Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Pernikahan Category

Tuesday, December 20th, 2011

Love..Pasca Nikah!

Nikmat yang besar Tuhan berikan kepada kami adalah cinta. Ya, cinta setelah kahwin. Setelah melaluinya genap dua tahun, manis cinta itu tidak saya temui di mana-mana kecuali di wajahnya. Wajah suami tercinta.

Saya merenung diri, asbab apakah Tuhan menganugerahkan mahkota cinta ini kepada saya? Dalam jemala, hanya senarai dosa dan kekurangan diri yang saya temukan. Namun, nun di hujung muhasabah, saya yakin itulah doa. Mak pernah bercerita pada saya yang ketika itu masih bersekolah, “Sebelum kahwin mak hanya berdoa semoga Tuhan mengurniakan seorang suami sebaik wan (datuk saya). Dan Allah memberikan lelaki sebaik abah untuk mak walaupun kami tidak saling kenal.”

Mendengar cerita mak, saya terus meniatkan di hati, “Ya Allah kurniakan daku yang hina ini seorang suami sebaik wan dan abah nanti..”

Pasca Nikah

Dua cinta hati, abi dan Ahmad Abu Darda’

Jika sebelum nikah tidak sangat mengenali, selepas nikah jadi indah serba-serbi, walaupun saling memiliki kekurangan itu dan ini. Cintanya saya pada suami kerana agamanya. Dia bukanlah lelaki yang ‘syadid’ atau cepat melenting jika saya lalai dalam ibadah. Dia bukanlah peleter yang akan menghujatkan saya hukum2 agama jika saya tersalah langkah. Atau akan melemparkan sindiran jika saya ego menidakkan pendapatnya. Suami saya dengan senyuman, kata-kata lembutnya dan sabarnya, itulah yang membuatkan saya ingin memperbaiki diri, menjadi terbaik kepadanya sebagai isteri, sahabat dan ibu anaknya. Continue reading Love..Pasca Nikah!

Wednesday, May 5th, 2010

Lelaki Itu

 Suatu ketika, dalam awal tahun 2001, usai mengambil SPM, saya ‘merehatkan diri’ di rumah ibu saudara di Politeknik Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam (PSA). Maksu (ibu saudara) menemani suaminya, Ustaz Nik Hazani (Paksu) yang bertugas sebagai Imam Besar Pusat Islam di sana. Sekali-sekala, dapat turun ke Kota Kuala Lumpur dan Shah Alam adalah satu ‘anugerah’ bagi ‘budak kampung’ seperti saya yang baru mengenal ‘alam luar’. Saya sangat beruntung kerana Paksu dan Maksu ‘lain’ dari ibu bapa saudara yang lain. Mereka (keduanya waktu itu baru balik dari Jordan) sangat rapat dengan saya. Sepanjang tinggal di rumah mereka, jarang sekali saya tidak menunaikan solat secara berjemaah. Bahkan, maksu mendidik saya untuk bangun malam bertahajud sambil memupuk kefahaman Islam dalam diri ini. Salah satu yang sering dipesan mereka ialah ‘Jangan bercinta waktu remaja, haram!’ Continue reading Lelaki Itu

Friday, April 16th, 2010

Musafir

 dscn0702.jpg

“Lagu apa yang umi paling suka, cuba nasyid, abi nak kompang,” kata suami sambil tangannya mengetuk-ngetuk stereng kereta yang ketika itu turut menjalar di jalanraya. Saya mengerling tingkap kemudian bibir terus mengalunkan sebuah nasyid yang intim di hati.

‘Berjalan bermusafirlah, melihat keagungan Allah

meninjau menitiplah rahsia ciptaan Allah..’

‘Ziarahilah makam kekasih Allah

kenangilah Rasulullah

bangunkan jiwa jihad Islami

semangat syuhada Ilahi..’

Suami kemudiannya menyambung dan makin ligat mengetuk stereng sambil sebelah tangan mengawal pemanduan. Rupanya, dia juga suka lagu yang sama..

‘Marilah bermusafir, laksanakan tuntutan jiwa

bermusafir, berkelana

kenallah Tuhan Maha Pencipta..’

Kami pun bernasyid bersama-sama

‘Allahu rabbi..Allahu rabbi..Allahu rabbi..”

Alhamdulillah, petang ini kami berdua akan bermusafir ke Kota Singapura.

Tuesday, March 30th, 2010

Manis Di Taman Manis

 26483_1392913790712_1468183037_31011247_5626538_n.jpg

Terima kasih kepada pihak Galeri Ilmu Sdn Bhd yang memberi peluang kepada kami mempromosikan ‘anak’ yang istimewa ini.

“Abi tau, umi pernah tulis cerita ni dalam Novel Baromkeh, Matamu di Mataku. Watak Iman dan Husam, kedua mereka berkahwin masa belajar dan tinggal bersederhana di Damsyik, Syria. Umi tulis tu berdasarkan pengalaman tengok kawan-kawan yang kahwin di sana. Walaupun masih belajar tapi ada kekuatan jiwa untuk berumahtangga. Dan tentunya hidup mereka bahagia walaupun mencabar!,” kata saya seperti tidak percaya; saya telah mengalami pengalaman yang serupa!

Suami mengangkut kotak-kotak dan kepingan kayu rak buku (yang dibawa dari Petaling Jaya). Malam 28 Mac 2010 bakal beredar di langit Taman Manis, Parit Raja, Johor. Walaupun sama-sama keletihan (3 jam perjalanan dari Kuala Lumpur), terpancar wajah nan ceria. Di mata saya dan senyuman suami. Rumah no 11, teres dua tingkat (sewanya RM200 sebulan) kami masuki dengan perasaan berbunga. Masya Allah! Yang pertama saya pandang ialah bingkai gambar Kaabah dan Masjid Nabi SAW.

“Tuan rumah pesan pada abi, jangan buang bingkai gambar ni. Sebelum sewakan rumah ni pada kita, dia buat Istikharah dulu. Abi dah bacakan zikir masa tengok rumah ni dengan dia,” kata suami gembira dengan kegembiraan saya. Entah mengapa, saya merasakan seperti pulang ke rumah ‘lama’. Seolah sebelum ini, saya memang tinggal di sini. Pandangan pertama; saya dan suami telah jatuh cinta pada rumah no 11 ini. “Abi yang cat rumah ni, ingat tak?” “Dan kitalah yang tampal gambar-gambar ni (termasuk gambar Allahyarham Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar) di dinding tukan,” Kami berhalunisasi dan ketawa. Rumah dua bilik ini walaupun sederhana (jika di PJ sewanya mungkin RM600-700), terasa luas dan comel. Saya ‘cium’ bau keberkatan di dalamnya. “Gambar-gambar ni dan cerita abang tentang tuan rumah (Encik Musa) membayangkan pada umi dia seorang yang beramal ibadah. Mudahan kita dapat menjaga rumahnya dengan baik ,” kata saya. Continue reading Manis Di Taman Manis

Thursday, February 18th, 2010

Pergi Ke manapun KepadaNYA

“Ummu, ada zikir atau doa tak yang boleh lembutkan hati orang?” tanya Kak Wani, teman serumah saya. Magrib semalam, kami berkumpul agak ramai; Faiz, Rena, saya, Kak Wani dan Hana. Suatu aktiviti yang jarang-jarang kami dapat lakukan bersama tahun ini. Masing-masing dengan urusan yang lebih penting dan peribadi. Dari perkongsian malam itu, cerita yang terbit adalah sekitar isu rumahtangga yang tidak ‘bahagia’. Teman-teman saya berkongsi masalah sahabat-sahabat mereka di tempat kerja dan jemaah.

“Teman saya 13 tahun berkahwin, dapat 6 orang anak. Kemudian suaminya kahwin lain diam-diam dan dia rasa kecewa. Dia berkata, sebenarnya selama perkahwinan itu, dia dan suaminya tidak sekufu pemikiran. Dia minta cerai tapi suaminya tak mahu lepaskannya..” cerita salah-seorang teman.

“Kawan saya pula baru sebulan berkahwin, bila tinggal serumah baharulah dia tahu ragam suaminya yang agak cerewet. Paling menyedihkan suaminya merungut dari sekecil perkara hingga yang besar-besar. Ini membuatkan dia rasa rendah diri dan kecewa. Setiap hari menangis dan minta tolong saya kuatkan jiwanya..” sampuk teman yang lain.

“Kami pula alami nasib yang lain. Ada orang yang dengki telah hantar sihir pada keluarga kami termasuk kakak saya. Dulu dia mahu jodohkan kakak dengan anaknya tapi bila gagal dan kakak berkahwin dengan orang lain, dia hantar sihir kacau kakak dan keluarga kami..” tambah seorang lagi teman.

Cerita-cerita itu cukup menyeramkan saya yang masih ‘berinai’ dan juga teman-teman yang ‘masih anak dara’. Zaman ini umpama zaman ‘kegelapan’ umat Islam apabila kebanyakan kita pudar ‘pesona akidah’ dirinya. Akidah adalah benteng diri sebagai Mukmin dan Muslim. Apabila kuat akidah seseorang, tidak akan sanggup dirinya melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT . Salah-satunya menzalimi orang lain dan tidak berlaku adil dalam rumahtangga. Punca kepincangan rumahtangga adalah apabila tiada taqwa dan cinta kepada Allah SWT.

Saya menyorot diri. Setiap yang terbit dari mulut teman-teman itu adalah peringatan buat saya. Sejak melangkah ke alam rumahtangga selama 2 bulan ini, terasa ada perubahan diri dalam tindakan dan cara berfikir. Kini, suami adalah autoriti dalam keputusan hidup. Saya teringat pesanan al-Quran bahawa isteri adalah pakaian suami, begitu juga suami adalah pakaian isteri. Justeru, apabila hendak berkata-kata atau menulis sesuatu, hendaklah dipastikan bahawa ianya tidak mendatangkan keburukan pada pasangan atau mengecilkan hatinya. Melangkah sahaja dari rumah, mesti dalam pengetahuan suami walaupun berjauhan. Setiap perkara yang mahu dilakukan, dipastikan mendapat redho dan doa suami. Saya amat bersyukur kerana matlamat untuk mendapatkan cinta dan taqwa kepadaNYA melalui perkahwinan ini sedikit demi sedikit menguatkan jiwa kami menghadapi ujian yang datang. Continue reading Pergi Ke manapun KepadaNYA

Friday, January 15th, 2010

Menuju ke sana..

16 Dis 2009-16 Jan 2010

dsc_8032.JPG


Genap sebulan menjadi seorang isteri. Bersyukur kepadaNYA atas gelaran yang pernah disandang oleh ‘ibu-ibu syurga’ (kecuali Maryam) antaranya Khadijah binti Khuwailid, Fatimah az-Zahra, Aisyah R.ha, Asiah isteri Firaun, Masitah si tukang sikat dan Sumayyah, syahidah muslimah di zaman awal Islam. Saya tidak layak dengan mereka, namun dapat menggalas peranan yang pernah dimainkan oleh mereka, sudah satu penghormatan. Suami saya tidak sehebat dan seagung suami Khadijah dan Aisyah (selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW), dan suami saya pula tidak sejahat dan seteruk suami Asiah, Firaun laknatullah. Moga Allah SWT memberkati perkahwinan kami untuk sampai kepada idola kami, Muhammad SAW. amin.

Isteri@Sebulan Continue reading Menuju ke sana..

Tuesday, January 12th, 2010

Cinta keranaNYA

Suatu hari, saya dan emak berjalan pulang dari surau. Saat itu, langit berselimut kesejukan Subuh. Ramai manusia tidak bangun untuk berjemaah di surau. Gebar syaitan lebih baldu daripada mengucup sejadah cintaNYA.

Saya, sejak bangun tidur terus-terusan berfikir perkara itu. Saya kira, bulan Oktober 2009 adalah bulan ‘merenung jodoh’. waktu jaga, sebelum tidur, bangun tidur dan ke manapun saya membawa diri, saya berfikir, Ya Allah siapalah jodoh saya? dan Ya Allah, siapa pun jodoh saya, maka Kau mudahkanlah ya Allah. Ya Allah, saya ingin berkahwin keranaMU.’

Oleh kerana persoalan itu menguasai manca aktiviti, saya hanya tenang ketika dapat melepaskan gejolak jiwa kepadaNYA saat berdoa dalam solat. Kerana masalah, diri diberi kekuatan menujuNYA dengan berjalan kaki di Subuh hening bersama bonda tercinta. Lalu, saya bertanya kepada emak lagi;

“Emak, ketika berkahwin dengan abah dulu, apakah kalian saling mengenali? dan berapakah mahar emak?”

Emak menjawab dengan suara yang sederhana, “Mahar yang tidak mahal tetapi berkat. Juga perkahwinan yang matlamatnya adalah keluarga Islam. Bercinta selepas kahwin, sebelum tu hanya taaruf.”

“Bolehkah anakanda mengikut lorong yang sama?” kata saya.

“Sudah ada calonkah?” tanya emak. Saya mengangkat bahu. Tiada siapa-siapa yang bersungguh untuk mengisi kekosongan  jodoh saya lagi. Tapi..

“Emak, anakanda akan terus berdoa dan yakin, pilihan Allah pasti dimudahkanNYA.”

dsc_7365.JPG

Jodoh saya sedang bermain dengan Auni, anak saudara.

Dua bulan selepas itu..saya hadir ke surau yang sama. Waktu Subuh, dengan bibir langit hitam kesejukan. Emak telah pergi lebih awal ke surau, dan saya..Ya Allah, hampir tidak percaya, sebelah saya adalah seorang lelaki suami yang saya ‘cari-cari’ beberapa bulan sebelum ini. Suami memandu tenang siap memakai baju melayu, kain pelikat dan serban putih (waktu solat, biasa suami berserban). Saya merenung ke dalam diri; sepantas ini Allah berikan saya teman hidup yang sebelum ini saya rasakan satu masalah berat.

Lebih terharu; Saya mohon sikit dari Allah tetapi DIA beri banyak dan lebih dari apa yang saya minta. Subhanallah.

Saya telah mengikut lorong pernikahan yang sama dilalui oleh emak dan abah, Alhamdulillah.

  • NURLIDA BT MOKHTAR: Salam Ummu Hani, Saya Kak Ida , ingin berkongsi...
  • Akim: link utk borang http://files.itnm.com.my/download/...
  • kakyong: tak salah utk berkahwin semasa belajar, asal faham...
  • Emyne Fahimah Chan: Assalamu'alaikum.. Bagaimana untuk saya mendapatk...
  • mamawana: Assalamualaikum Apa khabar Nik Nur Madihah? Ap...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com