Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Rasulku Idolaku Category

Friday, July 8th, 2011

Bukan Kerana Mata pedang

Selepas pulang bermain bola di padang sekolah, aku mengajak dua rakanku, Imran dan Hanif ke rumah nenek. “Kamu nak minum air kelapa pandan tak? Di tepi rumah nenekku, ada pokok kelapa pandan, airnya manis sekali. Lebih enak bila dicampur dengan air batu,” kataku. Kedua rakanku jadi tidak sabar.  Setibanya di rumah, aku mencapai galah dan menyuruh Hanif mengait buah kelapa. “Aku nak masuk dalam ambil bekas air dan cawan,” kataku.
“Eh, kamu dah balik Amir?” Tanya nenek yang baru selesai melipat baju. “Bawah tudung saji ada kueh apam, makanlah. Tu kenapa ambil tiga cawan? Ada orang datang ke?”Tanya  nenek. “Nek, Amir ajak Imran dan Hanif minum air kelapa pandan. Mereka tengah kait buah kelapa tu,” jelasku. “Ok, nanti nenek bawakan kueh apam ni. Bolehlah kita makan sama-sama atas pangkin,” balas nenek yang sentiasa ceria.

Dapat minum air kelapa setelah penat bermain terasa begitu nikmat. Alangkah indahnya jika ibu, abah, Adibah dan Anis turut bersama. Aku sangat rindukan mereka. “Nenek, Amir kata nenek suka bercerita tentang Nabi Muhammad SAW. Banyak cerita nenek tu Amir dah kongsikan dengan kami di sekolah,”kata Imran. Nenek menjelingku sambil tersenyum. “Nek, Hanif ada satu pertanyaan. Sebenarnya ada seorang rakan Hanif yang tanya, dia tu beragama Hindu. Dia Tanya betulkah Islam ni tersebar melalui peperangan? Sebab buktinya, setiap kali kita meneroka tempat baru, Islam akan hantar rombongan tentera, selepas perang kita menakluk tempat tersebut seperti di Syam dan Andalusia,” kata Hanif. Nenek agak terkejut. “Wah, soalan Hanif macam orang dewasa,” puji nenek kemudian menerangkan dengan lebih lanjut.

Cucu-cucu, Islam berasal dari kalimah Arab yang bermaksud sejahtera atau selamat. Kata Nabi SAW, “Islamlah nescaya kamu selamat.” Bukan sahaja selamat di dunia tetapi di akhirat. Bahkan Nabi SAW berkata, “Sesungguhnya aku diutuskan (oleh Allah) adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia.” Justeru misi pertama baginda ialah menunjukkan tauladan dan cara hidup yang sebenar sebagai manusia dan khalifah Allah di muka bumi. Inilah dipanggil dakwah. Di Mekah, baginda SAW menyebarkan dakwah melalui hikmah, dialog dan tarbiah. Selama 13 tahun di sana, tidak pernah baginda SAW mengarahkan para sahabatnya menyerang golongan musyrikin walaupun kaum muslimin disiksa dan dibunuh dengan zalim seperti keluarga Yasir dan Sumaiyah. Bukankah nenek pernah bercerita sebelum ini tentang perangai Abu Lahab yang suka meletakkan najis di depan rumah Nabi SAW? Apakah nabi SAW membalas kembali? Tidak sekali-kali, bahkan baginda juga tidak menaruh dendam.” Continue reading Bukan Kerana Mata pedang

Tuesday, July 20th, 2010

Nabi SAW Terima Wahyu Membaca

Cucu-cucu datuk dan nenek yang sudah besar kini semua kena rajin membaca!

“Kami suka nenek bercerita daripada membaca sendiri,” kata Ikram apabila nenek menyuruh kami berdua membaca buku-buku cerita yang tersusun di almari. Menurut nenek, buku-buku tersebut milik arwah datuk. “Daripada tersusun di almari begitu saja, baiklah kamu berdua membacanya. Buku bukan untuk perhiasan tetapi untuk diambil ilmunya,” leter nenek. Ikram membulatkan matanya padaku. Aku pula mengangguk-angguk. Memang benar kata-kata nenek tetapi ada sesuatu yang menghalang kami daripada menyelongkar khazanah buku-buku arwah datuk. Continue reading Nabi SAW Terima Wahyu Membaca

Saturday, February 20th, 2010

Cinta Kepada Rasul

 masjid-nabawi.jpg

Malu untuk menulis entry ini, terasa tidak layak dan berdosa. Diri gagahi juga demi menyatakan kerinduan untuk belajar mencintai baginda SAW.

Terasa pentingnya mempunyai ikatan yang kuat dengan Rasulullah SAW. Di waktu ini hadis baginda mula terserlah benarnya; Islam itu datang dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing, maka berbahagialah orang-orang yang asing..

Dan siapakah yang mengamalkan Islam tidak berasa asing dalam kehidupan akhir zaman ini?

“Belajar rajin-rajin, nanti hantaran boleh letak 20 ribu,” pesan seorang mak saudara kepada anak saudaranya yang baru masuk ke IPT.

“I mahu you tulis kisah nabi-nabi Kristian yang jahat. Dalam Bible diceritakan begitu, watak Yaakub ni you buat dia ada hubungan sulit dengan orang..” kata seorang penerbit Cina kepada penulis skrip Melayu untuk drama Melayu yang bakal disiar di stesen televisyen di Malaysia. Sambil itu dia turut memberikan Bible tersebut untuk rujukan penulis itu. (Pengakuan penulis ini kepada saya membuatkan saya hampir hilang kewarasan..masya Allah, teruknya kita dimainkan puak-puak kapitalis Kristian ini)

“You tulis cerita mudah-mudah saja. Tak perlu research. Orang Melayu suka drama yang ringan yang penting seronok,” kata penerbit Cina yang kaya (dan menjadi kesayangan pihak stesen televisyen) kepada seorang penulis skrip yang diupahnya. Dia melihat bangsa Melayu sebagai bangsa yang suka ‘berhibur walaupun hiburan yang tiada ilmu.

“Adik, pernah tak terfikir nanti, jika awak kahwin dengan dia, dia akan masuk Islam?” tanya saya kepada junior di UM yang bercinta dengan wanita Cina Kristian. Adik itu kemudian menggeleng kepala. Setelah bercakap dengannya, saya dapat menerka, dia seorang yang liberalis agama. Walaupun Islam boleh juga menerima agama lain tanpa perlu memaksa pasangan masuk Islam. Saya hanya mampu mendoakan junior itu dari jauh.

1024_t2.jpg

Kisah-kisah berikut hanya secubit garam dalam kehidupan moden kini. Cuba tanya kepada generasi muda Muslim sekarang, apakah tujuan dan matlamat kehidupan mereka? Apakah mereka tahu cara bersuci (buang air kecil misalnya) yang menepati syarak (niat beristinjak ketika membasuh)? Atau, cukupkah solat fardhu mereka sehari semalam? Ramaikah lagi yang menjadikan al-Quran sebagai hiburan hati berbanding televisyen? Dan berapa kerat yang tidak ‘suka’ tidur selepas Subuh?

Budaya couple sebelum kahwin sudah menjadi tabiat dan amalan yang diterima baik dalam masyarakat. Malah, segelintir keluarga sanggup memanjangkan tempoh pertunangan asalkan pihak lelaki dapat menyediakan wang hantaran begitu tinggi kepada pihak perempuan. Dalam tempoh itu juga, ibubapa tidak gusar jika anak mereka ke sana ke mari dengan pasangan yang belum ada apa2 ikatan. Panggilan ‘sayang’, ‘cinta’, ‘abang’, ‘honey’, ‘baby’, ‘papa- mama’ bagi pasangan bercinta sangat normal sebelum berkahwin. Tidak ada apa yang perlu ditegur, semua kita menerima keadaan itu. Yang tidak bersetuju, pasrah dalam hati tanpa ada kekuatan untuk menegur.

Dalam keluarga, ibubapa membiarkan televisyen mendidik anak-anak. Hasilnya, anak-anak hasil didikan televisyen ini menjadi orang yang anti  akhlak, penentang arus, free thinker, bebas, poyo (istilah semasa), hedonis dan peniru watak barat.  Tiada lagi unsur ketuhanan seperti sifat Allah SWT YANG LEMAH LEMBUT, PENYAYANG, PENGASIH, BIJAKSANA,PENGAMPUN dan lain-lain dalam diri generasi muda. Orang muda dikenal sebagai kaum pemberontak dalam kebanyakan buku-buku di pasaran kerana watak mereka itu.

ana-love-rasulullah.jpg

Ya Allah..hanya berpegang kepada sirah RASULULLAH SAW sahaja dapat mengembalikan  format sebagai Mukmin. Tanpa panduan baginda SAW, maka akan hanyutlah kita di bawa tsunami globalisasi. Dalam kegersangan akidah, akhlak dan syariat umat kini, terasa sepi hati tanpa pedomanNYA. Siapa lagi boleh menjadi pemandu kita semua jika bukan Nabi Muhammad SAW? Sirah bagindalah yang paling banyak ditulis dan disebarkan di seluruh dunia, ayuhlah kita membaca dan menghayati pedoman baginda SAW kepada kita. Marilah kita berselawat ke atas baginda SAW yang telah banyak berkorban untuk keselamatan umatnya di dunia dan akhirat.

YA RASUL, aku ingin berlatih mencintaimu. Aku malu.

Tuesday, December 29th, 2009

Rasulullah SAW Remaja Matang

Wajah nenek bercahaya menyerlahkan girang hatinya dengan keputusanku. Memang aku telah nekad untuk tinggal bersama nenek di kampung dan bersekolah di sini. Abah dan ibu tidak berkata apa-apa. Cuma ibu beberapa kali bertanya, “Betulkah Amir nak tinggal di kampung? Amir tak sedih nak tinggalkan kawan-kawan di sekolah lama?” uji ibu. Wajah Masrur dan Fudail terbayang. Mereka berdua adalah teman baikku di rumah mahupun di sekolah. Kemudian wajah mereka berganti pula dengan wajah Ikram, sepupuku yang sekarang menjadi teman baikku di kampung. Umur Ikram sebaya denganku dan kami banyak berkongsi minat terhadap sungai dan segala isinya. “Tinggal di kampung lebih seronok ibu, Amir boleh jadi lelaki sejati. Boleh masuk sungai, panjat bukit, terjun bendang, jaga dusun nenek dan belajar mengurut dengan Tok Lang,” balasku. Ibu mengerut dahi sambil diirngi ketawa abah. “Biarlah ibu, Amir nak rasa apa yang abah buat masa kanak-kanak dulu. Di Bandar, dia tak dapat pengalaman tu,” putus abah yang selalu menyokong tindakanku.

Ketika memasukkan kain bajuku ke dalam almari, nenek datang memeluk belakangku. “Nenek terharu Amir nak teman nenek di kampung. Anis pun nak teman tapi ibu berat hati nak lepaskan. Tak apalah, sekurangnya ada Amir untuk nenek ajak bersembang,” kata nenek. “Waktu Rasulullah SAW dah ditinggalkan orang-orang yang disayanginya iaitu ibu dan datuknya, baginda SAW duduk dengan Abu Talib. Baginda pandai menyesuaikan diri. Abu Talib tu anak-anaknya ramai termasuklah Saidina Ali RA, merekalah menjadi teman permainan baginda SAW. Sebagai membalas kebaikan bapa saudaranya, baginda SAW ringan tulang membantu keluarga Abu Talib. Antara kerja yang dilakukan oleh baginda adalah berniaga dan mengembala kambing penduduk Mekah,” jelas nenek kemudian terus menyambung cerita tentang insan kecintaanku, Nabi Muhammad SAW.

Penduduk Mekah menyebut-nyebut nama seorang remaja yang peribadinya tidak ada pada remaja lain. Dia bersopan-santun, tutur bicaranya jujur, akhlaknya memukau manusia juga mempunyai pemikiran yang matang. Apabila mengetahui dia mengambil upah mengembala kambing, maka ramai penduduk datang kepada pemuda bernama Muhammad bin Abdullah. Maka, kepada pemuda bernama Muhammad itulah, penduduk Mekah menggalaskan kepercayaan yang yang tidak berbelah-bahgi.
Muhammad SAW melihat kambing-kambing gembalaannya bukan sekadar binatang malahan kambing-kambing itu dipandangnya mempunyai perasaan; sama seperti manusia. Ada strategi dan teknik yang tersendiri menundukkan kambing agar tidak berkeliaran keluar daripada kawasannya. Kadang, kambing-kambing berjalan merentasi gunung dan bukit keras yang mengapit bumi Bakkah. Muhammad berjalan memantau kambingnya, banyak sekali jalan-jalan sulit yang tersorok dari pandangan awam diketahuinya. Juga lorong-lorong kecil beraluran dari puncak gunung dan bukit. Menjaga kambing memang terasa penatnya kerana kambing antara binatang yang susah ditundukkan. Memikirkan kerana amanah dan tanggungjawab yang diberikan para penduduk kepadanya, Muhammad sentiasa bersemangat. Hasil titik-peluhnya nanti dapatlah dia menampung hidup dan membantu keluarga bapa saudaranya, Abu Talib.

Suatu hari, Muhammad mendengar cerita bahawa ada pesta berhampiran Kaabah yang dikunjungi ramai pemuda. Di situ, dialunkan syair-syair cinta yang menghiburkan pengunjung. Hati Muhammad terdetik untuk menghadiri pesta tersebut kerana selama hidupnya, dia tidak pernah melihat kecuali mendengar cerita orang lain. Rata-rata memuji keseronokan menghadiri pesta. Setelah menjalankan tugas mengembala kambing, Muhammad bergerak ke tempat pesta itu.
Di pertengahan jalan, mata segarnya berasa lelah dan tiba-tiba perasaan mengantuk menguasai dirinya. Muhammad berhenti di sebatang pokok dan duduk bersandar. Dia kemudiannya terus tertidur tanpa sedar, pesta yang ingin dihadirinya telahpun tamat.

Pada waktu yang lain, Muhammad berniat lagi menghadiri pesta. Namun, perkara yang sama berlaku. Dia tertidur sebelum kakinya sampai ke tempat yang ingin ditujuinya. Lantas fikirannya menyimpulkan keputusan bahawa acara pesta itu tidak sesuai untuknya. ‘Mungkinkah Pencipta alam ini tidak mengizinkan diriku ke sana? Tentu pesta itu tidak mendatangkan kebaikan padaku,’getus hati Muhammad.

Sejak itu, Muhammad SAW tidak lagi bercadang menghadiri majlis yang berunsurkan hiburan di zaman jahiliah. Dia yakin ada kuasa ghaib yang selalu memantau fikiran dan tindakannya agar sentiasa berada dalam kebaikan.

“Amir tahu, mengapa ketika Peristiwa Hijrah pertama, Rasulullah SAW mengajak Abu Bakar menyembunyikan diri di Gua Tsur. Sedangkan waktu itu malam gelap dan gua terletak di atas Bukit Tsur yang sangat tinggi,” kata nenek. Aku menggelengkan kepala tidak tahu. “Sebab, Allah SWT dah buka pengetahuan Rasulullah SAW tentang rupa bentuk bumi Mekah sejak baginda remaja lagi. Di situlah hikmahnya baginda SAW menjadi pengembala kambing. Dengan pengetahuan ilmu geografi ini, baginda SAW dapat merangka strategi perjuangan Islam di kemudian hari,” jelas nenek. Aku berasa teruja dan kagum. Tanpa perlu diperingatkan nenek, hatiku terus berselawat ke atas junjungan mulia, Rasulullah SAW.

Saturday, December 26th, 2009

Baiki Diri Melihat Akhlak Nabi SAW

Sejak tinggal di kampung, perkara yang sering aku lakukan adalah menangkap anak-anak ikan di sungai yang berdekatan rumah nenek. Sungai itu masih jernih dan mengalir tenang. Teman setiaku adalah sepupuku yang bernama Ikram. Ke mana-manapun aku pergi, pasti bersama Ikram. Hal ini membuatkan nenek tidak bimbang mengizinkan aku keluar dari rumahnya.
Air sungai seperti cermin, memantulkan segala yang tersulam di dasar air. Batu-batu kecil berselerakan di atas pasir yang ditolak aliran air. Di celah – celah lumutan batu, anak-anak ikan bermain riang. Ia berenang tanpa bimbang akan si janggut udang atau tali sengat si keli. Anak-anak ikan berada dalam dunia yang bahagia sekali. Namun, aku dan Ikram selalu meragut kebahagiaan mereka apabila sauk kami menerjah taman permainan anak-anak ikan tersebut.
Petang ini, hal yang berlainan telah berlaku dalam diriku. Walaupun telah  terpacak di hadapan sungai, hatiku tidak bersemangat untuk menangguk di air yang jernih. Ikram sudah terjun ke dalam sungai. Suaranya riang ketawa memanggilku menyertainya. Aku sedang memikirkan kembali  cerita nenek tentang Rasulullah SAW selepas kami solat Zohor bersama-sama tadi.
“Walaupun nenek telah bercerita banyak tentang Rasulullah SAW kepada Amir, tetapi cerita-cerita nenek tidak dapat menggambarkan diri Rasulullah SAW yang sebenar. Baginda SAW lebih mulia, lebih cantik, lebih tampan dan lebih baik dari apa yang nenek cerita dan gambarkan. Bahkan, tiada buku yang dapat menjelaskan rupa dan akhlak baginda melainkan hadis-hadis sahih. Cuba Amir tengok matahari dan bulan, bayangkan betapa baginda SAW lebih indah daripada itu bahkan lebih indah daripada semua makhluk yang pernah Allah SWT ciptakan. Itulah kekasih Allah, Muhammad SAW,” kata nenek yang membuatkan aku berasa semakin kecil. Begitu indah ciptaan nabiku tetapi mengapa aku tidak boleh mencintai baginda lebih dari yang lain?

Continue reading Baiki Diri Melihat Akhlak Nabi SAW

Monday, April 13th, 2009

Rasulku Idolaku (untuk adik2)

Episod Dua
Perkahwinan Yang Membahagiakan

14072008333.jpg
Ditangkap oleh penulis dari tingkat dua Masjidil Haram menggunakan telefon bimbit. Rindu Haramain..

Di langit, awan kelihatan suram. Tanda hujan akan turun sangat jelas. Bunyi guruh mengiringi hembusan pokok-pokok di sekeliling rumah nenek. “Hujan nak turunlah nenek, macam mana nak pergi rumah Long Ma?” tanya Anis. Aku mengerutkan dahi. Rumah Long Ma, ibu saudara kami terletak beberapa meter sahaja dari rumah nenek. Adibah yang sejak tadi bermain dengan Comel, kucing kesayangan nenek merapati kami. “Kalau kena hujan doktor kata boleh demam,” kata Adibah. Nenek tersenyum dan menggosok kepala Adibah.

“Macam nilah, kita pergi rumah Long Ma bila hujan dah berhenti ya,” ujar nenek. Aku tiba-tiba mendapat satu idea. Inilah masanya nenek menyambung cerita tentang baginda SAW. “Nenek sambunglah cerita semalam. Amir tak sabar nak tahu bagaimana ibubapa Rasulullah SAW berkahwin?” kataku. Nenek mengangguk kemudian mengajak kami duduk di sofa ruang tamu.

Nenek mula menyambung kisah..

Menjadi kebiasaan masyarakat Jahiliah, anak-anak muda mereka gemar berfoya dan berhibur. Syair pujangga berkumandang sekitar Kaabah, memuji-muji kecantikan wanita dan kekuatan kabilah masing-masing. Sesama kabilah gemar berperang. Siapa yang kuat dialah yang diagungkan. Namun, di celah kekalutan bangsa Arab Jahiliah, dua hati telah diselamatkan daripada kebuncahan dunia, jauh dari kemaksiatan. Mereka adalah ayah bonda Nabi Muhammad SAW. Continue reading Rasulku Idolaku (untuk adik2)

Monday, April 13th, 2009

Rasulku Idolaku (untuk adik2)

Episod Satu
Mimpi Luar Biasa Abdul Mutalib

img057.jpg

Kenangan bersama arwah Tokwan Morad. Kini, kami cucu2 Tokwan bakal meredah usia dewasa. Hanifah (adikku-atas berbaju biru belang-belang) sedang tunggu hari nak menjadi seorang ayah. Tokwan sudah pulang kepada Allah, cerita2 kebaikannya masih menemani kami di perjalanan hidup duniawi. al-Fatehah buat Tokwanku Hj Morad bin Awang

Selalu, di atas kerusi itulah nenek menunggu kami tiba di rumahnya. Pulang ke kampung kali ini agak berbeza kerana tiada lagi bayangan nenek. Malahan kerusi di bawah pokok telah tiada. Yang tinggal cuma daun-daun kering yang bersepahan tidak bersapu. Di manakah nenek?

“Tu nenek..” muncung ibu ke arah satu tubuh yang sedang berlarian menuju kami.
“Nenekkkkkk” Kami bertiga berlari dan memeluk tubuh nenek. Rupanya nenek sedang berkebun di belakang rumah.

Bagiku malam itu paling indah. Di payungi bulan dan bintang-bintang ceria. Ada suara unggas dan Tekukur yang saling berbalas bunyi. Rasa sejuk asli menggigit lantas menghimpitkan kami tiga beradik di atas katil di bilik nenek. Anis menolak tubuhku yang lebih besar. “Abang Amir ni tidurlah kat tilam bawah tu,” arahnya. Aku masih berdegil mahu tidur di tepi nenek.

Nenek menggeleng kepala. “Amir dah masuk darjah tigakan tahun ni?” tanya nenek. Aku mengangguk kepala. “Dah besar tu. Tak boleh tidur dengan adik-adik perempuan lagi dah,” pesan nenek. Aku akhirnya turun dari katil lalu merebahkan tubuh atas tilam kabu yang empuk. “Amir nak tidur dengan nenek, bukan dengan Anis dan Adibah,” balasku. Nenek bangkit dari perbaringan dan tersenyum.

“Nenek ada satu cerita pada cucu-cucu semua. Siapa nak dengar?” soal nenek. Kami tiga beradik terus bangkit dan duduk membulati nenek. “Ceritalah nenek..” rengek kami.

Nenek memulakan kisahnya..

‘Nabi kita Nabi Muhammad SAW adalah insan yang paling agung. Tidak akan ada langit dan bumi serta seluruh makhluk termasuk Nabi Adam AS jika Allah SWT tidak menciptakan kekasihNya, Muhammad Habibullah. Bagindalah rasul terakhir pelengkap seluruh nabi dan penyatu seruan tauhid iaitu mengesakan Allah SWT. Kelahirannya begitu terpuji dari keturunan yang terpilih sampai kepada Nabi Ismail AS dan Nabi Ibrahim AS. Baginda berasal dari keturunan Bani Kinanah dan Bani Hasyim. Datuk nabi, Abdul Mutalib adalah pengurus Kaabah dan penjaga telaga Air Zam-Zam. Continue reading Rasulku Idolaku (untuk adik2)

  • NURLIDA BT MOKHTAR: Salam Ummu Hani, Saya Kak Ida , ingin berkongsi...
  • Akim: link utk borang http://files.itnm.com.my/download/...
  • kakyong: tak salah utk berkahwin semasa belajar, asal faham...
  • Emyne Fahimah Chan: Assalamu'alaikum.. Bagaimana untuk saya mendapatk...
  • mamawana: Assalamualaikum Apa khabar Nik Nur Madihah? Ap...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com