Berjalanlah ke lorong manapun, jika hatimu menyisip iman, kau pasti selamat.

Sahabatku Yang Dulu

November 17th, 2011

Seperti hari-hari semalam, apabila Darda’ liat tidur, saya baringkannya dalam buaian dan mula bertindak menjadi ‘kaset nasyidnya’. Darda’ bukan penggemar buaian, sering juga dia menggelupur dan minta ditidurkan dalam dakapan sambil saya sendiri terhinggut menjadi buaiannya. Namun,jika suara ‘merdu’saya berjaya melunakkan kemahuan kerasnya itu, dia berdengkur juga dalam buaian.

Saya memilih nasyid ‘Jasa Guruku’ buat Darda’ petang itu. Hampir semua nasyid (Darda’ belum tahu yang ibunya ini pernah masuk studio rakaman untuk album Ummiku Sayang) zaman kanak2 saya dulu didendangkan. Entah mengapa, saat saya mengalunkan nasyid Jasa Guruku, saya sebak tiba-tiba.

Lagu ini pernah saya dendangkan ketika menuntut di sekolah al-Arqam, Paroi dulu sekitar tahun 1994. Lagu ini juga melayakkan kami menjadi kumpulan nasyid terbaik dalam Pertandingan Nasyid Sekolah2 di Seremban. Saya menjadi solo dengan sahabat saya ini.

Kami semua adalah kanak-kanak perempuan berusia 7-9 tahun, comel dalam pakaian jubah dan bertudung labuh. Lagu-lagu ketuhanan bukan sahaja berdendang di bibir kami , bahkan kami diasuh ustazah2 untuk mencintai Allah dengan sebenar-benar cinta. Menjaga solat awal waktu dan berjemaah, menghormati ibubapa dan guru2, bercakap baik, berakhlak dengan masyarakat, tidak bercakap benda yang lalai, ketika makan pun, kami membulati talam secara berjemaah. Indah dan erat ukhwah kami (sebelum al-Arqam diharamkan).

Semua itu cerita belasan tahun yang lepas. Kini, di usia hampir 30-an, khabar kami terpisah. Masing2 dalam kehidupan sendiri yang berbeza. Cuma, sahabat saya ini saya terjumpanya kembali di laman Facebook. Dia sungguh lain jalur yang dipilihnya. Sudah tidak memakai tudung, bergelar model ternama, berkahwin dengan Mat Salleh dan kehidupannya juga kebaratan. Saya tidak menghukumnya apa2 kecuali berasa sedih dan gelisah, ya Allah, adakah tempat untuk kami di sisiMU? Saya tidak berhak menghukum sesiapa, saya juga belum tahu diri ini mendapat kesudahan yang baik atau tidak.

Moga2 saya, sahabat saya itu Allah sentiasa memberi petunjukNYA kepada kami.AMIN

Watak Kita

November 14th, 2011

Kesempatan memenuhi undangan ceramah penulisan di UPM baru-baru ini memberi ilham kepada saya tentang peri pentingnya watak dan bahan penulisan. Saya telah mendapat dua soalan tentang watak daripada para peserta.
“Puan, jika watak baik sahaja ditumpukan dalam karya, menarikkah hasilnya nanti?”
“Puan, bagaimana mahu membina karakter watak yang berkesan?”

JAWAPAN
Untuk soalan yang pertama, saya tidak menafikan bahawa watak jahat atau protagonis wajib ada dalam karya. Cerpen, novel atau drama tv adalah penceritaan sebuah kehidupan. Yang melengkapkan alam ini adalah sifat yang saling berlawanan seperti lelaki dan perempuan. Begitu sifat-sifat manusia, tidak ada yang sama, malah manusia sendiri tidak sentiasa baik, dan sentiasa jahat.
al-Quran banyak memaparkan watak-watak baik, namun tidak meminggirkan watak jahat. Watak para Nabi dan rasul adalah contoh ikutan yang perlu diikuti seluruh manusia, manakala watak syaitan, Firaun, Bani Israel yang ingkar antara misalan yang perlu dijauhi seluruh manusia.
Di sini saya ingin mengutip misalan al-Quran dalam melukiskan watak baik dan jahat yang terdapat dalam Surah Yusuf ayat 23, 24, 25
“Dan perempuan yang dia (Yusuf) tinggal di rumahnya menggoda dirinya. Dan dia menutup pintu-pintu lalu berkata, “Marilah mendekat kepadaku.” Yusuf berkata, “Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku telah memperlakukan aku dengan baik.” Sesungguhnya orang yang zalim itu tidak akan beruntung.

Dan sungguh, perempuan itu telah berkehendak kepadanya (Yusuf). Dan Yusuf pun berkehendak kepadanya, sekiranya dia tidak melihat tanda dari Tuhannya. Demikianlah Kami palingkan darinya keburukan dan kekejian. Sungguh, dia (Yusuf) termasuk hamba Kami yang terpilih.

Dan keduanya berlumba menuju pintu dan perempuan itu menarik baju gamisnya (Yusuf) dari belakang hingga koyak dan keduanya mendapati suami perempuan itu di depan pintu. Perempuan itu berkata “Apakah balasan terhadap orang yang bermaksud buruk terhadap isterimu, selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan siksa yang pedih?”

Aksi penggodaan Zulaikha ke atas Yusuf tidak dilukiskan secara terang. Cukup hanya gambaran umum yang memahamkan manusia tentang kisah benar itu. Di akhir kisah ini akhirnya Nabi Yusuf mendapat kemenangan dan Zulaikha insaf, kembali kepada Allah SWT.

Dalam penciptaan watak baik dan jahat, penulis perlu akur bahawa watak ciptaan itu bukan sekadar tertempel di buku semata. Setelah berlegar di tangan pembaca, watak akan beraksi menjadi seorang ikon atau teladan pembaca.
Bagaimana seorang gadis yang salah memilih jalan hidup mahu kembali kepada fitrahnya jika buku di tangannya menganjurkan penyelesaian yang melalaikan?
Bagaimana ibubapa mahu anak-anak bercakap sopan dan berhikmah jika buku yang diberikan pada mereka penuh ayat2 yang kasar, bahasa rojak dan menjengkelkan?

Dalam novel Surat Ibu Dari Penjara, saya telah mengangkat watak seorang banduan akhir yang menjalani hukuman gantung akibat mengedar dadah. Namun, bukanlah aktiviti jenayahnya yang ditumpukan dalam karya. Sebaliknya, bibit2 dan punca keinsafannya melatari keseluruhan novel ini. Alhamdulillah, ramai pembaca mendapat manfaat dan inspirasi dari watak ini. Banduan itu telah dimatikan di tali gantung, namun meninggalkan pengalaman dan pengajaran mulia yang berbekas kepada beberapa ribu yang membaca kisahnya.

Bagi soalan kedua, membina karakter yang berkesan bukanlah suatu yang sukar. Anda perlu mencari seorang watak yang hidup sama ada ahli keluarga, tokoh atau sesiapa sahaja yang mempunyai kisah luar biasa. Novel Ayat2 Cinta karangan Kang Abik misalnya mengungkapkan kisah benar Pensyarah Universiti Al-Azhar, Mesir yang kemudian diaksikan kembali oleh Fahri, watak AAC. Hampir semua novel saya adalah himpunan kisah2 benar yang kemudian di fiksyenkan.

Namun, dua buku saya iaitu Noorah dan Catatan Hati Nik Nur Madihah adalah kehidupan asli tokoh tersebut. Saya tidak mempunyai masalah (dengan bantuan Allah) untuk menyelesaikan dua buku ini kerana ‘kebenaran kisah dan watak’. Buku Catatan Hati Nik Nur Madihah ditulis dalam tempoh 3 hari, manakala buku Noorah dalam tempoh 3 minggu. Proses penulisan bergerak mudah apabila saya sudah mengumpulkan bahan yang cukup berkaitan watak.

Justeru. anda perlu mengumpulkan bahan2 berkaitan watak,mengenalinya dengan mendalam, tahu baik buruknya, dan jangan lupa memurnikannya kembali jika dia adalah orang ‘berdosa’. Bawanya kepada Allah SWT.

Dan jangan sesekali lupa, bahawa setiap watak ciptaan kita, itu sebenarnya adalah WATAK KITA sendiri.

Budak Ketot

November 9th, 2011

“Oi ketot, tolong ambilkan tong sampah tu!” jerit seorang budak lelaki, rakan sekelas.
“Siapa ketot?” Saya geram.
“Awaklah ketot, siapa lagi.” Budak lelaki itu dan kawannya ketawa.
Hati saya mendidih marah tetapi tetap menurut kehendak mereka. Tong sampah saya ambilkan. Berbuat baiklah kepada orang yang berbuat jahat kepada kamu. Nanti Tuhan akan membalas perbuatan mereka.
“Ketot … ketot!” Panggilan itu menggantikan nama saya di kalangan pelajar lelaki yang nakal. Saya sedih dan menyimpan perasaan dalam hati. Di kalangan para pelajar tingkatan dua, saya antara yang paling kecil. Walaupun umur mencecah belasan tahun, tapi fizikal seolah budak darjah empat atau lima. Namun, itu bukanlah kesedihan utama. Yang mencucuk hati ialah panggilan ‘ketot’ yang menjatuhkan air muka saya sebagai makhluk Tuhan yang mempunyai nama yang cantik.
“Nama saya Ummu Hani bukan ketot!”
“Tapi awak tu ketot sangat. Terbantut!” Mereka akan ketawa selepas saya marah. Continue reading Budak Ketot

Apa Ada Pada Korban?

November 5th, 2011

Bila Allah diletakkan di hati, kita tak rasa diri selalu berkorban. Kerana, pengorbanan adalah fitrah dan jatidiri manusiawi. Setiap orang perlu berkorban.

Dalam hidup yang tidak berseorangan, mustahil kata korban dipinggirkan. Ada orang jarang berkorban untuk orang lain, namun, mustahil tidak pernah berkorban untuk orang lain. Kita sebagai anak, ibubapa punya hak yang sepenuhnya ke atas kita. Jangankan kerana terpaksa membantu mereka di sela kesusahan dan keuzuran mereka, kita sudah merasa sangat berkorban.

Begitu seorang ibu atau ayah, anak-anak adalah amanah Allah.  Bila terasa sudah banyak berkorban untuk mereka, ingatlah bahawa itulah tugas hakiki sebagai ibu atau bapa.

Justeru, apakah maknanya korban?

Apabila kita berusaha mengekang hawa nafsu dalam diri untuk merungut segala yang dituntut Tuhan. Menjadi hambaNYA yang taat. Menjadi manusia yang amanah bertanggungjawab. Menjadi umat yang bermanfaat. Menjadi ORANG ISLAM yang mempertahankan AGAMA di manapun dia bernafas. Berkorban ertinya terkorban, rela terhina kerna kebenaran. Justeru, marilah kita sama-sama bersedia untuk memilih berkorban mempertahankan Islam ketika hidup atau berkorban untuk mati syahid menegakkan Islam.

SALAM IDULADHA

 

Hari Ini..

November 1st, 2011

Semakin banyak menilai orang lain, semakin tertimbul kelemahan sendiri. Kita hari ini tidak semestinya kita yang semalam, tetapi kita hari ini menentukan siapa kita akan datang. Moga di dunia kita bahagia, begitulah jua di akhirat sana.

Salam 1 November buat semua..makin hampir ke titik noktah 2011. Apa ;agi agenda yang tidak tercapai..maka kejarlah selagi berbaki waktu.

Cerita2 Belakang Tabir

October 31st, 2011

Maaf semua, beberapa kali blog ini sudah ada ‘penggemar yang tidak baik. Begitulah resam Pencipta. Setiap sesuatu sudah disusun ada lawannya. Perkara baik, ada musuhnya seperti nafsu dan syaitan yang sentiasa mahu memeluk orang yang ingin menapak kepada Tuhan.

Maaf semua, saya tidak dapat menulis panjang sejak berpindah ke laman Damai ini. Rumah baru kami sangat comel, cukuplah untuk tiga ahlinya yang jarang berpisah ini. Jika saya bersama Darda’, Abu Darda’ ada di sisi, dan jika Abu Darda’ bersama Darda’, saya juga bersama mereka. Malah Darda’ tidak pernah lagi ditinggalkan berseorangan. Uh, manjanya comel umi.

Mengadap ke lebuh hutan di belakang rumah seakan tidak sedar,  rumah kami berada dalam lingkungan terpadat di kota metropolitan. Pohonan hijau melambai sepanjang siang, di waktu malam pula, bunyi cengkerik dan suara ‘sunyi’ seakan membawa saya ke daerah desa. Hanya ketika roda kereta menjalar dari kawasan ini, tersedarlah saya kami dirempuh sibuk dan jem sebenarnya.

Dua minggu ini saya disibukkan dengan tugas menukangi skrip televisyen. Sebuah drama bersiri 13 episod dan sebuah telemovie cerekarama. Keduanya untuk tayangan TV3 Disember ini. Ruang saya dipadatkan dengan berfikir dan menjadi bermacam watak. Cuma di hadapan anak tercinta, watak ibu tidak pernah bertukar:)

Oktober ini adalah bulan rezeki Ahmad Abu Darda’. Dengan berkat anak kecil tiada dosa ini, umi dan abi direzekikan naik ke pentas konvokesyen di UM dan UTHM. Oktober ini juga umi sudah diterima menjadi pelajar PHD di UM dan alhamdulillah 31 Oktober,cerpen umi tersenarai dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2011. Semua itu adalah berkat doa anakanda tercinta umi.

Maaf semua, saya telah merangka beberapa isu untuk ditulis di laman damai ini. insya Allah, setelah membuat beberapa rujukan, saya akan kongsikan dengan para pembaca budiman. Yang berlegar antaranya ialah Watak dalam karya. Ada sesuatu yang ingin saya kongsikan setelah menulis drama dan buku. Watak bukan sekadar watak, ia adalah alat dakwah yang amat2 penting. Saya ingin menulisnya dengan sebuah tulisan ilmiah tentang itu, insya Allah.

Maaf semua, ini sahaja cerita belakang tabir seorang hamba yang hina dan baru belajar ini.

Puisi Darda’ Buat Umi

October 11th, 2011

Ini ‘makwe’ Darda’ tau.

Umi..cinta hati Darda’

Dikaulah tilam dan bantal tempat pembaringanku

Dikau jua adalah cawan

bekas kumenghirup lapar kenyangku

Dikaulah diva pujaanku

yang membisikkan alunan melodi

agar kuberadu nan tenang

Umi cinta hati darda’

dikaulah hero dan pahlawan

yang sanggup menentang

apa sahaja makhluk yang menggangguku

Umi juga sasterawanku terbilang

mengajarku puisi cinta

memanggilku sang kekasih

sayang dan manja.

Umilah air mata dan senyuman

Saat melihatmu

Aku terasa memiliki segalanya.

Darda’ sayang umi (abi jangan jeles, hehee)

Isteri2 Tok Wan

October 8th, 2011

Tokwan sudah tiada, cucu-cucu pewarisnya makin dewasa. Jangan lupakan Tokwan, sedekah al-Fatehah padanya. Moga Tokwan di kalangan orang2 soleh di alam kekal abadi. amin

Tok Wan Morad adalah datuk saya sebelah abah. Tok wan tidak banyak bercakap. Saya suka melihat tok wan yang jarang menampakkan gigi apabila tersenyum atau ketawa. Namun, yang paling saya gemari ialah mengacau ayam-ayam peliharaan tok wan.
Cerita tentang tok wan tidak banyak dari mulutnya berbanding orang lain. Mak su dan mak anjang suka bercerita tentang ayah mereka. Perkara ini menarik hati saya pulang ke kampung abah di Felda Guar Napai, 5 km dari Kampung Gajah Puteh. Abah anak sulung daripada lapan beradik. Sewaktu saya enam tahun, adik-adik abah sedang membesar. Yang sudah berkahwin cuma Pak Ngah dan pak lang. Mak anjang bertugas sebagai guru tadika KEMAS, mak andak masih menuntut di Universiti Sains Malaysia, Mak Teh, Pak Cik dan mak su bersekolah menengah atas. Lalu, saya menjadi anak saudara yang disayangi oleh mereka semua.

“Malam ni cerita apa pula, mak anjang?” tanya saya yang baru lepas mandi dan menyapu seluruh muka dengan bedak ‘Carry’. Waktu sebelum tidur adalah masa paling seronok mendengar cerita. “Malam ini takda cerita, malam ini kita tengok TV filem Kasim Selamat. Nak tengok orang jolok biji mata, dak?” tanya mak anjang menyebabkan cerita tentang ‘keluarga Tok Wan Morad’ tertangguh dek mahu melihat ‘orang menjolok biji matanya’. Saya menonton filem Kasim Selamat, babak yang ditunggu ialah Kasim Selamat (P.Ramlee) mencungkil matanya dengan garpu. Malangnya, hampir dua jam menonton, belum lagi keluar babak itu. Akhirnya, saya tertidur.

“Takda pun Kasim Selamat tu cungkil biji matanya, mak anjang,” adu saya keesokan hari.
“Nak tengok macam mana, Kak Ummu dah tidur dulu,” ketawa mak anjang.
Saya kerut dahi sambil menginginkan perkara lain. “Malam ni mak anjang janji cerita pasal keluarga tok wan, tau.”
Saya suka hati apabila mak anjang mengangguk.
“Tok wan dulu kahwin ramai.” Continue reading Isteri2 Tok Wan

DIA MAHA MEMBERI

October 8th, 2011

Tiba-tiba diri teringat akan peristiwa lima tahun lepas. Diri telah pergi kepada abah dan emak sambil mengadukan bahawa diri tidak mampu bertahan hidup lagi. “Abah, mak, mengapa jiwa kak Ummu kosong sangat. Adakah Kak Ummu sudah nak mati?” Itulah kata-kata saya kepada ibubapa ketika diserang penyakit misteri hampir dua bulan di tahun 2005. Saya berada di tahun akhir sebagai mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Usuluddin di APIUM. Desakan resah penyakit itu membuatkan saya mahu berhenti dari segalanya termasuk belajar dan menulis.

Ketika itu, saban malam saya ingin tidur memeluk emak. Saya takut sekali. Derapan kaki malaikat Maut seolah hampir dengan saya. Tiap kali mata terjaga dari tidur, bayangan akan kematian muncul erat. Continue reading DIA MAHA MEMBERI

Sahabatku Dan Kisahnya Yang Hebat!

October 3rd, 2011

Rupa Tajin/ tagine, makanan ruji Maghribi

Dia seorang teman yang menyenangkan. Waktu bujang dulu, saya sering ke rumah sewanya di Pinggir Gombak untuk satu tujuan; meraih semangat! Di kalangan teman-teman, dia dipanggil Bonda dek sifatnya yang keibuan. Namanya adalah nama salah satu surah dalam al-Quran; Maryam. Dia dan akhlaknya seindah namanya itu.

Selepas berkahwin, kami tidak lagi bertemu. Dia memilih tipa dari Maghribi sebagai suami tetapi menetap di Malaysia. Hati saya sering berbisik; bilakah dapat aku bertemu dengan Bonda Maryam? Banyak yang ingin kukongsikan dengannya.

Teman saya ini masih muda orangnya, belumpun 30 tahun. Saya dan dia boleh dikatakan ‘adik-beradik’ kerana tinggi rendah kami hampir sama dan berkulit cerah.Dia mungkin lebih jelita dengan cermin mata dan senyum ‘gulanya’. Namun, semangatnya dahsyat. Berkawan dengannya, saya mendapat sedikit tempias. Dia mencorak aktiviti hidupnya dengan baik, ilmu, ilmu dan ilmu! Malah dia memilih perkahwinan dengan rijal Arab juga kerana ilmu.

Saya teringat lagi, dia bertandang ke bumi Syria untuk belajar bahasa Arab dan al-Quran, dua perkara yang sangat dicintainya. Pulang ke tanah air, dia menghasut saya dengan cerita-cerita indahnya tentang Bumi Syam. Malah berkata, “Orang yang pergi ke bumi Syam, pasti nak pergi semula kerana berkatnya..” Saya teruja, selang beberapa bulan, saya bersiap-sedia terbang ke Bumi Syria.

Dia memilih UIA sebagai tempat meraih sarjana kerana dua perkara, ingin menguasai bahasa Arab dan memahami al-Quran melalui bahasa Arab. Saya pula, UM lebih mudah kerana disertasi sarjana boleh ditulis dalam Bahasa Melayu (bahasa kecintaan saya). Dia sangat cintakan bahasa Arab sehingga Allah SWT menghadirkan lelaki yang baik berketurunan Arab Maghribi sebagai suaminya, masya Allah! Continue reading Sahabatku Dan Kisahnya Yang Hebat!

  • sot: Alhamdulillah sempat khatam buku Noorah malam tadi...
  • erra juslan: comelnya anak ustazah..bila mahu kenalkan kepada k...
  • XDEATHX: salam.. ehehem...tang yang last tue mencuit hat...
  • Merra lala: Me too. Dekat pesta buku je ke?...
  • Merra lala: Ada class tak? Nak belajar menulis :)...
  • Social Network
  • Categories
  • Koleksi Terbitan
    Ladang Hati Mustika Sue Phea Mangkuk Untuk Nenek Koleksi Bacaan Kanak-Kanak

    Surat Ibu

    1 Bulan 3 Bintang

    Catata

    Senyum Kota
     

  • Social media

    Powered by WordPress

    Blossom Theme by RoseCityGardens.com