Dua Minggu?! Terasa lambatnya masa berjalan. Setiap hari saya mengira di jari, bilakah tempoh berpantang ini akan berakhir? Dalam kepala, sudah merangka pelbagai agenda, salah-satunya nak berziarah ke Negeri Cik Siti Wan Kembang bersama suami dan anakanda tercinta.
ANAK
Masih lagi dikuasai rasa percaya dengan tidak, rasa syukur yang melimpah-ruah, rasa sangat malu pada Yang Maha Memberi. Ahmad Abu Darda’ menjadi peneman setia umminya setiap malam. Sebagaimana umminya dulu suka berjaga malam (masa mengandung), dia juga begitu. Alhamdulillah, tidak banyak ragamnya cuma akan menjerit bila buang air hatta buang air kecil sekalipun. Beruntung saya mempunyai seorang ibu yang sangat prihatin. Emak yang dikurniakan 11 anak mengajar saya bersabar melayan seorang anak. Emak turut berjaga malam menjaga Darda’. Sehingga hari ini, emak sahaja yang memandikan si comel kami kerana saya masih takut:))
ABI DARDA’
Abu Darda’ adalah sahabat Nabi SAW yang juga perawi hadis. beliau juga seorang usahawan yang hebat. Pernah diceritakan dalam sejarah, apabila tetamu bertandang ke rumah Abu Darda’, beliau tidak menyediakan selimut, sebaliknya menjamu para tetamunya dengan hidangan kambing. Abu Darda’ juga adalah ayah kepada seorang anak perempuan bernama Darda’. Namun, mengambil keberkatan sahabat nabi SAW ini, saya dan suami menamakan Ahmad Abu Darda’ bin Ahmad Dhiak. Moga dia juga menjadi seorang penulis Islam dan usahawan Muslim yang bertaqwa. Sejak tahu jantina kandungan, saya sudahpun berbicara dengan memanggilnya Darda’. Cuma tokwan Abu Hassan saja panggil Darda’ dengan panggilan Muhammad.
buat abi@suami, pengalaman baru juga kerana perhatian terpaksa dibahagi dua. Malah abi juga kena ‘turun padang’ jaga Darda’. Saya berdoa moga cepat sembuh dan sihat untuk menjadi isteri dan ibu yang terbaik, insya Allah.
TERKENANG-KENANG
Sepanjang mengandungkan Darda’, Allah SWT membuka kemudahan yang amat luas buat kami. Bermula dengan perjalanan ke Kota London sehinggalah siap buku Travelog Tarbiah: Dari Penjara Yokshire ke Kota London (akan terbit Ogos ini, insya Allah), buku panduan penulisan I Want To Be a Writer, Skrip telemovie Di Sapa Izrael dan Warkah Dari Penjara serta Skrip drama bersiri 10 episod Keimanan Cinta ( akan ditayangkan di tv9 5 September ini) sehingga dua hari sebelum melahirkan Darda’, Allah memudahkan saya memandu ke UPM dan UM bagi menghantar tesis sarjana berkulit tebal ke meja kerani Ijazah Tinggi APIUM bagi urusan konvokesyen 2011. ALhamdulillah..
KEHILANGAN
Berita kematian Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ menyedarkan saya bahawa kita semua perlu bersedia menghadapNYA. Tahun lepas, saya sempat berjumpa Allahyarhamah, di pejabatnya di Kampung Baru. Dalam keadaan apapun, perjuangan perlu diteruskan. Sesungguhnya kematian yang terbaik adalah mati ketika melaksanakan perjuangan Islam. Mati ketika menaikkan syiar Islam. Mati ketika mempromosikan Islam di kala manusia mula menjauhinya. Mudahan saya, dan sahabat2 diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk mencontohi para pejuang Islam yang lebih dahulu meninggalkan kita. Usia bukanlah ukurannya. Yang utama; siap sedia!