awal pagi lagi, rumah si bomoh dipenuhi para pesakit yang datang dari seluruh Malaysia. Siapa yang  awal, akan mendapat perkhidmatan awal. Tetapi nenek selalu di’awalkan’ dengan keadaan dirinya yang agak uzur (berbanding pesakit lain).

Ketika sedang mengurut nenek, sang bomoh bercerita tanpa henti. Perhatiannya bukan saja pada nenek yang mengaduh sakit tetapi pada semua orang yang duduk menunggu giliran. Dia bercerita bak penglipur –lara, dari masalah politik hinggalah hukum agama. Paling menarik perhatian saya apabila sang bomoh berkata “Tahun ni saya terpaksa kerja keras sikit nak kumpul duit. Ni adalah disebabkan nak bawa semua anak menunaikan haji sekali termasuklah yang bongsu tu (15 tahun). Tau-tau sajalah, budak zaman sekarang bukan nak fikir pergi haji muda, tambahan lagi nak kena bayar hutang PTPTN, atau kahwin duduk di Bandar, berapa la duit tinggal nak pergi haji. Jadi, sebelum saya mati, biarlah dapat sempurnakan rukun Islam anak-anak ni.”

 Kata-kata si bomoh sangat dahsyat menyerap ke fikiran, menyelinap di hati dan menetap di jiwa saya. Sangat terkesan dengan harapan dan usaha seorang ayah, walaupun hanya seorang bomoh kampung.

Saya pulang ke rumah dengan teringat-ingat akan ucapan sang bomoh!   Continue reading Belajar Menulis 2

Thursday, January 29th, 2009

Belajar Menulis Di sini

PELAJARAN SATU

Beberapa orang teman dan kenalan menyuarakan hasrat mereka mahu belajar menulis. Secara khususnya, tidak pula dinyatakan mahu belajar menulis genre apa. Berangkali, genre yang paling senang: menulis ABC..heheheee.

Saya bukan guru penulisan dan ahli benar dalam bidang ini. Saya cuma berpengalaman menulis sejak dari sekolah rendah kemudian minat itu saya teruskan hingga ke sekolah menengah dan universiti. Kini, setelah 15 tahun berlalu, Alhamdulillah saya masih terus diberi kekuatan oleh Allah untuk bercinta dengan bidang ini khususnya penulisan kreatif. Saya ingin bertanya kepada saudara pembaca yang mahu belajar menulis, seperti juga memandu kereta, jika anda sudah lebih 15 tahun memandu kereta (secara berlesen atau tidak), tentunya anda tidak ‘mati kutu’ bila dihon kereta lain, pastinya juga anda memandu dengan laju dan berasa hero di jalanraya. Betulkan?

Ha..begitulah juga bidang-bidang lain pun. 15 tahun menjadi pakar sakit puan, atau tukang masak, anda akan lazim dengan tugas anda, walaupun sekali dua gagal, orang tetap mempercayai anda. Penulisan, jika setahun anda istiqomah, menulis dengan tekun, belajar tanpa jemu dikritik, menulis dan terus melatih diri, insya Allah, karya anda pasti lahir. Nah, bila sudah menyiapkan sebuah puisi misalnya, anda sudah berjaya jadi penulis. Mudahkan?

Hehe..tentu ada yang memarahi saya, “Cakap memanglah mudah..”. Ok, senyumkan semula wajah itu. Saya memulai penulisan dengan ..(jangan lupa catat nota ini khusus buat Muni dan Farah Lea)

1.    Pergi beli sebuah buku catatan. Saiznya terpulang
2.    Mulakan catatan peristiwa hidup anda yang berlaku pada hari anda membeli buku catatan tersebut.
3.    Catat dengan menamakan anda sebagai watak utama (aku) dalam kisah pada hari itu.
4.    Luahkah segala yang ada rasa dengan penggunaan bahasa Melayu yang baik. Bukan macam ni.. ri ni aku rase tak best rr..tetibe je kawan aku ngumpat aku plak..bla..blaa.. Penggunaan bahasa seperti itu akan melingkupkan impian anda menjadi penulis..huhu.
5.    Sebelum tidur, pastikan kejadian atau perkara yang anda lewati hari itu dicatat. Baca semula catatan tersebut bila anda bangun tidur pada keesokan harinya.
6.    Kalau anda malu, tak suruh pun anda tayang catatan anda pada orang lain. Simpanlah sendiri. Anggap sebagai latihan.
7.    Ok, latihan menulis ini anda teruskan untuk tempoh sebulan dahulu.
8.    Jangan lupa, sebagai orang Islam yang tak minat menulis pun, anda kena rajin membaca buku. Ya, apa sahaja jenis buku.
9.    Kalau anda suka nak menjadi penulis kreatif, adalah WAJIB anda menelaah karya2 sastera yang berkualiti. Kalau anda tanya saya, saya menyarankan anda membaca karya A. Samad Di Hadapan Pulau dan buku Faisal Tehrani Detektif Indigo. Tapi..anda sendirilah pilih buku yang anda suka baca. Saya percaya, anda mumayyiz dalam hal perihal memilih ‘makanan’ otak yang berkualiti buat anda sendiri.

Anda juga boleh mendapatkan panduan menulis peringkat permulaan dari buku Karya Nan Indah karya Ustaz penulisan saya.
Setakat itu dahulu yang boleh saya kongsikan untuk pelajaran pertama. Jika anak murid ada yang mahu mencuba, ahlan. Jika anda sudah diperingkat lebih tinggi. Tunggulah di pelajaran berikutnya, insya Allah.

Wednesday, February 20th, 2008

PROSES MENGARANG: LAHIR DARI DIRI PENGARANG

Ladang Hati Mustika, saya menganggapnya sebagai anak sulung yang perit walaupun sebelumnya saya telah melahirkan beberapa karya kreatif tetapi prosesnya tidak sesabar novel setebal 316 muka ini.

Novel ini sederhana ditulis ketika usia saya menjejak 22-23 tahun. Ia bermula dengan cabaran kepada diri sendiri bahawa ‘aku perlu meninggalkan sesuatu’ buat varsiti yang saya cintai iaitu UM. Di varsiti , saya telah temui sebahagian besar diri saya sekarang terutama keyakinan, percaya diri dan cinta kepada ilmu. Proses ke arah itulah yang saya yakini penting untuk dirakam bahkan dikongsi dengan orang lain.

Novel ini, sebahagiannya adalah pengalaman saya kira-kira 70 peratus. Saya tidak perlu tema yang besar dan kajian mendalam untuk anak sulung. Saya ibu tunggal iaitu tidak perlu seorang suami untuk proses mengarangnya. Anak ini, ia mencabar saya untuk merenung, menilai, duduk menulis dengan berjadual dan bergaul dengan orang2 sekeliling. Segala yang saya alami, dirakam kejap. Saya bahkan disimpuh kerja-kerja kuliah sebagai mahasiswa, juga terlibat aktiviti persatuan masih menganggap kerja membikin anak ini sebagai bukan sampingan. Continue reading PROSES MENGARANG: LAHIR DARI DIRI PENGARANG

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com